Islamiq.sg

Kebatilan Hujjah dengan Mimpi & Kasyaf - Aurad Muhammadiah

Buku “Aurad (wirid-wirid) Muhammadiyah (Muhammad as-Suhaimi)”










Akhir paparan sedutan daripada buku Aurad Muhammadiah

Al-Imam asy-Syatibi rahimahullah (wafat: 790H) menyebutkan:
“Selemah-lemah hujah mereka (ahli bid‘ah) ialah puak yang dalam mengambil amalan agama bersandarkan mimpi-mimpi. Mereka ini berpegang atau meninggalkan sesuatu amalan berdasarkan mimpi-mimpi tersebut.

Mereka berkata: “Kami bermimpi lelaki solih tertentu berkata kepada kami: Tinggalkan ini! buat ini”. Ini banyak berlaku kepada mereka yang mengamalkan panduan tasawwuf. Di kalangan mereka ada yang berkata: “Aku melihat Nabi shallallahu 'alayhi wasallam dalam mimpi, baginda berkata kepada ku begini..dan memerintah aku begini”. Lantas dia pun mengamalkannya dan meninggalkan apa yang ditetapkan oleh syari‘at. Ini adalah salah, kerana mimpi selain para nabi tidak boleh menghukum ketetapan syarak, dalam apa keadaan sekalipun. Melainkan setelah dibentangkan kepada hukum-hakam syariat yang ada. Jika dibolehkan, maka ianya diamalkan, jika tidak ianya ditinggalkan”[1]

Kata Imam Ibnul Qaiyim rahimahullah (wafat: 751H) pula:
“Barangsiapa yang menyangka bahawa ia tidak memerlukan apa yang dibawa (diajarkan) oleh Ar-Rasul dengan apa yang (kononya) diilhamkan kepada hatinya dari bisikan maka ia adalah di antara manusia yang terbesar kekufurannya. Yang demikian itu adalah kerana ia menyangka bahawa cukup baginya untuk adakalanya mengambil yang ini atau yang itu pada ketika lainnya. Padahal apa yang berupa bisikan di dalam hati tiada nilainya dan tidak perlu dinilai jika ia tidak dikembalikan (didasarkan) kepada apa yang diajarkan oleh Ar-Rasul dan yang pernah diterima atau disetujui oleh Ar-Rasul, jika tidak (disetujui atau diajarkan) maka ia adalah dari hawa nafsu dan dari syaithan”[2] 

Jelas bagaimana kepercayaan kepada “Ilham” sebagai satu sumber Syari‘at dan pergantungan kepadanya sebagai penentu hukum, i‘tiqad dan amalan secara bebas adalah kesesatan dan penyelewengan yang nyata.

Ketika menjelaskan hadis ini:

عن أبي هريرة قال: حَفِظتُ مِن رسولِ الله وِعَاءَيْن: فأما أَحَدُهما فبَثَثْتُه و أما الآخر فلو بثثتُه قُطِع هذا البُلْعوم

“Daripada Abu Hurairah katanya: Aku telah menghafaz daripada Rasulullah dua bekas simpanan: salah satu daripadanya telah aku sebarkannya manakala yang satu lagi, jika aku sebarkannya, akan dipenggal leher ku ini”

Al- Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalaniy rahimahullah menukilkan kata-kata Ibn al-Munier rahimahullah:
Golongan al-Batiniyah menjadikan hadis ini suatu pengantara untuk menegakkan kebatilan mereka, bilamana mereka mengi‘tiqadkan bahawa Syarie‘ah (ajaran agama Islam) ini ada yang zahir dan ada yang batin, padahal yang batin itu sebenarnya adalah penyelewengan dari agama ini semata-mata. (Maksud “bekas yang satu” lagi adalah hadis-hadis berkenaan Pemerintahan zalim bermula tahun 60 Hijriyah dan perlantikan ketua-ketua yang masih anak muda –seumpama pemerintahan boneka yang diterajui oleh golongan zalim – ringkasan daripada penjelasan Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalaniy) [3]

Semoga dengan penjelasan ini semua, kita menjadi golongan yang menuruti ajaran Ahli Sunnah wal Jama‘ah yang sebenarnya, yang sejati, bukan dengan dakwaan palsu, dengan kita menghindari diri dari berhujjah dengan MIMPI, YAQAZOH, ILHAM atau KASYAF atau mengikutinya.

Wallahu a‘lam. Wallahu Waliyut Taufieq.

___________________________________

[1] Al-I‘tisam karya al-Imam asy-Syatibi: 1/231-232 – bi tahqieq Saliem al-Hilaly - Dar Ibn ‘Affan, Arab Saudi, 1995/1416H

[2] Igha-tsat al-Lahafan: 1/123

[3] Fath al-Bari: 1/261 – (K) 3: al- ‘Ilm (B) 42: Hifz al-‘Ilm; hadis no: 120
0 comments:

Search IslamIQ.sg

Visitors:

Facebook

YouTube

Subscribe By Email


Facebook

YouTube

Subscribe By Email

www.fawaaid.sg