Islamiq.sg

AQD021: Ahlis Sunnah Bukan al-Asya‘irah 1

إن الحمد لله نحمده و نستعينه و نستغفره ، و نعوذ بالله من شرور أنفسنا ، و من سيئات أعمالنا، من يهده الله فلا مضل له ، و من يضلل فلا هادي له
و أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، و أشهد أن محمدا عبده و رسوله.
أما بعد:

Sesungguhnya segala pujian adalah untuk Allah, kita memujiNya, meminta pertolonganNya dan memohon ampunanNya dan kita berlindung dengan Allah daripada keburukan diri kita dan kejelekan amalan-amalan kita. Barangsiapa yang dikurnia petunjuk oleh Allah, maka tiada sesiapa yang dapat menyesatkannya dan sesiapa yang disesatkanNya maka tiada yang mampu memberi petunjuk kepadanya.

Aku bersaksi bahawasanya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, tiada sekutu bagiNya dan aku juga bersaksi bahawasanya Muhammad adalah hambaNya dan utusanNya.
"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah, dan katakanlah perkataan yang tepat - benar (dalam segala perkara), agar Dia memberi taufiq dengan menjayakan amal-amal kamu, dan mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah) sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya, maka sesungguhnya ia telah berjaya mencapai sebesar-besar kejayaan." [al-Ahzab, 33:70-71]
Sidang pembaca yang budiman, semoga Allah memberi petunjukNya kepada diri saya dan anda sekalian, tulisan ini dimaksudkan untuk kita sama-sama tidak sembarangan memperkatakan mengenai Agama Allah, antaranya persoalan “Siapakah Ahli Sunnah wal Jama‘ah dan Apakah Ahlis Sunnah adalah al-Asya‘irah?”, sehingga terjerumus ke dalam perangkap Iblis dan Syaitan lalu menjadi sesat, sebab Allah telah berfirman mengingatkan kita:
"Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu. Ia hanya menyuruh kamu melakukan kejahatan dan perkara-perkara yang keji, dan (menyuruh) supaya kamu berkata (dusta) terhadap Allah apa yang kamu tidak ketahui." [al-Baqarah, 2:168-169]
"Katakanlah: "Sesungguhnya Tuhanku hanya mengharamkan perbuatan-perbuatan yang keji, sama ada yang nyata atau yang tersembunyi; dan perbuatan dosa; dan perbuatan menceroboh dengan tidak ada alasan yang benar; dan (diharamkanNya) kamu mempersekutukan sesuatu dengan Allah sedang Allah tidak menurunkan sebarang bukti (yang membenarkannya); dan (diharamkanNya) kamu memperkatakan terhadap Allah sesuatu yang kamu tidak mengetahuinya." [al-A‘raf, 7:33]
Begitu juga kita berwaspada untuk tidak mengikuti hawa nafsu kita tanpa ilmu yang yakin untuk memperkatakan perkara ini kerana Allah telah memberi peringatan di dalam firmanNya di dalam Surah al-Ahzab ayat ke 70 dan 71 yang telah disebutkan tadi dan juga ayat berikut ini:

"Dan janganlah engkau mengikuti/memperkatakan apa yang engkau tidak mempunyai ilmu mengenainya; sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, semua anggota-anggota itu, akan dipertanggungjawabkan atas apa yang dilakukannya." [al-Isra’, 17:36]
Oleh itu, apa yang akan menyusul di dalam penjelasan ini adalah ilmu yang diyakini, ilmu warisan hasil daripada ajaran Sunnah Nabi sallallahu 'alayhi wasallam, menurut pemahaman dan pedoman para Sahabat serta panduan para Imam yang mengikuti pedoman para Sahabat dengan sebaik-baik ikutan, daripada zaman yang awal lagi, antaranya Imam keempat-empat Madzhab termasyhur, yang diberi julukan Salafussalih.

Dikemukakan segalanya dengan rujukannya, demi menjunjung amanah yang telah diamanahkan oleh Allah dan RasulNya serta tidak mengkhianati para Imam yang disanjungi, iaitu dengan tidak mendakwa mereka berpegangan dengan selain pegangan mereka sendiri. Perkara tersebut hanya dapat dibuktikan dengan sandaran daripada kata-kata mereka sendiri.

Sebelum saya melanjutkan lagi penerangan ini, sidang pembaca yang budiman, ada baiknya daripada awal, setiap di antara kita mengadakan sikap yang betul dalam berhadapan dengan keterangan ilmiyah, agar kita senantiasa dipandu oleh penjelasan Wahyu dan ajaran para Sahabat serta panduan para Imam tersebut.

Firman Allah memberi khabar gembira kepada hamba-hambaNya yang mempunyai sikap yang tepat dan baik:
"...oleh itu gembirakanlah hamba-hambaKu - Yang berusaha mendengar perkataan-perkataan yang sampai kepadanya lalu mereka memilih dan menurut yang sebaik-baiknya (berdasarkan ilmu dan taqwa); mereka itulah orang-orang yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah dan mereka itulah orang-orang yang berakal sempurna." [az-Zumar, 39:17-18]
Mereka inilah yang disifatkan Allah sebagai manusia yang mendapat petunjuk lagi berakal sempurna, semoga Allah menggolongkan kita di dalam rumpun mereka, iaitu yang berbeza sifatnya dengan golongan yang memandai-mandai memperkatakan tentang Agama Allah, yang terjebak dalam perangkap Syaitan serta terseleweng dengan ikutan hawa nafsu, namun mereka menyangka mereka golongan yang pandai, padahal mereka ikutkan kehendak hawa nafsu mereka dan suka mencari fitnah, mencanggahi keterangan Wahyu dan ajaran yang benar tanpa kajian yang mencukupi. Semoga Allah pelihara kita daripada menjadi golongan tersebut.

Firman Allah lainnya yang menggambarkan sikap kedua-dua golongan yang berbeza ini:
"Dia lah (yakni Allah) yang menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab Suci Al-Quran. Sebahagiannya adalah ayat-ayat "Muhkamat" (yang tetap, tegas dan nyata maknanya serta jelas maksudnya); ayat-ayat Muhkamaat itu ialah ibu (atau pokok) isi Al-Quran. Dan sebahagian lainnya adalah ayat-ayat "Mutasyabihat" (yang samar-samar, tidak terang maksudnya). Oleh sebab itu (timbullah faham yang berlainan menurut kandungan hati masing-masing) - adapun orang-orang yang ada dalam hatinya kecenderungan ke arah kesesatan, maka mereka selalu menurut apa yang samar-samar dari Al-Quran untuk mencari fitnah dan mencari-cari Takwilnya (memutarkan maksudnya menurut yang disukainya). Padahal tidak ada yang mengetahui Takwilnya (tafsir maksudnya yang sebenar) melainkan Allah. Dan orang-orang yang tetap teguh serta mendalam pengetahuannya dalam ilmu-ilmu ugama, berkata:" Kami beriman kepadanya, semuanya itu datangnya dari sisi Tuhan kami" Dan tiadalah yang mengambil pelajaran dan peringatan melainkan orang-orang yang berfikiran." [Ali-‘Imran, 3:7]

Persoalan ini, iaitu “Siapakah Ahlis Sunnah wal Jamaah” sebenarnya telah jelas dijelaskan oleh para Imam yang mewarisi ajaran, pedoman dan sikap para Sahabat dengan sebaik-baik perwarisan telah berpegangan dengannya dan mewariskannya kepada generasi umat Islam yang datang selepas mereka. Malah, sebahagian mereka ada yang mengancam umat dan memperingatkan umat agar jangan mengikuti selain daripadanya dan melarang daripada membuat dakwaan bahawa mereka, para imam, mempunyai pegangan selain pegangan ajaran Sahabat dalam perkara ini. Semuanya itu, Insya’ Allah, akan disebutkan dengan rujukannya dalam tulisan ini.

Walau bagaimanapun, demi menyebarkan kebenaran, yang menjadi kewajipan setiap peribadi muslim, apatah lagi ketikamana adanya golongan yang cuba menyebarkan fitnah, sama ada berpandukan salahfahamnya atau kecetekan ilmu dan kajiannya, dengan sengaja atau tersilap, menyalahkan fahaman pegangan para Sahabat dan para Imam, dalam permasalahan ini, yang merupakan permasalahan penting umat Islam, benar atau menyimpangnya anutan keIslaman seseorang, saya dengan rendah diri, melakukan usaha kerdil menjernihkan kekotoran kesalahfahaman ini, sebagai usaha memberi nasihat sesama kaum muslimin agar mereka terselamat daripada kesesatan dan penyelewengan, yang dengannya, membantu mereka terpelihara daripada Neraka Allah, Insya Allah, serta maksud di hati, untuk memberikan kepada saudara Islamnya apa yang ia cintai buat dirinya sendiri sebagaimana pesanan Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam.

Semoga Allah menerima usaha kerdil ini sebagai amalan salih. Diharapkan setiap yang belum jelas mengenai permasalahan ini, dengan Taufiq Allah, akan mendapat keterangan yang nyata dan berpegangan dengan pegangan yang betul. Begitu pula, bagi yang telah tersilap, agar berlutut di hadapan kebenaran, bertaubat kepada Tuhannya dan menyifatkanNya sesuai dengan Sifat-SifatNya yang Maha Sempurna dan Maha Suci. Mudah-mudahan penulisan kajian ini dan pembacaannya juga menjadi amalan salih yang membantu kita terpelihara daripada Azab Allah dan dirahmatiNya di Dunia dan Akhirat. Amien.

Ahlis Sunnah wal Jama‘ah bukan al-Asya‘irah jika dikaji daripada berbagai sudut:
  1. Pengertiannya
  2. Sejarah kemunculan dan permulaan gelaran atau golongan “Ahlis Sunnah”, Bahaya dan menyelewengnya kenyataan: “Ahlis Sunnah adalah al-Asya‘irah”, yang antara lain, mengeluarkan para Imam 4 Madzhab dan ramai lainnya terkeluar daripada Ahlis Sunnah.
  3. Contoh “penggunaan akal yang melampau” yang diistilahkan sebagai “pendekatan Ahli Kalam” dalam membicarakan permasalahan Aqidah yang dijadikan pegangan puak al-Asya‘irah berbeza dengan pegangan dan ajaran para Imam Ahlis Sunnah yang tulen dan yang sebenar.
bersambung...

*Risalah ini telah disiapkan oleh Ustadz Hamzah Jummat.
0 comments:

Search IslamIQ.sg

Visitors:

Facebook

YouTube

Subscribe By Email


Facebook

YouTube

Subscribe By Email

www.fawaaid.sg