Islamiq.sg

AQD025: Sifat 'Uluw - Ijma' Ulama'

Labels: , ,

Dzat Allah yang Maha Agung atau DiriNya, berada Tinggi di atas segala makhluqNya dengan keterangan dan penjelasan nas-nas al-Qur’an, as-Sunnah dan kesepakatan/Ijma‘ ‘ulama’ yang sebenar-benarnya ‘ulama’ yang hidup pada zaman yang dijamin kebaikan dan kebenarannya oleh Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam, yang telah mewarisi ajaran Nabi shallallahu 'alayhi wasallam, disertai dalil daripada Fitrah kurniaan Allah bagi setiap insan.

Ijma‘ (kesepakatan) ‘Ulama’:

1. Imam al-Auza‘ie rahimahullah (wafat: 157H) menyatakan:
“Kami dan at-Tabi‘un, kami semua mengatakan Allah berada di atas ‘ArasyNya…” [1]

2. Imam Ibn Katsier rahimahullah (wafat: 774H) dalam menjelaskan tafsiran ayat ke-3 Surah al-An‘am, berkata:

Firman Allah: {Dan Dia adalah Allah di langit dan juga di bumi yang Mengetahui yang kamu selindungkan dan yang kamu nyatakan lagi Mengetahui apa yang kamu kerjakan} Para Ahli Tafsir berbeza pendapat (dalam mentafsirkan ayat ini) setelah mereka bersepakat menyalahkan pegangan al-Jahmiyah – puak pertama yang menyatakan – “Allah ada di mana-mana – Allah fie kulli makan”[2]

Daripada kata-kata ‘Ulama’ Salafusolih:

1. ‘Abdullah bin Mas‘ud radhiyallahu'anhu , (as-Sahabie) Sahabat Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam berkata:
“إرحم من في الأرض يرحمك من في السماء – Belas ihsanlah kepada yang berada di bumi maka yang berada di langit akan merahmatimu” [3]

2. ‘Abdullah ibn Mubarak rahimahullah [4]:
Imam ‘AbdulLah bin Ahmad meriwayatkan bahawa ‘Abdullah ibn al-Mubarak (wafat: 181H) telah menegaskan: “....Aku bersaksi bahawa Engkau berada di atas Arasy mu, di atas 7 petala langit dan ini berbeza daripada pegangan musuh-musuh Allah, puak yang menyeleweng.” [5]
“Kita mengetahui bahawa Tuhan kita berada di atas 7 petala langit di atas ArasyNya dan kita tidak katakan sebagaimana puak Jahmiyah katakan bahawa Dia ada di sini”, sambil menuding dengan tangannya ke bumi. [6]
“Kita tidak beri‘tiqad seperti I‘tiqadnya golongan Jahmiyah yang mengatakan: Allah ada di bumi, bahkan kita katakan: Dia beristiwa’ di atas ‘ArasyNya.”
“Bagaimana kita mengenali Tuhan kita?” Jawabnya: “Dia di atas langit, beristiwa’ di atas ArasyNya.” [7]

3. Abu Haniefah rahimahullah (80-150H)
 Abu Haniefah [8], pernah ditanya apakah pendapat beliau terhadap orang yang berkata: “Saya tidak tahu samada Allah berada di atas langit atau di bumi.” 
Jawab beliau: “Ia telah kufur, sebab Allah telah menegaskan dalam FirmanNya: {ar-Rahman di atas ‘Arasy Dia beristiwa’} [9] , dan ArasyNya berada di atas 7 petala langit.”
Lalu beliau ditanya lagi: “Bagaimana pula jika ia katakan: Allah di atas ArasyNya tetapi ia tidak tahu ‘Arasy itu ada di langit atau di bumi?” 
Abu Haniefah menjawab: “Ia telah kufur sebab ia telah mendustakan bahawa Allah berada di atas langit dan sesiapa yang menafikan bahawa Dia berada di atas langit, ia telah kufur.” [10]

4. Imam Mālik rahimahullah (93-179H):
Imam Mālik [11] telah menyatakan: “Allah berada di atas langit, manakala IlmuNya ada pada setiap tempat, tiada sesuatupun yang terselindung daripadaNya.” [12]


5. Imam asy-Syāfi‘ie rahimahullah (150-204H):

Al-Imam Adz-Dzahabie dalam kitabnya: “al-‘Uluw” menjelaskan:

Syeikhul Islam Abul Hasan al-Hakkari dan al-Hafiz Abu Muhammad al-Maqdisiy, kedua-duanya meriwayatkan dengan Isnad (rangkaian para perawi) yang sampai kepada Abu Tsaur dan Abu Syu‘aib (murid-murid asy-Syafi‘ie – kedua-duanya meriwayatkan bahawa al-Imam asy-Syafi‘ie [13], Nasir al-Hadiets (pembela Hadis), semoga Allah merahmatinya, telah berkata:
“Pegangan menurut as-Sunnah yang aku sendiri berpegang dengannya dan aku saksikan mereka yang aku sempat ketemui, seperti Sufyan dan Malik; juga berpegang erat dengannya dan selain mereka, adalah persaksian bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan Muhammad adalah UtusanNya dan bahawasanya Allah di atas ‘ArasyNya, di atas langit, dan mendekati hamba-hambaNya sesuai KehendakNya dan Dia turun ke Langit Dunia menurut kehendakNya …kemudian beliau menyebutkan perkara-perkara Aqiedah lainnya.” [14]
 
6. Wahab bin Jareer rahimahullah (w: 206H):
Beliau berkata: “al-Jahmiyah adalah Ahli Bid‘ah, mereka beri‘tiqad bahawa Allah tidak berIstiwa’ di atas ‘ArasyNya” [15]

7. Imam Muhammad bin Yusuf rahimahullah [16]:
Beliau menegaskan: “Barangsiapa yang mengatakan Allah tidak berada di atas ArasyNya maka ia Kafir” [17]

8. Ibn Ma‘dan berkata:
Aku telah bertanya kepada Sufyan ats-Tsauriy rahimahullah [18] berkenaan ayat: Dan Dia (IlmuNya) bersama kamu di mana sahaja kamu berada… [19]
Beliau menjawab: “IlmuNya” [20]

9. Imam al-Hafiz al-Lalaka-i rahimahullah (w: 418H):

Beliau telah membuat kesimpulan berikut, setelah beliau menyenaraikan beberapa ayat [21] sebagai bukti kepada Sifat ‘Uluw sebagai salah satu Sifat Allah:
“Ayat-ayat ini dengan terang dan jelas memberi petunjuk dan bukti bahawa Dia berada di atas langit namun IlmuNya meliputi segala tempat di bumi dan di langit. Inilah yang diriwayatkan daripada para Sahabat; antaranya daripada ‘Umar, Ibn Mas‘ud, Ibn ‘Abbas dan Ummu Salamah .


Begitu juga daripada golongan at-Tabi‘un – (murid-murid setia kepada para Sahabat); Rabie‘ah bin ‘Abdir Rahman, Sulayman at-Taymee, Muqatil bin Haiyan dan di kalangan Ahli Fiqh terbilang yang berpegang dengannya adalah Malik bin Anas, Sufyan ats-Tsauriy and Ahmad bin Hambal.”[22]


Ada banyak lagi nukilan dalam kitab-kitab ‘Ulama terdahulu yang diabadikan oleh Allah, namun rasanya apa yang dibentangkan telah memadai untuk kita meyakini Allah berada di atas langit, di atas ArasyNya dan Dia tidak memerlukan Arasy dan tidak diketahui cara “berada di ArasyNya”, Insya’ Allah.


[1] Al-Asma’ wa as-Sifat – karangan al-Imam al-Baihaqiy: no: 865; jil.2,304 – Atsar (riwayat) ini disebutkan oleh al-Hafiz di dalam Fath al-Bari: 13/406 dengan sumbernya daripada kitab al-Baihaqiy ini dan menghukumkan sanadnya baik. Syeikhul Islam juga menyebutkannya dengan sumbernya daripada kitab yang sama dalam al-Hamawiyah: 5/39 dengan menghukumkan sanadnya sahih dan Imam Ibn Qayyim dalam as-Sawa‘iq al-Mursalah: 2/211 dengan sanadnya lalu menyatakan: “para perawinya semuanya adalah para imam tsiqat ”

[2] Tafsier al-Qur’an al-‘Aziem (Tafsier Ibn Katsier): surah al-An‘am ayat 3. Demikian pula ketetapan melalui falsafah yang mengatakan: “Allah Maujoud bi la makan – Allah wujud tak bertempat” yang boleh diertikan: “Allah tiada di mana-mana”, suatu kenyataan menyeleweng dalam permasalahan ‘Aqiedah yang tidak berasaskan kepada al-Qur’an, tidak pula as-Sunnah, malah tiada satu pun daripada kata-kata para Imam, berbeza dengan yang kita dapati dalam tulisan ini.

[3] Syarh Usul I‘tiqad Ahlis Sunnah wal Jama’ah: 3/438 oleh al-Imam al-Lalaka-i (w: 418H) yang merupakan sebuah hadis Sahih daripada ucapan Rasulullah diriwayatkan oleh at-Tabaraniy (daripada riwayat Jarier), dan at-Tabaraniy juga meriwayatkannya, serta al-Hakim daripada ‘Abdullah bin Mas‘ud – Sahih al-Jami‘: 896.

[4] ‘Abdullah bin al-Mubarak bin Wadih al-Hanzali, at-Tamiemiy al-Marwazi, Mawla Bani Hanzalah al-Marwazi, Tabi‘ie tsiqah, Ahli Fiqh terbilang dan seorang mujahid, wafat 181H – as-Siyar: 1299.
[5] “as-Sunnah” oleh Imam ‘AbdulLah bin Ahmad dengan tahqeeq al-Qahtaanie

[6] Ibid.

[7] Al-Arba‘ien fi as-Sifat; Khalq Af‘al al-‘Ibad karangan al-Imam Bukhariy (194-256H)

[8] Abu Haniefah, an-Nu‘man bin Tsabit al-Koufidikenali sebagai pengasas Madzhab Hanafi (80-150H).

[9] Ayat ini dalam Surah Ta-ha: 20:5.

[10] al-Uluw oleh adz- Dzahabee, Syarh al-‘Aqeedah at-Tahawiyyah oleh Ibn Abie al-‘Izz al-Hanafee

[11] Imam Darul Hijrah, Malik bin Anas bin Malik bin Abi ‘Amir al-Asbahi al-Madani, dikenali sebagai pengasas Madzhab Maliki (93-179H)

[12] Al-Albanee rahimahullah dalam analisanya terhadap Mukhtasar (no. 130), menyatakan: ia diriwayatkan oleh ‘Abdullah dalam as-Sunnah (hlm. 5), dan Abu Dawood dalam Masa-il (hlm. 263) dan sanadnya saheeh dan beliau memuatkan sanggahan terhadap putar belit dan tipu daya al- Kawtharee yang mendakwa sanad ini lemah.

[13] Imam Pembela as-Sunnah, Muhammad bin Idries, al-Muttalibi al-Qurasyi, asy-Syafi‘ie dikenali sebagai pengasas Madzhab Syafi‘ie, 150-204H.

[14] Riwayat Adz-Dzahabie (w: 748H) dalam “Mukhtasar al-‘Uluw”: 176 dan al-Imam Ibn al-Qayim dalam “Ijtima‘ al-Juyusy al-Islamiyah”: 94. Sila rujuk juga: Majmu‘ al-Fatawa: 4/181 dan ‘Aun al-Ma‘bud: 13/41 dan 47 juga.

[15] Khalq Af‘al al-‘Ibad karangan al-Imam Bukhariy (194-256H)

[16] bin Ma‘dan, seorang ‘alim yang sezaman dengan ‘Abdullah bin al-Mubarak (w: 181H). Adz-Dzahabiy ada menyebutkan berkenaan (biografi) beliau di dalam as-Siyar: 1372, dan beliau bukan ‘Abdullah bin Yusuf (w: 218H), salah seorang guru Imam al-Bukhariy dan beliau adalah salah seorang perawi yang diterima periwayatannya dalam Sahih al-Bukhariy.

[17] Khalq Af‘al al-‘Ibad: hlm.15 karangan al-Imam Bukhariy (194-256H)

[18] Sufyan bin Sa‘ied bin Masruq bin Habieb… bin Milkan bin Tsaur (97H-161H). Di antara ‘ulama’ yang terbilang dan terunggul zamannya.

[19] Al-Qur’an: al-Hadied: 57: 4

[20] Khalq Af‘al al-‘Ibad oleh al-Imam Bukhariy, Syarh Usul I‘tiqad Ahlis Sunnah wal Jama’ah: 3/445oleh al-Imam al-Lalaka-i (d: 418H) dan diriwayatkan juga oleh ‘Abdullah bin Ahmad in as-Sunnah: 72.

[21] Al-Qur’an: Fatir: 35:10, Al-Qur’an: al-Mulk: 67:16, Al-Qur’an: al-An‘am: 6:18

[22] Syarh Usul I‘tiqad Ahlis Sunnah wal Jama’ah: 3/429-430 karangan al-Imam al-Lalaka-i.
0 comments:

Search IslamIQ.sg

Visitors:

Facebook

YouTube

Subscribe By Email


Facebook

YouTube

Subscribe By Email

www.fawaaid.sg