Islamiq.sg

FIQ047: Solat Hajat

Soalan: Hadith menyokong pendapat Solat Hajat itu lemah, jadi apakah hukum dalam terus melakukan Solat Hajat? Dan apakah ibadah yg lain yang dapat didirikan utk mengemukakan hajat?

Muhammad Fahmi (Dari Facebook)

Jawapan:

Bismillah wal-hamdulillah wa-salatu wa-salam 'ala Rasulillah, amma ba'd.

Metodologi dalam menilai perkara ini adalah dengan menilai status hadith-hadith yang digunakan sebagai sandaran melalui kajian para ulama hadith yang diyakini.

1) Hadith Pertama

Hadithnya (terjemahan): Daripada Ibn Abi Aufa katanya: Rasulullah bersabda: "Barangsiapa yang ada hajat kepada Allah ataupun seseorang di kalangan anak-anak Adam maka hendaklah ia berwudu' dengan sempurna kemudian ia solat dua rakaat lalu memanjatkan puji-pujian kepada Allah azza wa jalla dan hendaknya ia berselawat ke atas Nabi sallallahu 'alayhi wasallam dan setelah itu ia mengucapkan: لا إله إلا الله الحليم الكريم" …wahai Tuhan Yang Maha Pengasih lagi Maha Pemurah.

a) Kajian Imam an-Nawawi

Kata al-Imam an-Nawawi rahimahullah membuat ulasan terhadap hadis ini: "Diriwayatkan oleh at-Tirmidzi dan beliau menghukumkannya Da'ief (lemah)." (Al-Majmu' Syarh al-Muhadzdzab: 4/60)

Begitu sahaja ulasan al-Imam an-Nawawi dan beliau juga tidak memuatkan “Solat Hajat” di dalam kitab Riyad as-Salihin.

b) Kajian Imam al-Mubarakfuri

Imam al-Mubarakfuri rahimahullah membuat ulasan berikut:

"Kata Imam al-Mundziri: at-Tirmidzi meriwayatkannya dan begitu juga Ibn Majah, kedua-duanya daripada periwayatan Fa-id bin ‘Abdir Rahman.

Kata al-Hakim setelah menyebutkan riwayat ini: Fa-id seorang yang hadithnya masih dapat diterima.

Kata al-Mundziri: Fa-id ini sorang perawi Matruk (yang dikecam sebagai seorang yang berbuat dusta dan hadisnya tertolak).

Ibn ‘Adiy pula: Dengan kedudukannya yang Da‘ief (lemah) ini, hadisnya masih ditulis/dicatatkan."

(Tuhfat al-Ahwadzi bi Syarh Jami' at-Tirmidzi: 2/504)

c) Kajian Sheikh al-Albaniy

al-Albaniy rahimahullah menyebutkan hadis ini dalam Da‘ief Sunan at-Tirmidzi dan menjelaskan bahawa ia sebuah hadis yang Da‘ief, begitu juga riwayat Ibn Majah (hadis no: 1384) yang dihukumkan bersama riwayat at-Tirmidzi ini kerana sanadnya bercantum, sebagai “Da‘ief Jiddan” ertinya “teramat sangat lemah dan tertolak”. Imam Ahmad juga menghukumkan Fa-id seorang yang “Matruk al-hadiets” (hadisnya tertolak kerana dikenali seorang yang dikecam dengan sifat berdusta).

(Da‘ief Sunan at-Tirmidzi: 54)

2) Hadith Kedua

Hadithnya (terjemahan): "Barangsiapa yang berwudu' dan ia menyempurnakan wudu'nya sesempurnanya, kemudian ia mendirikan solat dua rakaat dengan sempurna, Allah akan kurniakan kepadanya apa jua permintaannya sama ada segera atau tertunda."

a) Kajian Sheikh al-Albaniy

Kata al-Albaniy rahimahullah memperbetulkan kesilapan Ustadz Sayyid Sabiq rahimahullah di dalam kitab Fiqh Sunnah:

"Daripada mana yang beliau (Sayyid Sabiq) dapat katakannya sebagai Sahih, padahal di dalam sanadnya ada seorang perawi Majhul (yang tidak diiktiraf sebagai perawi hadis)? Sebab ia ada di dalam al-Musnad (Imam Ahmad): 6/442-443, daripada jalan periwayatan Maimun Abi Muhammad al-Mara-i, at-Tamimi.

Kata Imam Ibn Ma‘ien mengenainya: Aku tidak mengenalinya (selaku perawi hadith), kata Imam Ibn ‘Adiy: dengan itu, beliau seorang Majhul (tidak diketahui) dan sebab itulah kata Imam adz-Dzahabi: Tidak dikenali."

(Tamam al-Minnah fie at-Ta‘lieq ‘ala Fiqh as-Sunnah: hlm.260)

Daripada pembentangan itu tadi, menjadi jelas kepada kita bahawa sebenarnya, "Solat Hajat" tiada diriwayatkan di dalam riwayat yang Sahih. Meskipun ada sebahagian kitab yang menyebutkannya sebagai Solat Sunnat, tetapi, pada hakikatnya, sesuatu itu tidak dapat dan tidak layak dikatakan “Sunnat” kecuali jika ia sabit keberadaannya dalam as-Sunnah.

Adapun sebagai “alternatif” iaitu jika seseorang ingin menyokong doanya, permintaannya kepada Allah dengan suatu bentuk sokongan, maka cukuplah baginya melakukan apa jua amalan salih yang ada petunjuknya daripada ajaran Sunnah baginda sallallahu 'alayhi wasallam seperti Tilawah al-Quran, atau apa jua Solat Sunnat yang jelas sabit ada dalam as-Sunnah seperti Solat Sunnat Wudu’, Tahiyatul Masjid, apatah lagi Solat Malam (Qiyamullail atau Tahajjud) pada 1/3 malam terakhir iaitu pada saat doa amat mustajab dan segera diperkenankan oleh Allah asal memenuhi syarat-syaratnya, Insya Allah.

Wallahu a‘lam.
0 comments:

Search IslamIQ.sg

Visitors:

Facebook

YouTube

Subscribe By Email


Facebook

YouTube

Subscribe By Email

www.fawaaid.sg