Islamiq.sg

Kebatilan Hujjah dengan Mimpi & Kasyaf - JAKIM

Sambungan dari soal-jawab - Kebatilan Hujjah dengan Mimpi dan Kasyaf

Nukilan dari risalah Cawangan Aqidah, JAKIM - "MENJAWAB DAKWAAN YAQAZAH SESAT JEMAAH AL-ARQAM"

Yaqazah iaitu bertemu secara jaga/sedar dengan Rasulullah SAW merupakan penyelewengan paling nyata yang cuba ditegakkan oleh al-Arqam. Dakwaan seperti ini merosakkan asas pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah (ASWJ). Jumhur ASWJ menolak berlakunya yaqazah (bertemu secara jaga) dengan Rasulullah SAW atau mereka yang sudah mati.

Sumber yang digunakan bagi mendakwa berlakunya yaqazah ini hanyalah sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim yang bermaksud:-
Diceritakan kepada saya Abu Tahir dan Harmalah, kedua-duanya menyatakan: Kami diceritakan oleh Ibnu Wahab dari Yunus dari Ibnu Shihab diceritakan oleh Abu Salamah bin Abdul Rahman bahawa Abu Hurairah berkata: “Saya telah mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang melihatku di dalam tidur maka ia akan melihatku di dalam jaga atau ia seolah-olah atau ia seolah-olah telah melihatku di dalam jaga. Bahawa syaitan tidak boleh menyerupai diriku.”

Mengenai hadith ini, Imam Nawawi menjelaskan terdapat beberapa pandangan ulama mengenai maksudnya yang tiada kena mengena langsung dengan yaqazah sesat tajaan Ashaari, iaitu:
a) Yang dimaksud dengan boleh melihat Rasulullah SAW secara jaga itu ialah mereka yang hidup semasa hayat Baginda, maksudnya sesiapa yang melihatnya di dalam mimpi tetapi tidak sempat berhijrah bersama-sama Rasulullah SAW ke Madinah maka Allah SWT memberi taufiq-Nya untuk berhijrah sama kemudiannya dan pada masa itu ia dapat menemui Rasulullah SAW secara jaga. 
b) Maksud melihat Rasulullah SAW secara jaga ialah orang yang bermimpi itu boleh melihat benar-benar apa yang dimimpikan secara jaga semasa di akhirat nanti, kerana di akhirat nanti semua umat akan dapat melihat Rasulullah SAW sama ada yang pernah melihatnya di dunia atau yang belum pernah melihatnya. 
c) Orang bermimpi Rasulullah SAW itu dapat melihatnya di akhirat dengan cara melihat yang khusus kerana hampirnya ia dengan Rasulullah SAW di samping memperolehi syafaatnya dan lain-lain.

(Sahih Muslim bi Syarh al-Nawawi, Dar al-Fikr:1995, jld. 15, hal. 21-23)

Walau bagaimana pun Imam Ibnu Hajar al-Asqalani ada menukilkan satu pandangan yang hampir sama dengan apa yang dihujjahkan oleh al-Arqam.

Pandangan tersebut datang daripada Ibnu Abi Jamrah yang meriwayatkan bahawa Ibnu Abbas dan selainnya pernah bermimpi melihat Nabi SAW dalam tidurnya. Setelah beliau bangun daripada tidur, terfikir di benaknya tentang hadith ini (hadith yang disebutkan di atas), lalu beliau pergi menemui sebahagian Umm al-Mukminin – kemungkinan ia adalah ibu saudaranya iaitu Maimunah – lalu Maimunah memberikannya cermin yang selalu digunakan oleh Rasulullah SAW, beliau melihat ke dalam cermin tersebut dan mendapati apa yang dilihat adalah gambar Rasulullah SAW dan bukan gambar dirinya.

Dinukilkan juga daripada sekumpulan orang-orang salih bahawa bahawa mereka melihat Nabi SAW dalam tidurnya kemudian mereka melihatnya ketika jaga lalu menyoal Nabi SAW berkenaan sesuatu yang mereka bimbang sebelumnya, lalu Nabi SAW memberikan petunjuk kepada mereka.

(Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, Dar al-FIkr:1995, jld. 14, hal. 413.)

Dalam kedua-dua hal di atas Imam Ibnu Hajar memberi komentar seperti berikut:
“Keadaan ini adalah sangat bermasalah. Ini kerana sekiranya kita membawa lafaz hadith ini secara zahir maka sudah tentu kesemua mereka yang disebutkan adalah terdiri di kalangan sahabat Nabi SAW, dan berkemungkinan suhbah akan berlaku sehingga ke hari Qiyamat. Ia mengelirukan kerana sekumpulan besar di kalangan sahabat telah bermimpi bertemu Nabi SAW (setelah Baginda wafat) tetapi tiada seorang pun yang melihatnya secara jaga dan perkhabaran yang benar tidak boleh disanggah. Imam al-Qurtubi juga amat mengingkari sesiapa yang mengatakan bahawa sesiapa yang melihatnya di dalam tidur maka telah melihat hakikatnya, kemudian dia juga akan melihatnya secara sedar.” (ibid)
.....

Kesimpulannya, dakwaan al-Arqam yang mengatakan bahawa Syeikh Muhammad al-Suhaimi berjumpa Rasulullah SAW dan dakwaan Ashaari bahawa beliau bertemu dan berdialog dengan Rasulullah SAW secara jaga adalah pembohongan yang nyata dan tidak boleh diterima sama ada oleh akal, naqal mahupun mana-mana pandangan para ulama mu’tabar.

Cawangan Aqidah
Bahagian Penyelidikan JAKIM

bersambung - Kebatilan Hujjah dengan Mimpi dan Kasyaf - Aurad Muhammadiah
0 comments:

Search IslamIQ.sg

Visitors:

Facebook

YouTube

Subscribe By Email


Facebook

YouTube

Subscribe By Email

www.fawaaid.sg