Islamiq.sg

Sholat Hari Raya di Musholla Itulah Menurut As-Sunnah

الحمد لله وحده و صلاته و سلامه على نبينا محمد و آله و صحبه ، و على من تمسك بهديه ، و استقام على طريقته ، إلى يوم الدين .أما بعد

Maka inilah dia tulisan kami pada hari ini dan tajuknya adalah, penetapan bahawa: “Sholat kedua-dua Hari Raya didirikan di Musholla (Tanah Lapang/Dataran Luas) itulah menurut As-Sunnah”.

Asalnya saya telah terfikir untuk menjadikannya satu risalah yang dimuatkan bersama risalah “Sholat Terawih” tetapi sayangnya keadaan tidak mengizinkan. Maka ia diteruskan (penerbitannya), dengan penuh pengharapan kepada Allah Tabaaraka wa Ta’aalaa, agar usaha ini dipermudahkan olehNya, agar diterima tulisan ini di sisi orang ramai, mudah-mudahan mereka mendoakan dengan doa yang baik, yang bermanfaat buat diri saya “Hari yang mana tiada manfaatnya harta dan tidak pula anak-anak, kecuali siapa yang datang menghadap Allah dengan hati yang tenteram…”

Ketahuilah wahai para pembaca yang budiman, sebelum ini, ada pihak yang menulis mengenai tajuk “Sholat Hari Raya di Musholla (Lapangan)” yang mana mereka telah membuat berbagai kesimpulan yang bercanggahan. Mereka juga telah mendakwa bahawa kami menghukumkan bahawa Sholat Hari Raya di masjid tidak sah!

Mereka juga menyatakan: 
“Sebabnya mengapa Nabi shallallahu 'alayhi wasallam memilih untuk melaksanakan Sholat Hari Raya di Tanah Lapang adalah kerana ketiadaan… sebab-sebab yang mencukupi di Madinah Al-Munawarah iaitu kerana di Madinah tiada masjid lain kecuali satu masjid sahaja (yakni Masjid Nabi).”
Kenyataan ini terbit dari kejahilan yang nyata, kerana terdapat banyak masjid pada zaman Nabi shallallahu 'alayhi wasallam di Madinah, yang diketahui ramai dan yang paling masyhur adalah Masjid Qubaa, Masjid Qiblatain dan Masjid Al-Fath yang ada disebutkan di dalam beberapa hadits-hadits yang shohih, di dalam berbagai kitab-kitab hadits dan telah dimuatkan nama beberapa buah masjid lainnya di dalam Fathul Baari oleh Al-Haafizh Ibn Hajar (1/445).

Sebenarnya yang mereka maksudkan dengan dakwaan yang bathil ini ialah agar dapat dicapai maksud meninggalkan pengamalan dan penghayatan As-Sunnah dalam hal Sholat Eid di Tanah Lapang, yang mereka padankan dengan sebab yang tidak benar iaitu: 
“Bahawasanya di kota Madinah ketika itu tidak ada masjid lain selain Masjid Nabi yang menurut dakwaan mereka tidak dapat menampung bilangan jemaah sewaktu Sholat Hari Raya”!
Maka dengan itu kami telah kemukakan penilaian yang membatalkan sebab atau alasan yang mereka datangkan malah membatalkan dakwaan mereka dari dasarnya.

Sekiranya kita andaikan bahawa Masjid Nabi shallallahu 'alayhi wasallam tidak dapat menampung bilangan jemaah, maka pasti mereka telah laksanakan sholat Hari Raya di masjid-masjid lain yang sekian banyak, seperti yang dilakukan orang hari ini. Maka bilamana mereka (pada zaman Nabi shallallahu 'alayhi wasallam) meninggalkan perlaksanaan Sholat Hari Raya di masjid-masjid tersebut untuk melaksanakannya di Tanah Lapang, ia dengan jelas menunjukkan bahawa menurut As-Sunnah, sholat Hari Raya dilaksanakan di Musholla/Tanah Lapang. 

Kemudian mereka menyatakan pula: 
“Bilamana bilangan kaum muslimin semakin ramai sehingga mereka tidak mampu untuk berkumpul berjemaah di Musholla, terutama sekali di kawasan bandar-bandar besar seperti kota Damascus/Damsyik, maka mereka pun berkumpul di masjid-masjid kerana berhajatkan demikian”!
(*Komentar penterjemah:
Perhatikanlah wahai pembaca yang mulia akan kata-kata bolak-balik ini. Mereka berhujjah bahawa kaum muslimin tidak mampu untuk berhimpun di musholla padahal ia adalah suatu perkara yang mudah dilaksanakan. Buktinya, ia telah diamalkan dan amalan itu terus berjalan di banyak pelusuk seperti yang dikatakan oleh Al-Imam An-Nawawi di dalam kitab “Syarah Shohih Muslim”.)

Perbuatan baginda melazimi perlaksanaan Sholat Hari Raya di Musholla/Tanah Lapang dan hadits-haditsnya yang menjelaskan demikian.

Ramai Muhaqqiq[1] dari kalangan Huffaazh[2] menyimpulkan:
“Bahawasanya dari ajaran dan petunjuk baginda shallallahu 'alayhi wasallam, di dalam perlaksanaan Sholat kedua-dua Hari Raya, ialah kedua-duanya sentiasa baginda laksanakan di Musholla”[3].
Kesimpulan ini disokong oleh hadits yang amat banyak yang terdapat di dalam kitab-kitab kedua Shohih Al-Bukhaariy dan Muslim, Musnad-musnad, Sunan-sunan dan lainnya dengan jalan periwayatan yang teramat banyak. Maka perlu dikemukakan di sini biarpun dalam tulisan yang ringkas ini, agar para pembaca yang budiman dapat melihat kebenaran dengan jelas:

(*Kami memaparkan hanya satu daripada pelbagai hadits yang dikemukakan untuk meringkaskan)

Daripada Abi Sa’ied Al-Khudriy radhiyallahu 'anhu yang meriwayatkan:
“Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam sentiasa keluar pada Hari (Raya) Al-Fitri dan Al-Adh-haa ke Musholla[4], maka perkara-pertama yang baginda mulakan ialah mendirikan sholat, kemudian selesai sahaja sholat, baginda pun berdiri menghadap ke arah para jemaah, sedang mereka semuanya duduk di dalam shaf-shaf mereka, lalu memberi peringatan kepada mereka dan mewasiatkan mereka serta menyuruh mereka (dengan yang sewajibnya), sekiranya baginda ingin mengarahkan pasukan tentera untuk berangkat, baginda melakukannya ketika itu[5], ataupun memerintahkan sesuatu maka baginda perintahkannya kemudian barulah baginda beredar. Maka manusia (ummat) tetap menuruti perlaksanaan demikian…” 
Diriwayatkan oleh Al-Bukhaariy: 2/259-260, Muslim: 3/20, An-Nasaa-i: 1/234, Al-Muhaamiliy di dalam kitab “Kitabul ‘Eidain” Juz 2 no: 86, Abu Nu’aim di dalam kitab “Al-Mustakhraj”nya: 2/10/2 dan Al-Baihaqiy di dalam Sunannya: 3/280.

Apabila anda telah mengetahui hadits-hadits tersebut, maka telah tegaklah hujjah bahawa menurut As-Sunnah di dalam perlaksanaan Sholat kedua-dua Hari Raya, agar dilaksanakan di Musholla dan itulah pendapat kebanyakan Ulamaa maka di dalam Syarhus Sunnah karangan Imam Al-Baghawiy rahimahullah dinyatakan:
“Menurut As-Sunnah, si imam keluar untuk melaksanakan Sholat kedua-dua Hari Raya, kecuali jika ada keuzuran maka barulah ia sholat di masjid,” [6] yakni masjid di dalam Bandar.

Kata Al-Imam Muhyiddien An-Nawawi di dalam “Syarah Shohih Muslim” ketika membicarakan hadits yang pertama tadi:
“Ini adalah dalil bagi pihak yang berpendapat adalah amat digalakkan keluar ke musholla untuk menunaikan Sholat Hari Raya dan bahawasanya ia adalah yang afdhal/lebih utama diamalkan dari perlaksanaannya di masjid. Inilah yang menjadi amalan manusia di merata pelusuk (Dunia Islam), sementara penduduk kota Mekkah maka mereka tidak melaksanakannya kecuali di Masjid dari sejak zaman yang awal, maka mengenai permasalahan ini, pendokong Madzhab ada 2 pandangan yang diriwayatkan:

1. Di tanah lapang lebih afdhal, kerana petunjuk hadits ini

2. Inilah yang lebih tepat/shohih di sisi kebanyakan mereka: Masjid (Al-Haram) lebih afdhal kecuali jika sempit.

Terjemahan dan ringkasan dari tulisan Asy-Syeikh Al-Albaaniy rahimahullah

___________________________

[1] Golongan ulamaa yang membuat kajian mendalam, meneliti segala dalil-dalil samada sah untuk dijadikan hujjah atau sebaliknya, mengamati kesemua pendapat Imam sebelum mereka, di dalam satu-satu masalah yang dianalisa kemudian menyimpulkan yang terbaik untuk diikuti.

[2] Para haafizh – yakni yang menghafal beratus bahkan beribu hadits-hadits Nabi selain telah menguasai Al-Quran.

[3] Sila rujuk Zaadul Ma’aad (1/172), Fathul Baari (2/361) dan lainnya.

[4] Kata Al-Haafizh: “Ia adalah suatu tempat di Madinah yang cukup diketahui, jaraknya dari pintu Masjid Nabi adalah seribu hasta (462 metres)”

Kata Ibnul Qayyim: “Ia adalah Musholla yang biasanya diletakkan di situ barang-barang jemaah haji.”

Komentar penterjemah: Zahirnya ia terletak di bahagian sebelah timur dari Masjid Nabawi, berhampiran dengan Perkuburan Baqie’.

[5] Penjelasan Al-Haafizh Ibn Hajar Al-‘Asqalaaniy.

[6] Sebagaimana juga yang ditegaskan oleh Asy-Syeikh ‘Aliy Al-Qaari di dalam “Al-Murqaah”: 2/245; rujuk Syarhus Sunnah: 4/294.



Sumber: http://www.al-jamaah.sg/2014/07/sholat-hari-raya-di-musholla-itulah.html
0 comments:

Search IslamIQ.sg

Visitors:

Facebook

YouTube

Subscribe By Email


Facebook

YouTube

Subscribe By Email

www.fawaaid.sg