Islamiq.sg

Kekeliruan 10 Hari Pertama Dzulhijjah

Labels: ,
Terdapat beberapa kesilapan yang dilakukan pada 10 hari pertama Dzulhijjah disebabkan beberapa sikap dan tanggapan-tanggapan yang tidak tepat. Di antaranya adalah seperti berikut:

Tidak mempedulikannya dengan tidak melakukan amalan-amalan yang baik

Apabila telah jelas bahawa 10 hari pertama ini adalah hari-hari istimewa pilihan Allah melalui penjelasan Sunnah Sahihah daripada Rasulullah shalallahu 'alayhi wasallam, maka sikap sebahagian umat Islam yang tidak mempedulikannya dengan tidak melakukan amalan-amalan salih yang digalakkan serta ketiadaan kempen atau hebahan kepada masyarakat awam daripada pihak berwenang untuk menggalakkan usaha menggiatkan lagi amalan ibadah, tentunya merupakan satu sikap yang salah. Tidak selayaknya menjadi sikap umat ini untuk tidak mengendahkan kelebihan dan keutamaan serta kelebihan hari-hari ini, bilamana telah benar daripada baginda menegaskan keutamaannya.

Sabda Rasulullah shalallahu 'alayhi wasallam:

مَا مِن أيامٍ العَمَلُ الصالِحُ أَحَبُّ إلى الله فِيهِنَّ مِن هذه الأيامِ يَعْنِي عَشْرَ ذِي الْحِجَّة قالوا: وَ لا الجهادُ فِِي سَبِيلِ الله ؟ قال: و لا الجهاد فِي سبيل الله إِلا رَجُلاً خَرَجَ بِنَفْسِهِ وَ مالِهِ فَلَمْ يَرْجِعْ مِن ذلكَ بِشَيءٍ


Ertinya: “Tiada hari-hari yang padanya amalan solih itu lebih dicintai Allah daripada hari-hari ini yakni 10 hari (pertama bulan) Dzulhijjah. Mereka (para Sahabat) bertanya: Tidak juga Jihad di Jalan Allah? Jawab baginda: dan tidak pula Jihad di Jalan Allah, kecuali orang yang keluar berjihad dengan jiwa raga dan hartanya dan ia tidak kembali dengan sesuatu apa pun.”

Demikian juga sabda baginda lainnya:

مَا مِن عَمَلٍ أَزْكَى عِنْدَ الله و لا أَعْظَمَ أَجْراً مِن خَيْرٍ تَعْمَلُهُ فِي عَشْرِ الأَضْحَى


Ertinya: “Tiada amalan yang lebih suci di sisi Allah dan tidak pula lebih besar ganjarannya daripada suatu amal kebaikan yang dilakukan pada 10 hari (bulan Ad-ha – bulan korban).”

Apatah lagi bilamana mereka melakukan galakan pada amalan yang tidak berasaskan keterangan yang benar pada masa-masa tertentu misalnya, menggiatkan amalan pada bulan Rajab dengan puasa Rajab dan solat-solat yang tidak pernah diajarkan oleh baginda kerana tiada suatu hadis sahih berkenaannya seperti yang ditegaskan pakar hadis umat ini, al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalaniy dan ramai lagi seperti an-Nawawi, al-‘Iraqiy, Ibnul Qayyim, kata beliau:
“Tidak ada riwayat yang sah yang menerangkan tentang keutamaan bulan Rajab dan tidak pula tentang puasa khusus di bulan Rajab, serta tidak ada pula hadits yang shahih yang dapat dipegang sebagai hujjah tentang shalat malam khusus di bulan Rajab.”
(Tabyien al-‘Ajab Bima Warada Fi Fadli Rajab – karangan al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalaniy).


Berpuasa sembilan hari dan bukan pada hari kesembilannya (Hari Arafah) sahaja

Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam bahagian Pendahuluan, sesuatu amalan itu perlu menuruti petunjuk daripada wahyu samada al-Qur’an mahupun Sunnah Sahihah. Seandainya sesuatu amalan itu digalakkan oleh seorang ‘alim yang diagungkan dan luas ilmunya sekalipun, namun bilamana ia tidak bertepatan dengan Sunnah Rasulullah dan ajaran para Sahabat yang menjelaskannya, galakannya dapat dikira sebagai pendapatnya semata-mata. Dikira sebagai satu pendapat yang dihormati melalui hasil kajiannya, ilmunya dan taqwanya, tetapi tidak dapat diikuti kerana para Imam atau ‘ulama’ yang ikhlas, wara‘ dan taqwa, tidak mungkin berniat mencanggahi ajaran Nabi shalallahu 'alayhi wasallam dan para Sahabat radhiyallahu 'anhum. Begitu pula setiap Muslim yang beriman dengan tuntutan iman yang benar, pasti tidak akan mendahulukan dan mengutamakan seseorang melebihi Rasulullah shalallahu 'alayhi wasallam dan setelah baginda, para Sahabat baginda.

Ummul Mukminien ‘A-isyah radhiyallahu 'anha berkata menjelaskan:

مَا رَأَيْتُ رسولَ الله صَائِماً فِي الْعَشْرِ قَطٌّ


Ertinya: “Tidak pernah aku lihat Rasulullah berpuasa pada 10 hari (pertama bulan Dzulhijjah).”

Dalam riwayat lain:
“أن النبي لم يصم الْعَشْرِ”

“Bahawasanya Nabi tidak pernah berpuasa 10 hari (pertama bulan Dzulhijjah).”

Ini tidak bertentangan atau bercanggah dengan hadis Hunaidah bin Khalid daripada sebahagian isteri-isteri Nabi:

“كان رسول الله النبي يصوم تِسْعَ ذي الحجة و يوم عاشوراء”

Ertinya: Bahawasanya Nabi biasa berpuasa hari kesembilan Dzulhijjah dan hari ‘Asyura’

- sebab maksud “تِسْعَ ذي الحجة” adalah hari kesembilan, dan bukannya 9 hari. Hal ini dikuatkan lagi dengan hadis riwayat Abu Qatadah dan hadis Abu Sa‘ied al-Khudriy yang menekankan bahawa Rasulullah shalallahu 'alayhi wasallam memerintahkan puasa Hari ‘Arafah.

Memadankan di antara riwayat dan dalil-dalil keseluruhannya yang digelarkan “al-Jam‘u”, adalah lebih utama daripada mengambil satu dalil dan kesimpulannya tanpa pemadanan. Adapun takwilan Imam an-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim kemungkinan Nabi shalallahu 'alayhi wasallam tidak melakukan puasa 9 hari kerana sakit atau sebab lainnya adalah takwilan yang beliau kemukakan dengan menyimpulkan “amalan-amalan baik” berbentuk umum dan terangkum sekali puasa, walhal beliau juga menyatakan ramai ‘ulama’ memahaminya dengan tidak digalakkan untuk puasa 9 hari tersebut secara zahirnya.

Wallahu a‘lam.


Sumber: "Min Akhthaina fi al-'Asyri" oleh Ustadz Muhammad bin Rasyid bin 'Abdillah al-Ghafiliy, Majalah As-Sunnah Edisi I/VI/1422M-2002M

*Nota tambahan: 
- Kami belum pun menjumpai sebarang ulama' yang bersependapat dgn beliau (Ustadz Muhammad bin Rasyid bin 'Abdillah al-Ghafiliy) dalam hal ini
- Adapun pada pandangan jumhur ulama', berpuasa pada awal Dhulhijjah termasuk dalam rumpun amal salih
- Ulasan / Huraian artikel ini oleh Ustadz Hamzah Jummat boleh dibaca di post berikut: Huraian Kekeliruan Puasa 10 Pertama Dzulhijjah 
- Rujuk juga ulasan Ustadz Murad Said: Puasa bukan Amalan Solih dihari2 Zul Hijjah?


0 comments:

Search IslamIQ.sg

Visitors:

Facebook

YouTube

Subscribe By Email


Facebook

YouTube

Subscribe By Email

www.fawaaid.sg