Islamiq.sg

HAD005: Kewajipan Meriwayatkan Hanya Apa Yang Dipastikan Benar Dari Rasulullah

Labels: , ,
Bismillah wal-hamdulillah wa-salatu wa-salam 'ala Rasulillah, amma ba'd.

Kewajipan seorang Muslim hanya meriwayatkan apa yang ia dapat pastikan benar daripada Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam dan meninggalkan perbuatan berdusta atas nama Nabi.

A. Berkenaan Hadis-hadis Lemah(Da‘ief) Dan Palsu

1. Penjelasan para Imam bahawa adalah terlarang meriwayatkan sesuatu hadis yang lemah dan kewajipan meriwayatkan apa yang sahih semata-mata.

Ramai daripada kalangan ‘ulama terdahulu yang berpendirian tegas dalam hal beramal dan berhukum dengan besandarkan hadis yang lemah dan ia adalah terlarang di sisi mereka, bilamana ia telah dinyatakan dan dihukumkan lemah oleh para Ahli Hadis. Mereka menjelaskan bahawa agama Islam tidak perlu kepada sesuatu yang lemah, malah sebaliknya, segala yang telah jelas benar sahih sudah memadai dan mencukupi. Hadis yang lemah hanya menghasilkan syak dan sangkaan dan tiada kepastian bahawa sesuatu itu benar daripada ajaran Nabi sallallahu 'alayhi wasallam.

Kata asy-Syeikh al-Albaniy rahimahullah di dalam kitab “Sifat Solat an-Nabiy”: saya beri‘tiqad (percaya) bahawa apa yang telah jelas tsabit daripada hadis adalah memadai dan mencukupi sehingga tidak diperlukan kepada ad-Da‘ief (yang lemah) daripadanya kerana ia (hadis lemah) – tiada perselisihan (di kalangan ‘ulama) – hanya memberikan kita sangkaan sahaja dan sangkaan yang sukar diterima dan ini halnya seumpama Firman Allah :

Ertinya: "(Dan sesungguhnya persangkaan itu) tiada berfaedah sedikitpun terhadap kebenaran…" [an-Najm: 53:28]

1) Al-Imam asy-Syafi‘ie

Al-Imam asy-Syafi‘ie rahimahullah menyatakan di dalam kitab beliau ar-Risalah, setelah mengemukakan beberapa hadis sahih berkenaan larangan berdusta mempergunakan nama Nabi sallallahu 'alayhi wasallam (mereka-reka hadis palsu) beliau menyebutkan hadis ini – Daripada Abi Hurairah:

"Sampaikanlah daripada kisah-kisah Bani Israel tanpa rasa bersalah dan sampaikanlah daripadaku apa-apa pun tetapi jangan berdusta atas namaku"

– lalu (Al-Imam asy-Syafi‘ie) membuat ulasan berikut:

"Ini adalah hadis yang kelonggarannya paling nyata daripada Rasulullah berkenaan perkara ini. Kami sentiasa bersandarkan kepadanya dan hadis-hadis lainnya bahawa kami tidak akan menerima satu hadis pun kecuali daripada seseorang (perawi) yang dipercayai serta kami juga mengetahui kejujuran (kedudukannya yang tsiqah) setiap orang yang meriwayatkannya daripada awal (sanad) hingga akhirnya." [Ar-Risalah: 398-403]

2) Imam Muslim

Imam Muslim rahimahullah di dalam Muqaddimah Sahih Muslim telah memberikan judul yang ertinya:

"Kewajipan meriwayatkan daripada para perawi yang terjamin periwayatannya dan meninggalkan riwayat pendusta serta berwaspada daripada berdusta dengan memperguna nama Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam"

Kemudian beliau menyambung:

"Ketahuilah, semoga Allah Ta‘ala memberi petunjukNya kepada anda, bahawasanya adalah wajib atas setiap peribadi untuk mengetahui perbezaan antara yang benar daripada riwayat dan yang berpenyakit (lemah), antara para perawi yang dipercayai terjamin periwayatannya dan yang tidak dipercayai, serta ia tidak meriwayatkan kecuali apa yang ia telah jelas pasti kesahihannya..." [Muqaddimah Sahih Muslim Bab: 5]

3) al-Hafiz as-Sakhawiy

Kata al-Hafiz as-Sakhawiy rahimahullah di dalam kitab beliau: al-Qaul al-Badie‘ fie Salat ‘ala al-Habieb asy-Syafie‘: halaman 115:

"Aku telah mendengar guru kami (al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalaniy rahimahullah) berulang kali beliau nyatakan dan beliau telah menulis kepada ku dengan tulisan tangan beliau sendiri:

“Sesungguhnya syarat-syarat beramal dengan hadis yang lemah ada 3:

1 - Disepakati (oleh para Ahli Hadis): semestinya “lemah”nya tidak terlalu lemah. Maka dengannya terkeluarlah (tidak layak beramal dengan hadis yang diriwayatkan dengan) periwayatan tersendiri para pereka hadis, pendusta, yang disyaki/dipercayai sebagai pendusta dan golongan perawi yang kekeliruannya dalam periwayatannya amat buruk.

2 - Ia masih terangkum di bawah satu dasar umum, maka terkeluarlah apa yang pada asalnya rekaan yang tidak punya asal – (tiada satu nas al-Quran atau hadis sahih yang menyokongnya – penterjemah)

3 - Tidak boleh di-i‘tikadkan ketika beramal dengannya bahawa ia sesuatu yang sabit (pasti diperolehi) agar tidak disandarkan kepada Nabi sallallahu 'alayhi wasallam apa yang tidak pernah beliau ucapkan/lakukan.

[Hukum al-‘Amal bi al-Hadiets ad-Da‘ief fie Fada-il al-A‘mal: hlm.36-37]

Demikian penjelasan al-Hafiz Ibn Hajar rahimahullah, yang mana dengan syarat pertamanya sahaja, begitu ramai golongan bergelar ahli agama, ustaz/ustazah tidak dibenarkan memperkatakan sesuatu sebagai Fada’il al-A‘mal yang layak atau boleh diamalkan, sebab mereka tidak mengetahui Ilmu ar-Rijal, para perawi hadis, untuk dengannya dapat dikesan dan diketahui samada syarat pertama telah dapat dipenuhi atau tidak. Hanya pakar bidang hadis sahaja yang dapat mengetahuinya.

Rasanya memadai yang demikian sehingga tidak perlu dikemukakan ulasan lainnya daripada ‘ulama terhadap syarat-syarat lainnya. WalLahu a‘lam.

Hanya orang yang sedar diri, yang tidak sombong dan angkuh, yang akan mengakui kekurangan ilmunya dan mengingati pesanan para Imam terdahulu antaranya al-Imam al-Bukhariy rahimahullah: “Al-‘Ilm qabla al-Qaul wa al-‘Amal” ertinya “Berilmu sebelum berkata/menyampaikan dan beramal”. [Kitab Sahih al-Bukhariy, Kitab:3; Kitab al-‘Ilm, Bab: 10; Bab al-‘Ilm qabla al-Qaul wa al-‘Amal. Fath al-Bari: 1/192]

Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam telah mengkhabarkan:

"Barangsiapa yang berdusta atas namaku (mempergunakan nama baginda untuk berdusta) dengan sengaja maka ia telah menempah tempatnya di Neraka." [ Hadis Sahih diriwayatkan oleh Imam-imam Ahmad, Al-Bukhariy, Muslim, at-Tirmidzi, an-Nasa'i, Ibn Majah, al-Hakim, at-Tabaraniy dan selain mereka yang keseluruhannya diriwayatkan daripada 63 orang Sahabat – sebuah hadis mutawaatir yang tiada keraguan lagi padanya]
0 comments:

Search IslamIQ.sg

Visitors:

Facebook

YouTube

Subscribe By Email


Facebook

YouTube

Subscribe By Email

www.fawaaid.sg