Islamiq.sg

AQD022: Ahlis Sunnah Bukan al-Asya‘irah 2

Bab 1: Pengertian Ahlis Sunnah wal Jama‘ah

1.1 Erti as-Sunnah

1.11 Bahasa

as-Sunnah dari segi Bahasa bererti: as-Sierah (السيرة) iaitu suatu perjalanan, tidak kira baik atau buruk. Diertikan juga dengan maksud: at-Tarieqah (الطريقة); diambil daripada as-Sanan iaitu (الطريق) suatu jalan.

1.12 Istilah

Adapun dari sudut Istilah, maka ia telah diertikan dengan berbagai pengertian oleh ‘ulama’ menurut bidang kajian masing-masing. Walau bagaimanapun, sebelum dijelaskan pengertiannya menurut berbagai bidang yang berbeza, ada baiknya dijelaskan maknanya menurut kefahaman generasi awal umat ini (Sahabat dan Salaf al-Ummah):

Apabila perkataan as-Sunnah disebut dalam ucapan Rasul atau ungkapan para Sahabat dan at-Tabi‘ien, dalam bentuk yang baik (bukan celaan); maka tiada lain yang dimaksudkan dengannya kecuali maknanya menurut Syara‘ yang bermaksud umum yang merangkumi hukum-hukum: I‘tiqadiyah (berkaitan dengan ‘Aqiedah/kepercayaan), al-‘Amaliyah (amalan), samada wajib mahupun mandub ataupun mubah/harus.

Kata al-Hafiz Ibn Hajar dalam al-Fath:
"…Telah tetap bahawa lafaz as-Sunnah apabila disebutkan di dalam hadis, tidak dimaksudkan dengannya apa yang berlawanan dengan al-Wajib…" [Al-Fath: 10/341] – maksudnya bukan Sunnat yang diketahui sebagai salah satu daripada hukum-hukum Islam yang lima.
Kata Ibn ‘Allan dalam Daliel al-Falihin mengenai hadis “فعليكم بسنتي”:
"yakni Tarieqatie (jalan ku) dan jalan ku yang lurus yang aku berjalan atasnya (peganganku) daripada apa yang telah aku perincikan berupa hukum-hukum I‘tiqad, amalan yang Wajib, yang Mandub dan lainnya. Pengkhususan maknanya yang diertikan oleh para ahli Usul sebagai: “yang dituntut dengan tuntutan yang tidak berat” (yang sunnat hukumnya) adalah istilah baru, yang mereka maksudkan adalah untuk membezakannya daripada perkara fardu." [Daliel al-Falihin: 1/415]
As-Sunnah juga diertikan dengan berbagai pengertian menurut bidang kajian ilmu Islam tertentu, sebagaimana dijelaskan berikut ini:

i. Jumhur Ahli Hadis

ما أُثر عَن النبي مِن قَوْل أو فِعْل أَوْ تَقْرِير أو صِفَةٍ خَلْقِيَّةٍ و خُلُقِيَّةٍ أَو سِيْرَة بَعْدَ الْبِعْثَة وَ قَبْلِهِا

Segala yang diwarisi daripada Nabi baik dari segi kata-kata (ucapan), perbuatan dan taqrier (diam dan tidak menegah atau menegur sesuatu perbuatan Sahabat, sebagai tanda setuju atau redha) serta sifat-sifat baginda sallallahu 'alayhi wasallam, baik dari segi akhlaq (keperibadian) atau perawakan (rupa kejadian), juga riwayat hidup baginda baik sebelum atau sesudah kenabian. [1]

ii. Ahli Usul
- segala yang ditukil atau diambil daripada Nabi , baik ucapan, perbuatan mahupun taqrier. [2]

iii. Ahli Fiqh
- segala hukum yang bukan wajib yang sabit (berasal) daripada Nabi . Iaitu sepertimana yang kita ketahui di dalam 5 Hukum Islam; Wajib, Haram, Harus (Mubah), Makruh dan Sunnat. [3]

Dengan itu, dapat difahami erti as-Sunnah menurut berbagai bidang kajian ilmu yang berbeza-beza itu tadi.

Namun, bilamana kajian kita ini tertumpu pada makna ungkapan “Ahli Sunnah” dan siapa “Ahli Sunnah wal Jamaah yang sebenarnya, kita ambil nukilan berikut:

Kata al-Hafiz Ibn Rajab rahimahullah (w.795H):
“As-Sunnah ialah satu jalan yang mesti dilalui (atau disusuri). Maka dengan sendirinya, ia merangkumi satu pegangan, yang berpegang-erat dengan apa yang ditunjukajarkan oleh Nabi dan keempat-empat Khalifah ar-Rasyidien rahimahumullah dalam segenap persoalan I‘tikad (kepercayaan), amalan dan tingkah-laku. Inilah pengertian serta pengamalan as-Sunnah yang sempurna. Oleh kerana itu, para Salafussolih pada zaman dahulu, tidak mengertikan perkataan as-Sunnah secara mutlak (umum), kecuali sebagaimana yang telah dirangkumkan tadi.” [Jami’ul ‘Ulum wal Hikam]

Sebab itu para Imam terdahulu zaman as-Salaf dan yang mengikuti mereka memberikan judul kitab mereka dengan judul “as-Sunnah” sedangkan kandungan kitab-kitab tersebut adalah perkara-perkara yang disebutkan tadi iaitu “I‘tikad (kepercayaan), amalan dan tingkah-laku”.

Sebagaimana Ibn ‘Abbas radhiyallahu'anhuma ketika ditanya mengapa Solat Qasar tidak dilakukan ketika seseorang musafir bermakmum kepada seorang Imam yang muqim yang solat 4 rakaat, jawab beliau: “Itulah as-Sunnah” (Hadis shohih riwayat Imam Ahmad, #1765) maknanya itulah ajaran ataupun amalan yang diajarkan oleh Nabi sallallahu 'alayhi wasallam.

Di antara kitab-kitab tersebut adalah:
  • “as-Sunnah” karangan al-Imam Ahmad bin Hambal rahimahullah (w.241H),
  • “as-Sunnah” oleh anak beliau “Abdullah bin Ahmad rahimahullah (213-290H),
  • “as-Sunnah” karangan al-Hafiz Ibn Abie ‘Asim rahimahullah (w.287H),
  • “Usul as-Sunnah” oleh Imam Abu Bakar ‘Abdullah bin az-Zubayr al-Humaidi rahimahullah (w: 219H),
  • “Syarh as-Sunnah” karangan Imam Isma‘iel bin Yahya al-Muzaniy rahimahullah (w.264H – murid terkemuka asy-Syafi‘ie),
  • “Syarh as-Sunnah” oleh Imam al-Barbaharie rahimahullah (w.329H),
  • “Sorieh as-Sunnah” oleh Imam Abu Ja‘far Muhammad Ibn Jarier at-Tabariy rahimahullah (w.310H – pengarang kitab Tafsir at-Tabariy, kitab tafsir pertama yang lengkap)
  • dan lain-lain.
Maka daripada pengertian Ahli Sunnah itu tadi, dapatlah difahami bahawa Ahlis Sunnah yang sebenar adalah golongan umat Islam yang:
  • menuruti ajaran Nabi salallahu 'alayhi wasallam dan para Sahabat radhiyallahu'anhum dengan sebaik-baik ikutan,
  • beri‘tiqad pada kepercayaan mereka berkenaan yang Ghaib, Rukun Iman, Ruh, Wahyu dan segenap persoalan kepercayaan yang bersesuaian dengan I‘tiqad Rasulullah salallahu 'alayhi wasallam dan para Sahabat radhiyallahu'anhum,
  • berusaha beramal dengan apa jua amalan, sesuai dengan yang diamalkan oleh Nabi Muhammad salallahu 'alayhi wasallam dan para Sahabat radhiyallahu'anhum sehingga solat, zakat, puasa, zikir, tilawah al-Qur’an yang mereka laksanakan, mereka usahakan sedaya upaya mereka agar ibadah itu semua bersesuaian dan sepadan dengan Sunnah Nabi salallahu 'alayhi wasallam dan ajaran Sahabat radhiyallahu'anhum,
  • dan juga akhlak dan sikap mereka dalam pergaulan sesama umat Islam dan sesama manusia lainnya.

1.2 Erti al-Jama‘ah

1.21 Bahasa
- segolongan atau sekumpulan manusia yang bersatu untuk satu tujuan. Misalnya Solat Jama‘ah.

1.22 Istilah
- mereka yang kita kenali sebagai Sahabat-sahabat Nabi salallahu 'alayhi wasallam

Penjelasannya:

Maka, yang dimaksudkan dengan al-Jamaah ialah para Sahabat Nabi radhiyallahu'anhum, yakni orang-orang yang terdahulu dari generasi pertama Islam. Demikian juga, termasuk dalam istilah Al-Jamaah, mereka yang mengikuti para Sahabat (walaupun hanya seorang diri sahaja). Selagi seseorang itu berpegang dengan pegangan serta mengikuti jejak langkah Sahabat radhiyallahu'anhum, maka ia adalah al-Jamaah. Meskipun seorang diri, ia tetap digelar segolongan (al-Jamaah kerana mewakili para Sahabat).

Sabda Nabi salallahu 'alayhi wasallam :
“Umatku akan berpecah kepada 73 golongan, semuanya dalam Neraka kecuali satu. Para Sahabat bertanya: Siapakah yang satu itu? Jawab baginda : Mereka yang berpegang dengan pegangan ku dan pegangan para Sahabat ku.”

[Hadis riwayat at-Tirmidzi (5/26), al-Hakim (1/129), daripada Ibn Umar - tapi sanad periwayatannya do‘ief . Namun ada periwayatan lain yang banyak, sahih tulen, sebagaimana pernyataan Imam at-Tirmidzi antaranya yang beliau riwayatkan  daripada Abi Hurairah (5/25),  Abu Dawud  (2/259)  daripada Abi Hurairah dan Mu’awiyah yang berderajat (Hasan). Ibnu Majah (2/1321) daripada Abi Hurairah dan ‘Auf bin Malik – kesimpulannya hadis ini dapat dijadikan pegangan. Dengan lafaz ini diriwayatkan oleh al- ‘Uqailiy (ad-Du‘afa’: hlm 207 dan at-Tabaraniy dalam as-Saghier dan al-Ausat. – Silsilah: 203, 1/407]  
Di dalam sebahagian jalan periwayatan Nabi menjawab dengan: “al-Jama‘ah”

[Hadis riwayat Ibn Majah (2/479) Ibn Abie ‘Asim (as-Sunnah: 63), al-Lalaka-i (Syarh as-Sunnah: 1/23/1)  – Silsilah: 1492]
bersambung...

*Risalah ini telah disiapkan oleh Ustadz Hamzah Jummat.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

[1] Pengertiannya demikian di sisi Ahli Hadis sehingga apa sahaja berkenaan diri peribadi Nabi digelarkan Sunnah baginda, samada yang wajib diikuti umat atau tidak (misalnya hidung baginda mancung, umatnya tidak wajib ikut “Sunnah” dan menjadikan hidung mereka mancung dan kalau istilah ini yang dimaksudkan dengan “Ahli Sunnah” hanya umat yang berhidung mancung sahaja dikira Ahlis Sunnah, maka penegrtian mereka adalah khusus bagi bidang ilmu hadis) sebagaimana yang jelas ada dalam kitab-kitab hadis seperti Jami‘ at-Tirmidzi dan judul kitab Sahih al-Bukhariy iaitu “al-Jāmi‘ aş-Şahīh al-Musnad min Hadīthi Rasulillāh   wa Sunanihi wa Aiyāmihi”


[2] Tumpuan kajian Ilmu Usul Fiqh adalah pencarian dan dasar-dasar kepada dapatan hukum; wajib, mandub (sunnat), mubah makruh dan haram. Maka jika pengertian ini, yang khusus berkenaan bidang ilmu ini, dijadikan pengertian Ahlis Sunnah, maka jadinya Ahlus Sunnah itu golongan yang hanya ambil berat terhadap hukum-hukum Fiqh dan tidak merangkumi Aqidah, sedangkan yang paling penting di sisi Ahlus Sunnah adalah pegangan aqidah. Boleh jadi seseorang itu mahir bidang Usul tetapi berfahaman Mu‘tazilah dan bukan Ahlis Sunnah.


[3] Iaitu seperti Solat Sunnat, Puasa Sunnat yang mudah kita ketemukan dalam kitab-kitab Fiqh. Jika pengertian Ahlis Sunnah menurut istilah ilmu Fiqh ini, maka siapa sahaja yang banyak beramal dengan amalan Sunnat dikira Ahli Sunnah, biarpun pegangannya menyimpang dan tentunya istilah ini tidak dapat digunakan untuk mengertikan Ahlis Sunnah yang sebenar.
0 comments:

Search IslamIQ.sg

Visitors:

Facebook

YouTube

Subscribe By Email


Facebook

YouTube

Subscribe By Email

www.fawaaid.sg