Islamiq.sg

FIQ038: Permasalahan Puasa Arafah & Hari Raya (Bhg1)

الحمد لله .و الصلاة و السلام على من لا نبي بعده و على آله و صحبه و من تبع هداه

Sidang pembaca yang budiman, semoga kita semua sentiasa dirahmati Allah dengan PetunjukNya, sewaktu kami mengutarakan pilihan kami daripada berbagai fatwa ‘ulama’, mengenai Puasa Hari Arafah, agar kita berpuasa pada Hari Isnin, iaitu serentak dengan hari Wuqufnya jemaah Haji di ‘Arafah, yang merupakan fatwa daripada al-Lajnah ad-Da-imah lil Ifta’, yang mewakili fatwa-fatwa ‘ulama' Arab Saudi yang terkemuka, fatwa Syeikh Saliem ‘Eid al-Hilaliy, fatwa Syeikh Muhammad Sulaiman al-Asyqar dan ramai lagi, timbul beberapa persoalan yang ditanyakan oleh sebahagian pihak yang prihatin dan ada pula yang inginkan kepastian:

1. Apakah dengan berpuasa pada Hari Isnin, semestinya bermakna kita sambut ‘Eid dan Solat ‘Eid pada Hari Selasa?


2. Bagaimana pula jika kita kirakan kita berHari Raya pada Hari Rabu, bersama masyarakat kita, apakah dikira sebagai satu percanggahan atau kesalahan dalam Syara‘, untuk menundakan sambutan Hari Raya?


3. Seandainya seseorang itu memilih untuk berpuasa Hari Isnin, apakah masih boleh untuk ia berpuasa Hari Selasanya, dengan kiraan 9hb Dzulhijjah di sisi masyarakatnya?

Berikut ini kami bentangkan huraiannya dan hanya kepada Allah kami mengharapkan petunjuk. Meskipun sebenarnya dengan pembentangan fatwa-fatwa tersebut dan digandingkan pemahaman daripada Fatwa Syeikhul Islam, perkara-perkara ini telah terjawab, namun ada baiknya kami kemukakan “tarkiez” atau tumpuan pada persoalan-persoalan ini.

Maka berikut ini penjelasannya.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Soalan 1. Apakah dengan berpuasa pada Hari Isnin, semestinya bermakna kita sambut ‘Eid dan Solat ‘Eid pada Hari Selasa?

Jawapan:

1. Tidak semestinya dengan berpuasa pada Hari Isnin, kita berHari Raya dan Solat Hari Raya pada Hari Selasanya, keesokan harinya, yang seolah-olah dikira 10hb Dzulhijjah bagi yang berpuasa pada Hari Arafah (dikira seperti 9hb Dzulhijjah).

Yang demikian kerana yang ditekankan oleh Fatwa-fatwa tersebut, adalah Puasa pada Hari manusia berwuquf di Arafah. Akan tetapi, tidak boleh berpuasa pada hari yang sama masyarakat kita berHari Raya, hari makan minum, sebagaimana penjelasan fatwa Syeikhul Islam. Maka jika sebaliknya berlaku, manusia berwuquf di ‘Arafah, tetapi ia berlaku pada hari 10hb Dzulhijjah, Hari Raya menurut kiraan masyarakat kita, fatwa-fatwa itu tadi tiada kaitannya dengan keadaan seperti itu.

Berikut keterangannya:

i. Soalan yang diutarakan kepada Syeikh Saliem ‘Eid al-Hilaliy:

"Wahai Syeikh kami, sebahagian negeri seperti Indonesia dan Pakistan telah mengiklankan bahawa ‘Eidul Adha jatuh pada Hari Ahad sedangkan Hari Arafah di Tanah Haram pada Hari Jumaat."

- Maka keadaannya atau kes/kasusnya sama dengan permasalahan kita. Di Saudi Wuquf Jumaat (tahun ini 1431H/2010, Isnin), Eidnya Sabtu (Selasa), manakala di Indonesia (dan Singapura), 9hb Dzulhijjah hari Sabtu (Selasa), ‘Eidnya hari Ahad (Rabu).

Jawapan asy-Syeikh sebagaimana yang kita ketahui:

Puasa ikut Wuqufnya manusia di Arafah, iaitu Hari Isnin dan beliau menambah: Adapun pergantungan dan penyandaran sebahagian negeri kepada perkiraan (Hisab) Falak, maka usahlah diambil kira.

- Kita amat jelas di Singapura, malah dengan ketetapan MABIMS[1] kesemua anggotanya menyelaraskan ketetapan Puasa, ‘Eid ul-Fitri dan ‘Eid ul-Ad-ha, dengan kiraan kalendar (Taqwiem) yang sama.

Kesimpulannya: Tiada padanya persoalan Hari Raya, semestinya keesokan harinya bagi yang Puasa Arafah ikut Wuquf Arafah.

ii. Soalan yang ditanyakan kepada al-Lajnah ad-Da-imah pula:

"Apakah kita boleh berpuasa 2 hari di sini demi melaksanakan puasa Hari Arafah, sebab di sini, kami dengar melalui radio bahawa Hari Arafah (di Saudi) esok yang bersamaan dengan Hari ke-8 Dzulhijjah di sisi kami (di negeri kami)?"

Jawapannya:

"...Maka jika anda ingin berpuasa, maka anda berpuasa pada hari tersebut (hari jemaah haji berwuquf) dan sekiranya anda berpuasa satu hari sebelumnya, maka tiada salahnya dan seandainya anda berpuasa kesembilan-sembilan hari awal bulan Dzulhijjah maka ia juga baik..."

- berupa fatwa sebagai jawapan kepada keadaan/kes yang serupa dengan yang kita hadapi, tanpa kaitannya dengan Rukyah atau Hisab atau penguasa dan tidak pula terkait dengan bila sambutan Hari Raya.

iii. Fatwa Syeikhul Islam dan dalil-dalil yang beliau sertakan dalam fatwa beliau, itulah yang menjadi “jawapan” kepada persoalan ini:

Soalannya:

"...apakah mereka boleh berpuasa pada hari yang zahirnya (dengan ketetapan pihak berkuasa) adalah hari ke-9 sedangkan secara batinnya (dengan rukyah) ia adalah hari yang ke-10?"

- Perlu difahami, beliau menjawab menurut kadar soalan. Iaitu yang mereka risaukan ialah “bolehkah berpuasa pada Hari yang menurut penglihatan Rukyah mereka yang tidak diketahui umum, adalah Hari Raya... boleh puasa pada Hari Raya, yang mereka yakini dengan Rukyah persendirian, sedangkan masyarakat belum menganggapnya Hari Raya, bahkan keesokan harinya.

Jawapan beliau:

"Ya. Mereka berpuasa pada hari yang ke-9 menurut yang zahir yang diketahui di sisi kebanyakan orang (kalendar) walaupun pada masa yang sama itu adalah hari yang ke-10 (menurut Rukyah mereka) walaupun dianggarkan bahawa rukyah tersebut benar-benar ada..."

Di antara dalil-dalil yang beliau kemukakan:

- Daripada ‘Aa-isyah radhiyallahu'anha yang telah meriwayatkan: Rasulullah telah bersabda: “Hari Raya ‘Iedul Fithri adalah hari yang manusia semua berhari raya dan Hari Raya Korban adalah hari yang manusia semua melakukan korban.” Diriwayatkan oleh At-Tirmidzi.

- Kata ‘Aa-isyah radhiyallahu'anha: “’Arafah itu adalah hari yang diketahui oleh manusia”

Kemudian beliau menjelaskan selanjutnya berkenaan berHari Raya sendirian:

"Jika ia melihat anak bulan Syawal seorang diri ataupun dikhabarkan kepadanya penglihatan anak bulan itu oleh sekumpulan manusia yang dapat dipercayai kejujurannya, apakah ia dengan itu berhari raya atau tidak?"

Beliau menjelaskan (ringkasnya):

"ia tidak boleh berHari Raya (dan tidak berpuasa) secara terang-terangan dengan kesepakatan ulama’ kecuali jika ia memang ada keuzuran..."

Adapun apakah ia harus/diperbolehkan berHari Raya (makan dan minum) secara sembunyi-sembunyi, maka ada 2 pendapat ulama':

Pertama (Madzhab Maalik dan Ahmad):
- Yang lebih tepat: ia tidak berbuka/berHari Raya secara sembunyi-sembunyi.

Kedua (Madzhab Abu Haniefah dan Asy-Syaafi’ee):
- mengharuskannya berbuka/berHari Raya secara rahsia...

..sebab baginda telah melarang berpuasa pada Hari Berbuka dan Hari melakukan Korban, sabda baginda:

“Adapun salah satu di antaranya (kedua hari tersebut) maka ia adalah hari kamu berbuka daripada puasa dan yang satu lagi pula adalah hari kamu memakan sembelihan-sembelihan kamu.”

Maka yang baginda larang berpuasa padanya adalah hari yang mana kaum muslimin berbuka tidak berpuasa dan yang mereka melaksanakan sembelihan (binatang korban)...

Dengan itu jelas, kita tidak boleh menyambut Hari Raya (dengan Solat Hari Raya dan makan minum terang-terangan) sendirian berbeza dengan masyarakat ketika masyarakat masih berpuasa. Tidak boleh pula berpuasa pada Hari masyarakat berHari Raya. Namun boleh, di sisi sebahagian ‘ulama’ untuk tidak berpuasa (makan minum sembunyi) ketika masyarakat puasa.

Berpuasa pada 8hb Dzulhijjah (di sisi kiraan masyarakat) tidak termasuk perbahasan fatwa beliau ini, cuma difahami, beliau memilih pendapat yang memperbolehkan puasa 9hb Dzulhijjah ikut kiraan masyarakat, biarpun ia tidak bertepatan dengan Rukyah.

Maka berdasarkan keterangan fatwa itu tadi dengan dalil-dalilnya, kami menyimpulkan Berhari Raya bersama masyarakat, iaitu pada Hari Rabu 10hb Dzulhijjah menurut kiraan kalendar masyarakat, meskipun kami berpuasa pada Hari Wuqufnya manusia di Arafah, yang dikira 8hb Dzulhijjah di sisi masyarakat. Walhamdulillah.

Jawapan kepada Soalan 2 dan 3 akan menyusul selanjutnya, inshaa Allaah.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

[1] MABIMS adalah sebuah bentuk kesepakatan di peringkat serantau yang bergerak atas dasar keagamaan bagi memelihara dan menjaga kebajikan masyarakat Islam dengan tidak mencampuri hal ehwal politik negara masing-masing. Nama penuh MABIMS ialah Pertemuan Tahunan Tidak Rasmi Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Republik Indonesia, Malaysia dan Republik Singapura.  http://www.muis.gov.sg/websites/mabims/SEJARAH1a.asp


Sila lihat juga: BIDANG KERJASAMA Sepanjang tahun 1989 hingga 2001 sebanyak 19 bidang kerjasama telah dibentuk Negara penghubung yang telah dipersetujui akan bertindak sebagai penyelaras (koordinator) bagi projek atau kegiatan yang telah dipersetujui… 2. Penyelerasan Rukyah Dan Takwim Islam.
- Republik Indonesia –
http://www.muis.gov.sg/websites/mabims/sekretariat1a.asp



Disediakan oleh: Ustadz Ibn Jamak
0 comments:

Search IslamIQ.sg

Visitors:

Facebook

YouTube

Subscribe By Email


Facebook

YouTube

Subscribe By Email

www.fawaaid.sg