Islamiq.sg

FIQ040: Permasalahan Puasa Arafah & Hari Raya (Bhg3)

Soalan 3:
Mengenai berpuasa pada Hari Isnin sebagai Puasa Hari Arafahnya, apakah masih boleh untuk ia berpuasa Hari Selasanya, dengan kiraan 9hb Dzulhijjah di sisi masyarakatnya?

Jawapan:

Sila lihat kembali fatwa ‘Ulama Saudi di Lajnah Da-imah:

…Maka jika anda ingin berpuasa, maka anda berpuasa pada hari tersebut (hari jemaah haji berwuquf) … dan seandainya anda berpuasa kesembilan-sembilan hari awal bulan Dzulhijjah maka ia juga baik…

Memberi satu isyarat diperbolehkan untuk berpuasa pada hari ke-9 menurut kiraan masyarakat. Namun, bagi kami, penjelasan Syeikhul Islam lebih jelas dalam permasalahan ini (dengan ringkasan):

‘Ulama’ yang suruh berpuasa hari ke-30 (yakni Ramadhan dengan kiraan masyarakat) (sedangkan dengan Rukyahnya, hari itu 1 Syawwal) dan tidak menyuruhnya berbuka secara sembunyi-sembunyi maka ia boleh berpuasa pada 9hb menurut kiraan masyarakatnya (Puasa pada 9hb Dzulhijjah – sebagaimana yang dikira oleh masyarakatnya, meskipun dengan Rukyahnya, ia adalah 10hb Dzulhijjah)


‘Ulama’ yang menyuruhnya berbuka secara sembunyi-sembunyi (kerana anak bulan yang dilihatnya sendirian, 1 Syawwal, di sisinya, sedang masyarakatnya kira 30 Ramadhan), melarangnya berpuasa pada hari itu (hari ke-10 menurut Rukyah sendiriannya) di sisi mereka yang berpendapat demikian seperti anak bulan Syawwal yang dilihatnya sendirian.

Maka berpuasa pada 9hb Dzulhijjah ikut kiraan kalendar masyarakat, misalnya Hari Selasa, bagi seseorang yang telah berpuasa pada Hari Wuqufnya manusia di ‘Arafah, pada hari sebelumnya, Isnin, adalah perkara yang diperselisihkan ‘ulama’.

Justeru itu, bagi yang berpuasa ‘Arafah pada 8hb (Isnin) ikut kiraan masyarakatnya (9hb baginya dengan Rukyah/wuqufnya manusia), mereka masih boleh berpuasa pada keesokan harinya 9hb (Selasa) menurut kiraan masyarakatnya juga, walaupun secara “semestinya – seolah-olah” ia berpuasa 10hb Dzulhijjah (Selasa) menurut kiraannya yang telah berpuasa Arafahnya pada 8hb ikut kiraan masyarakatnya (Isnin - 9hb baginya).

Begitu juga ia boleh menganggap dirinya terlarang puasa, menurut pendapat sebahagian ‘ulama’ antaranya para Imam Madzhab Abu Haniefah dan asy-Syafi‘ee.

Wallahu Ta‘ala a‘lam.

Sebagai penutup, kami di islamiq.sg sentiasa mengalu-alukan dan menghargai peneguran daripada saudara-saudara Islam kami. Kami juga mengamalkan sikap mendahulukan ‘ulama yang tentunya jauh lebih berilmu daripada kami, tanpa berta‘sub dan berusaha menurut kemampuan kami untuk menuruti pendapat yang terbaik, atas dasar ilmu dan hujjah. Namun sebagai manusia, kami tidak terlepas daripada kesilapan dan mengharapkan nasihat.

Seperti yang kita ketahui, nasihat-menasihati adalah sikap Ahli Sunnah wal Jama’ah di antara sesama mereka. Usahlah dijadikan kesilapan saudara Islam kita suatu alasan untuk kita membuat peneguran dengan secara “Radd” Membantah dengan sanggahan yang keras dan bahasa yang tajam, seperti halnya yang dilakukan ‘ulama’ Ahli Sunnah, Imam Ahmad dan lainnya terhadap golongan yang menyimpang daripada asal ajaran Ahli Sunnah, seperti kitab beliau: ar-Radd ‘ala al-Jahmiyah”, melainkan jika demikian sikap kita terhadap sesama saudara Islam kita, yang dikenali berusaha mencari kebenaran dan berpegang dengannya, yang berusaha menuruti Salafussolih. Lebih berat lagi kesannya jika ia lahir dari seseorang yang dijadikan rujukan ramai, kerana ia dikhuatiri membentuk sikap cepat membantah dan menyanggah pada kalangan pengikut. Bukankah telah terserlah dalam sejarah ‘ulama’, bagaimana sikap melampau wujud pada para pengikut padahal gurunya tidak demikian?

Sehinggakan adakalanya lebih baik kita menggunakan cara yang tidak secara langsung, tidak “direct”, dalam mengulas penjelasan orang lain, agar faedahnya lebih meluas dan tidak wujud seperti satu “sengketa” antara kita dan pihak tersebut. Demikian yang diajarkan oleh Rasulullah dalam banyak hadis; “Kenapa dengan sebahagian orang…” dan itu juga contoh ‘ulama’: “Dan sebahagian pihak mendakwa..segolongan lain berhujjah…”

Dalam pada masa yang sama, kami memahami keadaan sidang pembaca yang berbeza-beza tahap ilmu mereka, yang dengannya, kami berusaha mendidik sikap yang tepat dalam permasalahan perselisihan pendapat, apatah lagi ia perselisihan yang padanya pendapat-pendapat ‘ulama sama kuat atau hampir sama kekuatannya. Meskipun jika kami mahukan, kami perbahaskan satu persatu hujjah dan istimbath, namun jika apa yang ada daripada ulasan ‘ulama telah cukup jelas dan kesimpulannya difahami dengan mudah, pada pandangan kami, ulasan mereka jauh lebih baik daripada ulasan kami.

Percubaan untuk mematahkan hujjah-hujjah ‘ulama terbilang, adakalanya menjadikan kami tersilap kerana kekurangan ilmu berbanding mereka yang luas perbendaharaan ilmunya dan kajiannya, tentu ada yang mereka lebih tahu dan fahami daripada kefahaman kami sehingga mengeluarkan fatwa sedemikian. Walaupun pada dasarnya, setiap orang diterima dan ditolak kata-katanya kecuali Nabi Muhammad seperti yang ditegaskan oleh Imam Malik. Cukup untuk dijadikan penilaian, betapa ramai daripada kalangan guru kami di Universiti, para pensyarah, yang masih belajar secara setia dan tekun daripada Masyayikh seperti Syeikh ‘Abdul Muhsin al-‘Abbad, biarpun telah berkelulusan PhD bahkan Professor sekalipun. Dengan mata kepala saya sendiri saya lihat, pensyarah guru al-Qur’an saya, Syeikh Dr al-‘Amri, menjadi tukang baca kitab yang disyarahkan oleh Syeikh Mukhtar Syingqiti, bersila duduk di hadapan beliau, sedangkan Syeikh Mukhtar duduk di kerusinya. Pensyarah Mustolah Hadis saya, Syeikh Dr ar-Rusyaidan duduk bersila bersama kami dan membawa bersama beliau kitab pengajian dalam majlis ilmu Syeikh Mukhtar! Padahal mereka telah punya PhD.

Benar, kewajipan kita mencari kebenaran dengan berbekalkan ilmu yang ada pada kita, namun jika dengan ilmu kita yang masih banyak kekurangannya, kita berhujjah seperti menyalahkan pendapat beberapa ‘ulama’ terkemuka, biarpun tiada maksud demikian, apatah lagi jika sampai membuat kesimpulan atau kenyataan yang membangkitkan “tanggapan” yang salah di sisi orang awam, seolah-olah ‘ulama’ terbilang menyelisih daripada ajaran Salaf, atau menyebabkan perpecahan umat, ini dikhuatiri akan hanya mendidik masyarakat dan teman-teman seperjuangan, di kalangan yang ingin kembali kepada ajaran Salaf, mengambil sikap “kami lagi tahu, hujjah kami bernas, pihak lain menyimpang”.

Orang awam dikhuatiri dengan kekurangan ilmu mereka tidak dapat menggarap perbahasan yang terlalu ilmiyah, sudut-sudut penilaian dalil dan sebagainya dan akhirnya hanya mengambil kesimpulan dengan sikap seolah-olah hanya satu pendapat yang betul, walhal kesimpulan-kesimpulan dan penilaian-penilaian tersebut masih ada kesilapannya kerana bukan seorang ‘alim seperti Syeikh al-‘Utsaimien, Syeikh al-Albaniy, Syeikh Ibn Baz, ‘Ulama’ daripada Hai-ah Kibar ‘Ulama’, Syeikh al-‘Abbad dan seumpama mereka yang menjelaskannya.

Lagipun, bagi tahap seperti kami, yang telah belajar dan berguru dengan sebahagian ‘ulama tersebut, kami telah dididik dengan kepentingan Adab terhadap guru dan ‘ulama’, terdedah dengan berbagai hujjah-hujjah dan sudut-sudut pematahan hujjah, persoalan besarnya, “apakah mereka yang mengikut sebahagian Asatizah, telah terdidik dengan adab-adab seperti ini dan telah mencapai tahap memahami berbagai sudut pematahan hujjah pada pendapat yang dilihat seperti telah cukup kuat dengan segala hujjah dan dalil-dalilnya?”

Tentunya lebih utama secara umumnya ditekankan kepentingan mencari kebenaran berdasarkan dalil dan hujjah, tanpa ta‘asub namun dengan menghormati pendapat ‘ulama’ terbilang. Pada perkara yang mereka perselisihkan, didapatkan huraian ‘ulama’ terdahulu terhadapnya jika ada dan tidak berlebihan untuk menguatkan satu pendapat atas satu pendapat mu‘tabar lainnya. Sentiasa mengingatkan kepentingan ilmu warisan kerana itu yang dicontohkan oleh para Imam seperti yang kita lihat pada Fatwa Syeikhul Islam. Begitu juga pada ‘ulasan Syeikh al-Albaniy terhadap hadis itu tadi. Bagaimana beliau sebutkan dengan kajian meluas lalu menyatakan persetujuan pada salah satu pihak dengan beradab.

Itulah sebabnya, sejak awal kami memberikan kesimpulan mudah dengan mengambil kira kesemua fatwa yang kami utarakan yang sebenarnya, Insya Allah tiada percanggahan terhadap Syara‘ padanya.

Inilah sikap dan pendirian kami dan segala yang disebutkan tadi adalah peringatan buat kami sendiri terutamanya dan supaya kita senantiasa berusaha ke arahnya. Semoga Allah kurnikan PetunjukNya kepada kita semua.

وصلى الله على نبينا محمد و على آله و صحبه وسلم
و الحمد لله الذي بنعمته تتم الصالحات



Disediakan oleh: Ustadz Ibn Jamak

Sila baca jawapan kepada Soalan 1 dan Soalan 2.
0 comments:

Search IslamIQ.sg

Visitors:

Facebook

YouTube

Subscribe By Email


Facebook

YouTube

Subscribe By Email

www.fawaaid.sg