Islamiq.sg

Hukum Nasyid

Soalan:

Apakah hukum nasyid? Bukankah hukum muzik itu ada perbezaan pendapat?

Jawapan:

Memahami Pelbagai Jenis Khilaaf

Benar ulamaa berselisih di dalam masalah ini, namun setiap perselisihan itu ada pembahagiannya dan saya sebutkan ini semua untuk faedah bukan sahaja dalam masalah ini tapi dalam berbagai masalah, apatah lagi dengan keadaan yang mana Islam telah cuba dijelaskan dan dibahagikan sebagai Islam moderate, ekstrim, kuno, progresif, moden...

1. Khilaaf syadied
- Khilaaf yang hebat/kuat kerana masing-masing mempunyai hujjah yang kuat
- Contoh: hukum menjaharkan atau sirkan bismillah dalam sholat

2. Khilaaf syaadz
- Percanggahan seorang/segolongan dari pendapat ramai sedang pendapat segolongan yang sedikit itu tidak berpandukan pada dalil yang kukuh
- Contoh: sa'iee 14 pusingan di sisi Ibn Hazm sedangkan Jumhur menghitungnya 7 pusingan sahaja

3. Khilaaf Tanwie'
- Khilaaf dalam hal kepelbagaian, namun semuanya bersandarkan kepada dalil yang sah
- Contoh: bacaan doa istiftaah yang mempunyai pelbagai bacaan berlainan tetapi semuanya masih berpandukan As-Sunnah yang shohih

4. Khilaaf Tadhod
- Khilaaf yang mana satu pendapat amat berbeza dengan pendapat yang satu lagi (ataupun jika satu pendapat katakan harus dan yang satu lagi kata haram)
- Contoh: qunut yang dilakukan secara tetap di dalam sholat Subuh di sisi Imam as-Syafiee rahimahullah (dengan bersandarkan ijtihaad) sedangkan madzhab yang lain tidak menetapkannya

Kesimpulannya, khilaaf syaadz dan khilaaf tadhod perlu pengkajian menurut dalil yang benar dan bernas disertai hujjah yang tepat untuk mendapatkan hukum yang berdasarkan kepada ilmu yang diyakini dan ketaqwaan yang diusahakan.

Khilaf di dalam masalah yang kita bicarakan ini "Nasyid" sejauh pembacaan saya termasuk dalam kategori khilaf tadhod tetapi itu bergantung kepada "bagaimana" "alat-alatnya" ringkasnya apa yang dimaksudkan dengannya.

Mengenali Prof Yusuf Qardhawi

Prof Yusuf Qardhawi, semoga Allah memelihara beliau dan memberi hidayat kepada beliau dan kita semua, perlu diketahui, adalah seorang 'alim yang generalist. Macam-macam boleh beliau huraikan, sayangnya, ilmu beliau tidak mantap dalam bidang hadits, padahal ia adalah bidang yang sangat penting kerana ia sandaran utama yang menjelaskan Al-Quran. Maka untuk membicarakan Fiqh Waaqi', Fiqh Aqalliyaat, Fiqh Aulawiyaat, itu semua adalah hasil dari 2 perkara/ilmu utama:

1. Memahami dan mempunyai gambaran menyeluruh terhadap masalah yang dibicarakan dan

2. Fiqhun Nash, fiqhul Hadits, Fiqhus Syari'ah amat penting sebelum mampu digaungkan untuk menjadi apa yang disebutkan di atas tadi.

Maka orang yang punya fiqh tapi tak punya ilmu waaqi' boleh tersilap dalam fatwaanya dan begitu pula sebaliknya.

Oleh itu, beliau banyak tersilap dalam fatwanya, sebagai contoh, fatwa mengenai "Kepentingan ilmu lebih utama dari kepentingan menutup aurat" yang telah disebarkan di Singapura adalah hasil dari fatwa beliau bila ditanyakan keadaan yang serupa di Tunisia. Yang mana, orang yang mempunyai ilmu fiqh yang umum pun akan tahu fatwa tersebut tidak tepat.

Diterangkan ini semua untuk kita tahu kedudukan Prof Yusuf Qardhawi yang dijadikan rujukan ramai pihak yang menagih ilmu, seperti yang dijelaskan oleh ramai ulama Timur Tengah yang ilmunya jauh lebih hebat dari beliau, cuma sayang, kerana banyak fatwa mereka dianggap orang sukar/berat itulah ramai pihak orang awam tidak sokong dan tidak popular.

Kewajipan Orang Yang Bicarakan Soal Agama

Sebab setiap yang mengeluarkan hukum atau membicarakan tentang soal agama perlu mendatangkan berikut dan dapat diketahui benar dan silapnya dengannya:

1. Dalil
- iaitu ayat Al-Quran, Hadits dan kata-kata Sahabat/Tabi'een

2. Dalil tersebut sah
- kalau ayat Al-Quran dah tentu shohih
- hadits pula perlu diperhatikan sahih atau dho'ief sehingga pendapat yang berbalik pada hadits dho'ief tentunya tertolak dan tidak benar dibandingkan dengan pendapat yang sandarannya adalah hadits shohih/hasan
-  kata-kata Sahabat dan Tabi'een selama ia tidak bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Dan yang pasti sah adalah bila ada ijma' (kesepakatan) di kalangan mereka.

3. Ketepatan berhujjah dengan dalil tersebut
- yakni tidak bercanggah dengan ayat-ayat Al-Quran dan Hadits-hadits shohih semuanya
- Inilah yang selalu diperalatkan orang untuk mengelirukan atau memang diri org yang mengeluarkan fatwa itu sendiri terkeliru, kerana tidak menguasai fiqhul hadiets dan fiqhun nushush

Maka, amat keji untuk seseorang yang mengeluarkan hukum atau membicarakan tentang soal agama (lalu membenarkan muzik atau nasyid) mengelak-elakkan diri apabila diminta membentangkan hujjah ataupun merasa dirinya terlalu hebat sehingga tiada hak untuk dirinya dipertikaikan atau untuk dirinya diminta mengeluarkan hujjah.

Hukum Nasyid

1. Ulama Salaf

Ulama salaf seperti Imam Maalik dan Asy-Syaafi'ee amat keras di dalam masalah ini, sehingga mereka menjelaskan: Orang yang mendendangkan peringatan tentang Akhirat adalah golongan zindiq (mengaku Islam tapi bencikan Islam - munafiq) kerana menjauhkan manusia dari penghayatan Al-Quran. Ada banyak lagi kata-kata Sahabat, Tabi'een yang seperti itu yang disebutkan dalam berbagai kitab antaranya karangan Imam Ibn Hajar Al-Haitsami "Kaffur Ru'aa anil manhyi minas samaa'" dan"Tahriem Alaatut Thorb" Asy-Syeikh Al-Albaaniy.

2. Ulama Kebelakangan

Ulama kebelakangan, antaranya Prof Yusuf Qardhawi, agak lenient dalam masalah ini dan dari kalangan ulama dahulu, Imam Ibn Hazm rahimahullah, yang masyhur menghukumkan banyak jenis dendangan halal. Prof Yusuf Qardhawi ada sebutkan masalah ini dalam "Halal dan Haram" dan selain mereka, Syeikhul Azhar Muhd Abu Zuhrahdi di dalam fatwa beliau ketika menjawab persoalan dalam Majallah Ikhwaanul Muslimien, sebahagian Ulamaa Ikhwaanul Muslimien di dalam Majallah Ikhwaanul Muslimien dan lain-lain.

Namun dapat disimpulkan kebanyakan "ulama" Nusantara yang menghukumkannya harus dengan berbagai bentuknya kecuali yang melalaikan dan mengajak kepada perkara lucah, zina dan maksiat sahaja yang terlarang, berbalik kepada fatwa Qardhawi. Maka, jika anda telah baca fatwa Al-Qardhawi, maka ada baiknya dibaca juga karangan Syeikh Abu Bakar Al-Jazaairi yang telah diterjemahkan oleh Ustaz Rasul Dahri.

Sebab perselisihan mereka adalah berbagai dalil yang seolah-olah boleh membawa erti Harus:
- Nabi sendiri pernah bernasyid sewaktu membina Masjid Nabawi
- Al-Hasan, cucu Nabi pun pernah bernasyid
- ada Sahabat yang bernasyid/bersyair
- Nabi tidak melarang (hadits Shohih Muslim) 'Aa-isyah mendengar dendangan dua hamba sahaya perempuan
- Soal Waliemah yang Nabi suruh adakan paluan "duff"

Perlu difahami:
- ayat Al-Quran di dalam Surah Luqmaan, ayat 6 "Lahwal hadiets" ditafsirkan oleh Tarjumaan Al-Quran, Ibn Abbaas sebagai nyanyian
- Abu Bakar mengatakan dendangan yang 'Aa-isyah perdengarkan adalah "Mizmaar Syayaathien"
- Ibn Mas'uud, Abu Hurairah, Ibn 'Umar dan ramai lagi Sahabat bersikap keras dan "strict" terhadap dendangan
- Imam-imam 4 Madzhab juga jelaskan demikian
- Semuanya itu seperti melarang kecuali dengan beberapa syarat yang ketat

Kesimpulan:
- Kesimpulannya berbalik kepada nash-nash yang melarang dan maksud sebenar atau hujjah yang tepat. Pandangan saya adalah bersandarkan kajian dan bacaan terhadap kitab-kitab para ulamaa, bukanlah kesimpulan peribadi dari akal sendiri.

1. Nasyid yang dibolehkan

- Nasyid yang didendangkan sebagai syair dibolehkan, yakni dengan suara tanpa suatu alat pun
- Namun ada sebahagiannya yang tidak dibolehkan kerana isikandungnya yang bercanggah dengan syara'

Dalil-dalilnya:
- Nabi menyifatkan "syair" sebagai ucapan, jika baik baiklah ia jika buruk buruklah ia (hadits shohih)
- "Sebahagian syair mengandungi hikmah" (shohih: Al-Bukhaariy)
- isteri baginda 'Aa-isyah juga mengharuskannya
- Abu Bakar ketika demam juga akan bersyair (shohih: Ahmad)

Maka, dibolehkan untuk sempena tertentu untuk bernasyid tanpa alat dan kandungannya (sebagaimana yang ada di dalam riwayat-riwayat) seperti:
- mengingatkan akan mati
- kerana merindui ahli dan tanahair
- merehatkan perasaan
- meringankan penat perjalanan
- mempercepatkan perjalanan
- meninggikan semangat perjuangan

Namun amat penting diketahui sebagaimana yang dijelaskan oleh Imam Asy-Syaathibi rahimahullah di dalam I'tishom:
- Nasyid (syair yang didendangkan) mereka (Salaf) itu bukanlah seperti yang wujud zaman sekarang kerana mereka (Salaf) masyarakat ummiy, tetapi semata-mata diperpanjangkan sebahagian lafaz (tiada lenggok-lenggok) dan dipadankan hujung-hujung ayatnya sehingga indah diperdengarkan.

2. Alat yang diizinkan
- Satu-satunya instrument yang diizinkan adalah "duff" (seperti alat kompang hadrah ada sebelah bahagian sahaja yg tertutup)
- sedangkan "thabal" (seperti tabla India) iaitu yang ada dua bahagian tertutup tidak diizinkan kerana ia tidak diizinkan golongan Salaf (seperti keterangan ramai antaranya Imam Al-Jauzi rahimahullah)
- apatah lagi alat/instrumen lainnya yg digelar mizmaar syayaathien

3. Bukan sebagai ibadah atau bertaqarrub
- Tidak boleh diambil dendangan itu sebagai ibadah atau mendekatkan diri kepada Allah seperti berdoa dan sebagainya

4. Yang jelas terlarang
- Yang lebih jelas terlarang adalah bilamana nasyid yang disertai alat itu telah menyerupai nyanyian-nyanyian yang haram seperti lagu-lagu sehingga bukan syair yang mengandungi hikmah atau nasyid yang dimaksudkan pada zaman Nabi lagi tetapi telah menjadi hiburan, biarpun hiburan alternatif

5. Tidak menggoyang-goyangkan anggota
- seperti kaki, tangan, kepala yang 'Aa-isyah sifatkan sebagai "Syaithan" (Riwayat al-Baihaqiy dan Al-Bukhaariy dlm Adabul Mufrad - hasan dan dihukumkan shohih oleh Ibn Rajab)

6. Tidak melebihi had
- Yang mana jika telah sampai had menjadi seperti pengganti Al-Quran, masyarakat lebih memberi tumpuan padanya dari Al-Quran maka ia terlarang dan yang bersubahat dengan perkara seperti itu juga terlarang

Kata Imam Ibnul Qayiim rahimahullah (ringkasan):
"Bilamana sifat musyrikien yang tidak mahu mendengar Al-Quran, tidak mahu menilai isinya, memikirkannya dengan berbagai cara, maka apa sahaja yang menjadikan pengajian Al-Quran, penghayatannya, dilekakan kerana tumpuan pada yang lain seperti syair, pendapat-pendapat, nyanyian dan dendangan, permainan dan kata-kata dan falsafah dan selainnya adalah dari sikap meninggalkan Al-Quran."
Wallahu a'lam.

*Jawapan ini telah disiapkan oleh Ustadz Hamzah Jummat
1 comments:

Apakah hingga akhir nanti kita benci tapi rindu
Pada muzik dan lagu kerana turut hawa nafsu ?

Apakah benar lagu dan muzik
Bagaikan kembar nifaq dan fasik ?

Bukankah seni dan adat budaya
Sebahagian dari cabang agama ?

Jika muzik santapan Sufi
Apakah pula titipan Asy-Syafi'ii ?

Jika ikut fatwa Qardhawi
Mana nak campak Hadith Nabi ?

Apakah benar perkara yang haram
Jadi halal dengan nama Islam ?

Muzik Islam, Seni Islam, Lagu Islam, Nasyid Islam,
Bukankah yang halal tetap halal, yang haram tetap haram ?

Penyanyi Islam, Pelakon Islam,
Apa bezanya dengan George Lam ?

Menyanyi boleh, berjoget boleh,
Apa bezanya dengan Sally Yeh ?

Apakah halal semua lagu
Asalkan tidak timbulkan nafsu ?

Apakah panduan bagi semua
Ikut agama atau ikut selera ?

Ke mana tuju ke mana haluan
Cari kebenaran atau cari alasan ?

Allahul Musta'an !

www.binsajen.blogspot.com


Search IslamIQ.sg

Visitors:

Facebook

YouTube

Subscribe By Email


Facebook

YouTube

Subscribe By Email

www.fawaaid.sg