Islamiq.sg

Perayaan Hari Valentine

Sambutan perayaan yang diraikan oleh umat manusia dengan latarbelakang bangsa dan agama yang berlainan jelas menggambarkan ciri-ciri keunikan sese-buah bangsa dan agama. Cara sesebuah bangsa dan agama menyambut hari kebesaran mereka pula mempunyai nilai-nilai keagamaan yang tersendiri.

Bagi masyarakat Islam Singapura, mereka terdedah kepada berbagai bentuk perayaan berlatarbelakangkan kehidupan berbilang bangsa dalam sebuah negara sekular. Menyedari hakikat ini, masyarakat Islam Singapura yang merupakan sebahagian dari rakyat negara ini perlu hidup sebagai rakyat Singapura yang berjaya mengekalkan keperibadian Islam dan berbangga dengannya.

Maka yang demikian adalah penting bagi masyarakat Islam mengetahui jenis-jenis perayaan sama ada dibenarkan atau tidak bagi masyarakat Islam merayakannya. Ini adalah semata-mata untuk memelihara kesucian aqidah Islam yang tidak membenarkan perkongsian dua nilai yang bertentangan dalam satu jasad.

Hakikatnya bahawa ketika kita nampak jahil tentang peristiwa-peristiwa agung dan perayaan dalam Islam, kita lebih arif dan berbangga untuk menyertai perayaan-perayaan yang bukan dari Islam. Perayaan-perayaan kumpulan agama bukan Islam yang pada asalnya mempunyai kaitan dengan ibadat atau kepercayaan ini, kemudiannya telah bertukar menjadi amalan budaya dan adat. Amalan ini kemudiannya disertai oleh berbagai bangsa, termasuk sebilangan orang-orang Islam, atas nama budaya atau adat. Antara amalan-amalan itu ialah:

Hari Valentine (St Valentine's Day)

Hari Valentine menurut sejarah Kristian pada asalnya ialah hari memperingati dua orang suci (saint) Kristian yang memiliki nama yang sama. Hari tersebut jatuh pada 14 Februari. Menurut lagenda Kristian, salah seorang dari dua orang suci tersebut adalah seorang paderi Rome yang terkorban dalam zaman penindasan Maharaja Claudius di Rome.

Hari Valentine (St Valentine's Day) yang disambut orang pada hari ini (khususnya masyarakat Kristian) adalah merupakan hari istimewa bagi remaja-remaja yang bercinta. Walaupun menurut dakwaan bahawa hari ini tidak ada kaitan dengan hari peringatan paderi di atas, tetapi hari ini menurut sejarah telah disambut oleh masyarakat purba Roman di mana pada hari ini para remaja akan menamakan kekasih mereka dan meminang mereka dalam Perayaan Lupercalia yang jatuh pada 15 Februari. Perayaan ini kemudian diperkenalkan oleh masyarakat Kristian Rome kepada England. Sebagai menyesuaikan adat ini dengan amalan agama Kristian, pihak gereja telah menukarkan kepada Perayaan St Valentine yang dikenal sekarang ini dengan Hari Valentine (St Valentine's Day).

Di Singapura, Hari Valentine disambut oleh kalangan muda-mudi dari berbagai bangsa, termasuk segelintir para remaja Islam yang cetek pengetahuan agama Islam dan hakikat hari tersebut. Kebanyakan remaja Islam kita yang menyambut hari tersebut adalah di kalangan mereka yang masih menuntut atau mereka yang terdedah kepada pergaulan bebas.

Pada hari tersebut, para remaja akan bertukar kad ucap selamat dengan menggunakan kad khas Hari Valentine yang bertemakan cinta. Bagi remaja-remaja yang bercinta pula, mereka akan membeli bunga-bunga untuk diberikan kepada kekasih. Bagi mereka juga seolah-olah hari tersebut adalah hari yang paling baik untuk mendapatkan kekasih. Oleh itu ramailah remaja-remaja yang keluar berdua-duaan pada hari tersebut sebagai meraikan sempenanya.

Dinukil dari artikel "Panduan Menyambut Perayaan Dalam Islam", Majalah Warita (Issue 114) terbitan Majlis Ugama Islam Singapura (Muis)
0 comments:

Search IslamIQ.sg

Visitors:

Facebook

YouTube

Subscribe By Email


Facebook

YouTube

Subscribe By Email

www.fawaaid.sg