Islamiq.sg

HAD006: Pengertian yang Tepat Terhadap Berzikir dengan 99 Nama Allah (Bhg.1 - Berkenaan lafaz tambahannya)

Labels: , ,

Ketika menjelaskan hadis no: 6410 dalam Kitab Sahih al-Bukhariy:

“لله تسعة و تسعون اسما – مائة إلا واحدة – لا يحفظها أحد إلا (من حفظها) دخل الجنة، و هو وتر يحب الوتر”

Ertinya: “Allah memiliki sembilan puluh sembilan Nama – seratus kurang satu – tiada seseorang pun yang menghafazNya kecuali (barangsiapa menghafazNya – Nama-Nama tersebut) akan masuk syurga dan Dia Tunggal suka bilangan yang ganjil”



Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalaniy membuat ulasan berikut (ringkasan):

Pertama: Berkenaan lafaz tambahannya

(Setelah beliau menyebutkan riwayat-riwayat yang banyak, namun beliau menyimpulkan tidak bererti dapat diistilahkan sebagai Mutawatir malah bertaraf Masyhur semata-mata, yang mana riwayat-riwayat tersebut telah menyebutkan Nama-Nama Allah yang 99 itu secara satu persatu, misalnya; Allah, ar-Rahman, ar-Rahiem dan seterusnya, walaubagaimanapun pada akhirnya beliau menegaskan bahawa kesemuanya adalah lemah).



Ertinya: ‘Ulama telah berselisihan pendapat dalam penyebutan (satu persatu) Nama-Nama (Asma’ ul-Husna), apakah ia (riwayatnya) bertaraf Marfu‘ (disandarkan kepada Nabi sebagai kata-kata Nabi) atau ia sebenarnya Mudraj (dimasukkan) ke dalam riwayat tersebut oleh sebahagian para perawi (padahal ia bukan sebahagian daripada kandungan hadis itu). Ramai di antara mereka berpendapat dengan kesimpulan yang pertama (daripada kata-kata Nabi) dan mereka berhujjah bahawa adalah diperbolehkan untuk menamakan Allah Ta‘ala meskipun al-Qur’an tidak menyebutkannya dalam lafaz berbentuk Nama. Sebahagian yang lain pula berpendapat bahawa ia (penyebutan satu persatu Nama-Nama tersebut) secara tertentu adalah Mudraj kerana tiada dalam kebanyakan riwayat.

al-Hakim menyimpulkan selepas menyebutkan Takhriej bahawa riwayat tanpa penyebutan satu persatu adalah lebih kuat, malah ia (yang dengan penyebutan satu persatu) berkemungkinan adanya Idraj (Mudraj), al-Idtirab (Mudtarib) dan at-Tadlies (Mudallas) dan berlaku perselisihan terhadapnya.

al-Baihaqiy pula membuat ulasan bahawa kemungkinan besar at-Ta‘yien (penentuan satu persatu, Nama-Nama Allah) itu berlaku pada periwayatan sebahagian perawi…sehingga berlaku perselisihan yang kuat di antara keduanya (jalan periwayatan yang menyebutkan penentuan Nama-Nama Allah itu tapi Nama-Nama yang disebutkan berlainan) dan kemungkinan besar itulah sebabnya kedua-dua asy-Syaikh - yakni - al-Bukhariy dan Muslim – mengenepikan riwayat dengan at-Ta‘yien (penentuan Nama-Nama itu satu persatu).

Kata al-Imam at-Tirmidzi: Kami hanya mengetahui riwayat ini yang ada menyebutkan Nama-Nama (Allah) secara penentuan satu persatu, sedangkan tiada riwayat lain yang menyebutkannya.

Maka telah berulang kali kami sebut at-Ta‘yien (penyebutan satu persatu dengan penentuan Nama-Nama Allah) adalah (riwayat) Mudraj (dimasukkan ke dalam riwayat ucapan Nabi , apa yang bukan daripada kata-kata Nabi sendiri, malah dari para perawi) yang mana ada riwayat menyebutkan pada awalnya: “الأحد الصمد الهادي”, ada pula: “المقسط، القادر الوالي”, yang lainnya: “الوالي الرشيد”, dan lainnya: “الوالي الراشد”, dan juga: “العادل المنير” mahupun: “الفاطر القاهر” dan selepas itu semuanya sama.

Ada di antaranya dengan penukaran “القابص الباسط” kepada “القائم الدائم”, “الرشيد” kepada “الشديد”, “الودود المجيد الحكيم” kepada “الأعلى المحيط مالك يوم الدين” (riwayat at-Tabarani) dan (di sisi Ibn Hibban) pertukaran “المانع” kepada “الرافع”, (dalam periwayatan Sahih Ibn Khuzaimah) pertukaran “الحكيم” kepada “الحاكم”, “الرقيب” kepada “القريب”, “الولي” kepada “المولى”, “المغني” kepada “الأحد”, (Dalam riwayat al-Baihaqiy pula), “المقيت” kepada “المغيث”, berbanding apa yang ada dalam riwayat at-Tirmidzi tersebut, yang paling sahih (dibandingkan dengan riwayat yang lain dan telah beliau jelaskan sebelumnya bahawa “yang paling sahih” inipun adalah riwayat lemah) yang ada penyebutan/penentuan satu persatu (Asma-ul Husna).

Malah di sisi periwayatan Zuhayr dan Safwan percanggahan sebanyak 23 Nama daripada apa yang ada dalam riwayat at-Tirmidzi dan lain-lain lagi, yang menunjukkan kelemahan riwayat-riwayat dengan penentuan satu persatu al- Asma-ul Husna yang 99 itu.

Al-Ghazzaliy telah menjelaskan dalam kitab Syarh al-Asma’: Tidak aku ketahui adanya daripada kalangan ‘ulama yang mencari-cari Nama-Nama (Allah dalam al-Qur’an) lalu mengumpulkanya selain seorang daripada kalangan Huffaz Maghrib (Morocco) dikenali sebagai ‘Aliy bin Hazm kerana ia telah menyatakan: “Telah nyata sahih di sisi ku hampir 80 Nama dari apa yang ada dalam Kitab Allah dan Kitab-kitab Hadis yang Sahih maka selainnya dapatkanlah daripada riwayat-riwayat yang sahih”. Menurut perkiraanku (al-Ghazzaliy), kemungkinan hadis tersebut, yakni riwayat at-Tirmidzi tidak sampai kepadanya ataupun telah sampai tetapi dinilai isnadnya lemah oleh beliau.

(Kesimpulan) yang kedua adalah yang dimahukannya, sebab beliau ada menyebutkan demikian dalam al-Muhalla: “Dan hadis-hadis yang menyebutkan satu persatu al-Asma’ itu adalah lemah belaka, tiada satu pun yang sahih dan keseluruhannya yang aku cari-cari daripada al-Qur’an ada sebanyak 68 Nama”, maka beliau sebenarnya hanya mengambil apa yang ada disebutkan (warid) dalam bentuk Nama, bukan yang diambil secara “Isytiqaq” seperti “al-Baqi” di ambil daripada Firman Allah: “و يبقى وجه ربك” (ar-Rahman: 27) dan tidak pula yang berbentuk “Mudaf” (disandarkan dengan yang lain) seperti “al-Badie‘” daripada Firman Allah: “بديع السماوات و الأرض” (al-An‘am: 101).

[Kemudian al-Hafiz menyenaraikan nama para imam yang telah menghukumkan hadis tersebut lemah dengan menyertakan nukilan kata-kata mereka. Setelah itu beliau sebutkan riwayat daripada Sufyan bin ‘Uyainah; yang mana beliau menyetujui apa yang dihimpunkan oleh Abu Zayd setelah menelitinya 4 kali, sebagai maksud hadis 99 Nama Allah, yang mana disenaraikan sebagai berikut: Surah al-Fatihah ada 5; “الله ، رب الرحمن الرحيم ، مالك”, al-Baqarah pula: “محيط، قدير، عليم، حكيم، علي، عظيم، تواب، بصير، ولي، واسع، كاف، رؤوف، بديع، شاكر، واحد، سميع، قابض، باسط، حي، قبوم، عني، حميد، غفور، حليم ” dan Ja‘far menambah:….dengan segala perinciannya setiap surah, dikemukakan oleh al-Hafiz dan setelah itu beliau menyambung syarah beliau, memperjelas lafaz-lafaz yang ada dalam berbagai riwayat. Setelah itu beliau menjelaskannya.]

Bersambung ke Bhg.2: Angka atau bilangan 99 itu bukannya pembatasan, malah Allah punya lebih daripada 99 Nama

Disiapkan oleh Ustaz Abu Mazaaya
0 comments:

Search IslamIQ.sg

Visitors:

Facebook

YouTube

Subscribe By Email


Facebook

YouTube

Subscribe By Email

www.fawaaid.sg