Islamiq.sg

Badal Haji Untuk Arwah Ibu

Labels: , ,
Soalan:

Assalamu'alaikum,

Saya ingin bertanya jika arwah ibu saya tidak pernah bernazar atau menyimpan wang untuk pergi haji, wajibkah saya mengupah org untuk membut haji buat arwah ibu saya menggunakan wang CPF yang arwah ibu saya tinggalkan?

Allahyarhamah ibu saya mempunyai penyakit epilepsy dan juga mild schizophrenia. Adakah ini membuatnya terkecuali melakukan haji?

- Daripada Rashidah


Jawapan:

Kata Imam Ibn Qudaamah (wafat: 620H) dalam kitab beliau yang merupakan satu ensaiklopedia Fiqh, al-Mughnie: 5/19 – Permasalahan ke 539: (terjemahannya –trj.):
“Sekiranya ia sakit yang tiada harapan sembuh ataupun ia seorang tua yang tidak mampu menunggangi kenderaan, hendaknya orang lain mewakilinya melaksanakan haji dan umrah bagi pihaknya maka yang demikian (perwakilan itu, yang lebih masyhur digelar Badal) dikira sah bagi pihaknya meskipun ia setelah itu sembuh dari penyakitnya.
Kesimpulan tersebut adalah berdasarkan kepada (prinsip/dasar) yang menetapkan: “Sesiapa sahaja yang telah cukup syarat-syarat yang menjadikannya wajib menunaikan haji, namun ia tidak mampu melaksanakannya disebabkan suatu halangan yang tiada harapan dapat dilenyapkan (halangan itu) seperti sakit yang melarat (chronic diseases) atau penyakit yang tiada harapan sembuh, atau kecacatan/kekurangan upaya tertentu sehingga tidak dapat berada tetap atas tunggangan kecuali dengan kepayahan yang tidak tertanggung, atau orang tua pikun dan siapa sahaja yang seperti itu, selama mana ia dapatkan seseorang untuk mewakilinya menunaikan ibadah haji, serta harta yang dapat menampung ongkosnya, wajib ia mewakilkannya.
Inilah pendapat Abu Haniefah dan asy-Syafi‘ie. Manakala Malik pula memutuskan: Tiada (kewajipan) haji baginya, kecuali jika ia mampu laksanakan sendiri malah aku berpendapat tidak diperbolehkan untuk ia melakukan demikian (perwakilan), sebab Allah berfirman:
“من استطاع إليه سبيلا – Bagi siapa yang mampu menunaikannya” (Surah ali-‘Imran: 97) dan orang ini tidak berkemampuan dan juga kerana ibadah ini tidak termasuk yang boleh diwakilkan selama masih ada keupayaan, maka tidak diwakilkan juga ketika tidak mampu dan tiada keupayaan, seperti halnya puasa dan solat.
Bagi kami (yang tidak menyetujui pendapat Malik) berdasarkan hadis Abie Razien [1] dan apa yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas: Seorang wanita dari suku Khats‘am berkata: Wahai Rasulullah, sesungguhnya kefardhuan haji yang Allah wajibkan atas para hambaNya, (mula difardhukan) ketika bapa ku telah lanjut usia, sehingga tidak mampu duduk tetap di atas tunggangan, apakah seharusnya saya tunaikan haji bagi pihaknya? Jawab Nabi: Ya. Peristiwa itu adalah ketika Hijjatul Wada‘ (Haji terakhir yang baginda laksanakan). Muttafaqun ‘alaih (Riwayat al-Bukhariy dan Muslim – Sahih)…”

Lalu beliau menyebutkan beberapa dalil yang lain berupa riwayat daripada ‘Aliy, lantas menyimpulkan:
“Lagipun ibadat ini (haji) jika ia fasid (batal) menjadi wajib ditunaikan kaffarahnya, maka semestinya diperbolehkan bagi yang lain untuk menggantikan atau mewakilinya dalam melakukannya, sebagaimana puasa, yang jika ia tidak mampu Puasa, ia membayar fidyah, berbeza dengan Solat.”

Daripada penjelasan beliau ini, dapatlah difahami bahawa terdapat dalil-dalil yang menunjukkan, seseorang yang pernah ber-keupayaan melaksanakan ibadah haji, kemudian jadi tidak berupaya, tetap wajib dilaksanakan haji bagi pihaknya. Yang demikian berdasarkan dalil-dalil itu tadi dan juga qiyas yang lebih tepat, iaitu haji adalah amalan yang ada melibatkan gantian berupa bayaran kaffarah, seperti halnya puasa, maka selayaknya boleh diadakan kemampuan dalam bentuk pembiayaannya untuk orang lain mewakili orang yang tidak mampu pergi sendiri disebabkan ketidakupayaannya pada tubuh badannya.

Adapun jika dari awal, sejak usia balighnya, seorang itu tidak berakal, maka tiada kewajipan haji atasnya, berpandukan hadis-hadis sahih yang masyhur bahawa catatan amalan terangkat daripada orang gila sehingga ia siuman. Wallahu a‘lam.

Sumber: http://www.al-jamaah.sg/2014/08/badal-haji-untuk-arwah-ibu.html
0 comments:

Search IslamIQ.sg

Visitors:

Facebook

YouTube

Subscribe By Email


Facebook

YouTube

Subscribe By Email

www.fawaaid.sg