Islamiq.sg

FIQ039: Permasalahan Puasa Arafah & Hari Raya (Bhg2)

Soalan 2:

Bagaimana pula jika kita kirakan kita berHari Raya pada Hari Rabu, bersama masyarakat kita, apakah dikira sebagai satu percanggahan atau kesalahan dalam Syara‘, untuk menundakan sambutan Hari Raya?

Jawapan:

Adapun soal menundakan Solat Hari Raya pada hari berikutnya, misalnya Hari Rabu, untuk bersama-sama dengan masyarakat dalam sambutan Hari Raya, sebagaimana yang telah difahami tadi, padahal menurut Rukyah anak bulan, Hari Raya yang sebenarnya adalah pada Hari Selasa, keterangan hadis berikut ini kami rasakan sudah memadai bahawa ia berpandukan as-Sunnah dan fatwa Syeikhul Islam itu tadi, malah Ijma‘ ‘ulama yang beliau sebutkan “ia tidak boleh berHari Raya (dan tidak berpuasa) secara terang-terangan dengan kesepakatan ulama’ …”.

Hadis no: 634 – Hadis periwayatan Abu ‘Umair bin Anas daripada bapa-bapa saudaranya daripada golongan al-Ansar yang telah meriwayatkan:

“Anak bulan Syawwal terselindung daripada penglihatan kami, maka kami pun berpuasa pada hari itu, lalu datang satu rombongan pada waktu penghujung siang hari itu, mereka semua menyatakan persaksian mereka di sisi Rasulullah bahawasanya mereka telah melihat anak bulan semalamnya. Lantas Rasulullah menyuruh manusia semua berbuka daripada puasa mereka hari itu (batalkan puasa) dan agar mereka semua keluar untuk (Solat) Hari Raya mereka pada keesokan harinya.”

Diriwayatkan oleh “al-Khamsah” (Ahmad, Abu Dawud, [at-Tirmidzi], an-Nasa-i dan Ibn Majah) kecuali at-Tirmidzi manakala Is-haq dan al-Khattabi menghukumkannya Sahih) hlm. 150.

Kata asy-Syeikh al-Albaniy: Sahih. Diriwayatkan oleh Abu Dawud (1157), an-Nasa-i (1/231) dan Ibn Majah (1653), Ibn al-Jarud dalam al-Muntaqa: 139-140, Ahmad: 5/58 dan Ibn Abie Syaibah: 2/169/1, at-Tahawiy: 1/226, ad-Daraqutniy: 233 dan al-Baihaqiy: 3/316 dan ulasan beliau: Isnad ini Sahih. al-Hafiz (Ibn Hajar) menurutinya (menyetujui) dalam Bulugh al-Maram dan kata ad-Daraqutniy: Isnad Hasan Tsabit.

Ulasan ku: Dihukumkan Sahih juga oleh Ibn al-Mundzir dan Ibn as-Sakan serta Ibn Hazm, sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Hafiz dalam at-Talkhies: 146 dan kata beliau: “asy-Syafi‘ie berhujjah dengan hadis ini dengan mensyaratkan jika ia sahih dan kata Ibn ‘Abdil Barr: Abu ‘Umair ini Majhul (tidak dikenali), demikian kata beliau dan para Ahli Hadis yang menghukumkannya Sahih telah memperkenalkannya dan menjelaskan keperibadiannya.”

Ulasanku: Para Ahli Hadis yang menyifatkannya Tsiqah (dipercayai dan diterima periwayatannya) telah memperjelaskan keperibadian beliau, seperti Ibn Sa‘ad dan Ibn Hibban, sehingga terjawab sudah dengan sempurnanya pertikaian pihak yang menghukumkannya sebagai seorang yang Majhul (tidak dikenali). Irwa’ al-Ghaliel: 102-103

Jelas nyata daripada riwayat ini, ada contohnya daripada as-Sunnah untuk “Qada’ Solat Hari Raya pada hari berikutnya, misalnya 2hb Syawwal atau 11hb Dzulhijjah. Akan tetapi, kami sebenarnya menitikberatkan agar tidak melanggar Ijma‘ seperti yang ada dalam Fatwa Syeikhul Islam Ibn Taimiyah, tidak boleh berHari Raya secara sendirian dan tidak menganggapnya “Qada’”, wallaahu a‘lam.

Jawapan kepada Soalan 1 boleh dibaca di sini. Jawapan kepada Soalan 3 akan menyusul selanjutnya, inshaa Allaah.

Disediakan oleh: Ustadz Ibn Jamak
0 comments:

Search IslamIQ.sg

Visitors:

Facebook

YouTube

Subscribe By Email


Facebook

YouTube

Subscribe By Email

www.fawaaid.sg