Islamiq.sg

AQD030: Kebatilan Slogan “Allah Wujud Tanpa Bertempat” Bhg.2

Kenyataan atau I‘tiqad bahawa “Allah wujud tidak bertempat” yang bermaksud berkenaan Dzat Allah yang Maha Suci, apakah ada satu nas al-Qur’an atau as-Sunnah (hadiets – yang sahih daripada Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam), atau kata-kata walau seorang pun daripada para Salafussolih (para Sahabat dan para Imam 3 kurun pertama yang dijamin Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam) yang menyokongnya dan layak dijadikan sebagai bukti pendokong dan penguatnya?

Hakikatnya, yang sebenarnya, anda tidak mampu menemukan walau satu pun (melainkan jika anda bermatian mendapatkan tukilan daripada seseorang alim yang hidup selepas 300H – ketika mana pengaruh falsafah telah menyerap masuk ke dalam perbahasan ‘Aqiedah).

Kita wajib terima segala nas Sifat-sifat Allah seadanya dan tanpa mentakwilkannya kepada makna lain, apatah lagi menolaknya.

Al-Imam al-Bukhariy rahimahullah telah meriwayatkan kata-kata al-Imam az-Zuhri rahimahullah:

“من الله الرسالة ، و على الرسول البلاغ ، و علينا التسليم”

“Daripada Allah datangnya ar-Risalah (Wahyu), tugas RasulNya adalah menyampaikannya dan kewajipan kita untuk menerimanya dengan redha sepenuh hati tanpa andaian.” (Fath al-Bari: 13/512, al-Imam al-Baghawiy juga telah meriwayatkannya: Syarh as-Sunnah: 1/217)

‘Ulama’ terbilang zaman silam, yakni Salafussalih (yang wafat sebelum 300H) adalah orang-orang ‘alim, cerdik pandai yang terkemuka dengan ketajaman akal yang hebat dan dengan kebijaksanaan mereka, mereka telah mengamalkan sikap menerima segala apa yang Allah jelaskan dengan WahyuNya dan semua yang RasulNya terangkan, sebab menerima dengan redha sepenuh hati (tanpa dolak dalih atau andaian itu ini) adalah wajib.

Allah berada di mana yang Dia sendiri beritakan kepada kita, namun pada masa yang sama, kita mengetahui bahawa itu tidak bermakna Allah yang Maha Agung memerlukan ArasyNya atau Allah yang Maha Suci duduk di atas ArasyNya atau Allah diliputi langit. Mereka hanya beriman sesuai yang Allah khabarkan dan sesuai dengan penjelasan Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam. Tiada di antara mereka yang mentafsirkan bahawa Allah duduk atau berehat atau bersandar di ArasyNya atau perlukan ArasyNya. Sungguh Dia Maha Sempurna daripada segala sifat sedemikian.

Mereka adalah golongan cerdik pandai yang menyatakan:

“Allah berada di mana Allah telah beritakan kepada kita, di atas 7 petala langit, Dia naik di atas ArasyNya, pada cara yang sesuai dengan SifatNya yang Maha Sempurna, Dia bukannya di setiap tempat dan tidak pula disifatkan tidak bertempat.”


1) Imam Malik rahimahullah (93-179H)

Pemahaman yang jelas ini ada pada kata-kata Imam Malik rahimahullah, bahkan, ungkapan ini bukan sahaja dapat diterapkan sebagai aqidah yang tepat dalam permasalahan ini, yakni Sifat ‘Uluw adz-Dzat adalah salah satu Sifat Allah, bahkan ia bersesuaian bagi setiap permasalahan “beriman kepada Sifat-Sifat Allah secara umumnya, iaitu ketika beliau menjawab soalan seorang lelaki yang datang bertanya:

“Bagaimana Allah beristiwa’/naik ke atas ArasyNya?”

“الإستواء غير مجهول و الكيف غير معقول ، و الإيمان به واجب، و السؤال عنه بدعة، و ما أراك إلا ضالا”

“Istiwa’ itu (satu perkara keimanan) bukannya sesuatu yang tidak diketahui (malah ia sedia diketahui umat), manakala caranya bagaimana (Allah beristiwa’) adalah di luar jangkauan akal, namun beriman kepadanya (bahawa Allah beristiwa’ dengan cara yang tidak diketahui) adalah wajib, manakala perbuatan mempersoal mengenainya (cara Allah beristiwa’) adalah bid‘ah dan menurut pandanganku, anda seorang yang sesat.”

(Syarh Usul I‘tiqad Ahlis Sunnah wal Jama’ah karangan al-Imam al-Lalaka-i no: 664, Mukhtasar al-‘Uluw oleh Adz-Dzahabiy: 141-142, al-Baghawiy dalam Syarh as-Sunnah)

Allah naik ke atas Arasy adalah satu perkara keimanan dan kepercayaan yang telah sedia diketahui umat Islam, sebagaimana yang ada dalam dalil-dalil al-Qur’an, as-Sunnah, Ijma‘at-Tabi‘ien, kata-kata para Sahabat dan kata-kata ‘ulama golongan at-Tabi‘ien dan yang mengikuti mereka. Imam Malik rahimahullah hidup pada zaman yang mana perkara itu sedia diketahui umum umat Islam, namun soal caranya, beliau fahamkan, tiada dalam dalil-dalil itu tadi yang menjelaskan tentang “cara” atau “bagaimana” dan ia pula daripada perkara yang berada di luar jangkauan akal (perkara-perkara ghaib).

Namun wajib beriman bahawa Allah beristiwa’ dengan cara yang tidak dapat kita ketahui, yang sesuai dengan SifatNya yang Maha Agung, Maha Sempurna lagi Maha Suci dan tiada yang menyerupaiNya. Pada masa yang sama adalah menjadi satu kesalahan dan dosa untuk membayangkan dan mempersoal tentang caranya atau bagaimananya, yang merupakan satu perbuatan bid‘ah yang tidak pernah dilakukan atau dipersoalkan oleh Salaful Ummah (Sahabat, at-Tabi‘un dan Atba‘at-Tabi‘ien).


2) Imam Sufyan bin ‘Uyainah rahimahullah (w: 198H)

Al-Imam Sufyan bin ‘Uyainah rahimahullah telah menegaskan:

“كل ما وصف الله تعالى به نفسه في القرآن فقراءته تفسيره، لا كيف و لا مثل”

“Setiap apa yang Allah sifatkan DiriNya di dalam al-Qur’an, maka bacaannya itu sendiri adalah tafsirannya (maksudnya ambil perkataannya yang dibaca dan yang dibaca itu jugalah maknanya – secara zahir), tanpa mempersoal bagaimana dan tiada pula persamaan (antara Allah dengan sesuatu pun daripada makhluqNya).” (Syarh Usul I‘tiqad Ahlis Sunnah wal Jama’ah oleh al-Imam al-Lalaka-i no: 736)


3) Imam asy-Syafi‘ie rahimahullah (150-204H)

Imam asy-Syafi‘ie rahimahullah, sebagaimana yang telah kita fahami sebelum ini, beriman bahawa Allah berada di atas ArasyNya, telah menyatakan:

“آمنت بالله ، و بما جاء عن الله على مراد الله ، و آمنت برسول الله و بما جاء عن رسول الله على مراد رسول الله”

“Aku beriman kepada Allah dan apa sahaja yang datang daripada Allah, menurut apa yang dimaksudkan oleh Allah dan aku juga beriman kepada Rasulullah dan apa-apa sahaja yang datang daripada Rasulullah, menurut apa yang Rasulullah maksudkan (tanpa apa-apa takwilan dan andaian).” (Lum‘at al-I‘tiqad al-Hadi ila Sabiel ar-Rasyad oleh Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi (w: 620H) hlm. 36)


4) Imam al-Auza‘ie rahimahullah (wafat: 157H) 

Imam al-Baghawiy rahimahullah (436-516H) juga meriwayatkan bahawa al-Auza‘ie (wafat: 157H), Sufyan bin ‘Uyainah (wafat: 198H) and Malik bin Anas (wafat: 179H), ketika mereka ditanya mengenai as-Sifat (Sifat-sifat Allah) dan ar-Ru’yah (para penghuni Syurga akan dapat melihat Allah), mereka semua katakan:

“أَمِرُّوْها كما جاءت بلا كيف”

“Perlakukannya (dan terimalah ayat-ayat dan hadis-hadis berkenaannya) sebagaimana ia (diturunkan dan disampaikan) tanpa mempersoalkannya bagaimana.” (Syarh as-Sunnah oleh Imam al-Baghawiy: 1/71, lihat juga ‘Aqidat as-Salaf As-hab al-Hadiets oleh Imam as-Sabuniy (373-449H) no: 90 dan Syarh Usul I‘tiqad Ahlis Sunnah oleh Imam al-Lalaka-i no: 875)

~~~~~

Imam Malik rahimahullah juga telah memperingatkan: “Berwaspadalah daripada perlakuan bid‘ah!”
Beliau ditanya: “Apakah bid‘ah itu?”
Jawabnya: Ahli Bid‘ah adalah golongan yang mempersoal dan bercakap sembarangan berkenaan Nama-nama Allah dan Sifat-SifatNya, Firman-firmanNya, IlmuNya dan KerajaanNya. Mereka tidak menahan lidah mereka, tidak seperti yang dilakukan oleh para Sahabat dan at-Tabi‘un (murid-murid setia para Sahabat) dan golongan yang menuruti mereka dengan sebaik-baik ikutan.” (Syarh as-Sunnah karangan al-Imam al-Baghawiy: 1/217)

Orang yang mengatakan:
“Allah tidak bertempat, tiada tempat dan arah yang boleh dikaitkan dengan Allah, Dia tiada atas segala ciptaanNya, tidak di luar alam dan tidak pula di dalamnya, “الله موجود بلا مكان” …”

Maka orang itu tersesat kerana menolak Firman-firman Allah, mengingkari penjelasan Rasulullah dan tiada daripada ‘Ulama terbilang khususnya Salafussolih yang mengatakan demikian. Ia telah sesat dan boleh jadi kufur di sisi Imam Abu Haniefah sama seperti pihak yang menyatakan “Allah di mana-mana”. (Rujuk: AQD025: Sifat 'Uluw - Ijma' Ulama' )

Marilah kita ikuti Wahyu, al-Qur’an dan as-Sunnah serta ajaran Salafussolih. Usahlah kita ikuti hawa nafsu dalam mentafsirkan al-Qur’an dan as-Sunnah, ataupun menuruti Iblis, berkata tentang Allah tanpa ilmu, malah dengan pendekatan falsafah dan akal kita yang terhad. Wallahu a‘lam.

Terjemahan: Ustadz Abu Mazaaya
Sumber: Sifatu ‘Uluw al-‘Aliyi al-‘Afuw
1 comments:

@Krongthip,

Sifat 20 bukan dari ajaran AlQuran dan Sunnah, mamadai atau tidak beriman dengan itu, Jawap sendiri.

Dalam AlQuran, 7 kali dan banyak Hadith Sahih (Surah 7:54, 10:3, 13:2, 20:5, 25:59, 32:4, 57:4, 67:16->17) Allah Sendiri yang Istihar Dia Wujud di Arasy atau di Langit.

tapi Ahli Bid'ah "mengatakan Wujud Allah tiada bertempat dan tanpa arah." Itu trick asal fahaman Ahli Falsafah (fahaman atheis) meresap masuk Islam, Tidak bertempat maknanya Takde, takde Tuhan. Tanpa arah = supaya umat Islam tak tentu arah. Maka itu, batal iman atau tidak? Jawap sendiri.

Memang benar kata anda "Nabi s.a.w pun melarang kita daripada berbahas mengenai ayat2 mutasyabihah" sebagaimana sepakat Imam2 manhaj salafussoleh seperti Imam Hanafi, asy-Syafi'i, Malik, Sufyan, al-'Auzai'e sepakat dengan fahaman "“Perlakukannya (dan terimalah ayat-ayat dan hadis-hadis berkenaannya) sebagaimana ia (diturunkan dan disampaikan) tanpa mempersoalkannya bagaimana.” , iaitu mereka terima dan beriman dalam hal Sifat Sifat dan WujudNya Allah sebagaimana ayat AlQuran dan banyak Hadith Sahih, tanpa Gambarkan bagaimana, tanpa Bertanya bagaimana, dan mereka Melarang bertanya bagaimana, kerana mereka paling faham maksud Surah 42:11 dan 112:4 "Tiada sesuatu pun yang serupa atau setara denganNya."

Tapi Ahli Bid'ah yang pandai pandai " berbahas mengenai ayat2 mutasyabihah" panjang lebar, berjelajela tapi akhirnya istihar Allah Wujud Tidak Bertempat, yang bertentangan dengan IstiharNya Allah.

Masaalahnya bukan ilmu tinggi atau orang awam, masaalahnya kalau kita terus cari ilmu dengan ahli bid'ah yang KO dalam hal Tauhid Sunnah, kita pun foerever KO kerana akidah Syirik, dikhuatiri semua amalan batal dan sia sia, sebagaimana amaran Surah 39:65, 4:116, 4:48, Na'uzubillah.

Semoga segala info yg di kongsi dapat menyatukan umat Islam dalam membela Kebenaran, dan tidak bersubahat dalam menyibarkan Kebathilan.

Barakallahu Feekum.


Search IslamIQ.sg

Visitors:

Facebook

YouTube

Subscribe By Email


Facebook

YouTube

Subscribe By Email

www.fawaaid.sg