Islamiq.sg

FIQ033: Faraid (Bhg 4)

Labels: ,
وَإِذَا دُعُوا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ إِذَا فَرِيقٌ مِنْهُمْ مُعْرِضُونَ
وَإِنْ يَكُنْ لَهُمْ الْحَقُّ يَأْتُوا إِلَيْهِ مُذْعِنِينَ
أَفِي قُلُوبِهِمْ مَرَضٌ أَمْ ارْتَابُوا أَمْ يَخَافُونَ أَنْ يَحِيفَ اللَّهُ عَلَيْهِمْ وَرَسُولُهُ بَلْ أُوْلَئِكَ هُمْ الظَّالِمُون
إِنَّمَا كَانَ قَوْلَ الْمُؤْمِنِينَ إِذَا دُعُوا إِلَى اللَّهِ وَرَسُولِهِ لِيَحْكُمَ بَيْنَهُمْ أَنْ يَقُولُوا سَمِعْنَا وَأَطَعْنَا وَأُوْلَئِكَ هُمْ الْمُفْلِحُونَ
وَمَنْ يُطِعْ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيَخْشَ اللَّهَ وَيَتَّقِيهِ فَأُوْلَئِكَ هُمُ الْفَائِزُونَ


Maksudnya: Dan apabila mereka diajak kepada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, maka dengan serta-merta sepuak dari mereka berpaling ingkar (menolak ajakan itu jika keputusan tidak menguntungkan mereka).

Dan (sebaliknya) jika keputusan itu memberi hak kepada mereka, mereka segera datang kepadanya dengan tunduk taat (menerima hukumnya). Mengapa mereka bersikap demikian), adakah kerana hati mereka mengandungi penyakit, atau kerana mereka ragu-ragu (terhadap kebenaran hukuman), ataupun kerana mereka takut bahawa Allah dan RasulNya akan berlaku zalim kepada mereka?

Sebenarnya, merekalah sendiri orang-orang yang zalim. Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak ke pada Kitab Allah dan Sunnah RasulNya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanyalah mereka berkata: "Kami dengar dan kami taat": dan mereka itulah orang-orang yang beroleh kejayaan. Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan RasulNya dan takut melanggar perintah Allah serta, menjaga dirinya jangan terdedah kepada azab Allah, maka merekalah orang-orang yang beroleh kemenangan. (Surah an-Nuur, Ayat 48-52)

Demi Allah, hukum faraid ini bukanlah hukum yang "ketinggalan zaman" dan zalim. Apakah mereka anggap diri mereka lebih adil dari Allah dan RasulNya?

Semoga sambungan artikel ini memberi manfaat bagi mereka yang masih ingin dengar dan taat pada Allah dan RasulNya.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Dalil-dalil as-Sunnah yang mensabitkan perwarisan di dalam Islam

a. Daripada Ibn ‘Abbās radhiyallahu'anhuma sabda Nabi shallallahu 'alayhi wasallam :

أَلْحِقُوا الفَرائضَ بِأَهْلِهَا ، فَمَا بَقِيَ فَلِأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ

Maksudnya: Berikanlah kepada setiap ahli waris hak masing-masing menurut pembahagian Faraid dan apa sahaja bakinya maka ia diberikan kepada orang lelaki yang paling dekat kekerabatannya (dengan si mati) (menurut pembahagian ‘asabah pula).

 b. Daripada Usāmah bin Zaid  radhiyallahu'anhuma bahawasanya Nabi shallallahu 'alayhi wasallam bersabda:

 لا يَرِثُ المسلمُ الكافرَ و لا يرث الكافرُ المسلمَ

Maksudnya: Seorang kafir tidak mewarisi seorang muslim dan seorang muslim juga tidak mewarisi peninggalan seorang kafir


c. Daripada Ibn Mas‘ūd radhiyallahu'anhu berkenaan perwarisan bagi anak perempuan dan cucu perempuan daripada anak lelaki dan saudara perempuan si mati: Maka Nabi shallallahu 'alayhi wasallam memutuskan bagi anak perempuan separuh, cucu perempuan tersebut satu perenam sebagai mencukupkan bahagian dua pertiga dan bakinya bagi saudara perempuan tersebut.

d. Daripada Ibn Buraidah radhiyallahu'anhu daripada bapanya bahawasanya Nabi shallallahu 'alayhi wasallam memberikan hak sebanyak satu perenam kepada seorang nenek bilamana ketiadaan ibu kepada si mati.

e. Daripada al-Miqdām bin Ma‘diekarib radhiyallahu'anhu bahawasanya Rasulullah shallallahu 'alayhi wasallam telah bersabda:      

  الخال وارث مَنْ لا وَارِثَ لَه

Maksudnya: Bapa saudara sebelah ibu menjadi pewaris kepada sesiapa yang tiada para pewaris terdekat

f. Daripada Jābir radhiyallahu'anhu daripada Nabi shallallahu 'alayhi wasallam yang telah bersabda:

إذا استَهَلَّ المَوْلُودُ وَرِث

Maksudnya: Jika seorang bayi menangis melalak (dilahirkan hidup), maka ia berhak mewarisi

_______________________________

a. Sahih Al-Bukhāri dan Sahih Muslim.
b. Sahih Al-Bukhāri dan Sahih Muslim.
c. Sahih Al-Bukhāri – iaitu anak perempuan seorang sahaja, tiada adik-beradik lelaki. Cucu mendapat bahagian kerana adanya ibu saudaranya itu (anak perempuan).
d. Riwayat Abu Dawūd dan al-Nasā-i dan dihukumkan sahih oleh Ibn Khuzaimah dan Ibn al-Jārūd serta dinyatakan sebagai sebuah hadis yang kuat periwayatannya oleh Ibn ‘Adiy. Kesimpulannya hadis berderajat Hasan.
e. Riwayat Ahmad dan keempat-empat Ahli Sunan kecuali al-Tirmidhi manakala Abu Zur‘ah al-Rāzi menghukumkannya Hasan dan dihukumkan Sahih pula oleh Al-Hākim dan Ibn Hibbān – kesimpulannya: Sahih.
f. Riwayat Abu Daud dan dihukumkannya Sahih oleh Ibn Hibbān – kesimpulannya: Sahih.


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Sumber: [فقه المواريث [٢٠٠٤
Disediakan oleh: Ustadz Abu Mazaaya
0 comments:

Search IslamIQ.sg

Visitors:

Facebook

YouTube

Subscribe By Email


Facebook

YouTube

Subscribe By Email

www.fawaaid.sg