Islamiq.sg

FIQ031: Faraid (Bhg 2)

Labels: ,
"Alah harta kita tak seberapa. Takkanlah adik-beradik abang nak tuntut bahagian mereka..." (BH, 6/10/10)

Begitulah sebahagian dari cereka-cereka yang berleluasa di media massa yang mempertikaikan hukum faraid untuk "harta yang sedikit". Benarkah begitu di sisi Islam? Apakah definasi "sedikit" dan "banyak" di dalam benak fikiran mereka?

Islam telah menghukum haram mewasiatkan lebih dari 1/3 harta pusaka. Apakah sesuatu yang haram menjadi halal dengan mengubah istilah "wasiat" kepada istilah-istilah lain sedangkan hakikatnya sebenarnya tidak banyak berbeza?

Inilah sebahagian dari persoalan yang wajar diajukan oleh masyarakat, yakni menuntut perincian dalil, hujah, sumber rujukan dan definasi istilah-istilah yang digunakan oleh golongan yang seringkali mengagungkan akal-akal kontemporari mereka lebih daripada sumber wahyu dan penjelasan para ulama terdahulu.

Semoga sambungan siri artikel berikutnya memberi manfaat.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Gambarajah yang menjelaskan pembahagian:




Perincian 1:
Maksud penjelasan ini adalah untuk menerangkan bahawasanya tiada beza di antara pembahagian harta yang sedikit ataupun harta yang banyak untuk dibahagikan kerana ia seumpama “kek kecil” atau “kek besar”.


Maka bahagian yang diterima oleh setiap waris yang berhak bergantung kepada bahagian yang telah ditetapkan untuknya, misalnya ia berhak mendapat 1/3, maka untuknya jika “kek kecil” 1/3, begitu juga “kek besar” pun 1/3. Harta peninggalan yang sedikit diibaratkan sebagai “kek kecil” dan harta peninggalan yang banyak diumpamakan sebagai “kek besar”. Bezanya, lebih besar kek, maka lebih banyak yang ia dapat makan.


Perincian 2:

Perlu difahami bahawa pembahagian harta si mati hanya berlaku selepas harta si mati digunakan terlebih dahulu untuk menjelaskan:
1.      Hutangnya; jika ia ada menanggung hutang sesama manusia.
2.      Hutangnya dengan Allah; seperti Zakat (samada diwasiatkan atau tidak)[1], Badal Haji (wajib + umrah), Sedekah Nazar, Fidyah Puasa dan lain-lain.
3.      Wasiat si mati agar 1/3 atau kurang daripada itu diketepikan (tidak dibahagikan di antara para pewaris) untuk disedekahkan kepada pihak-pihak tertentu.


Ada 5 hukum utama yang berkaitan dengan wasiat [2]:
i.                     Wajib ke atas sesiapa yang ada menanggung hak; seperti hutang sekalipun tanpa apa-apa bukti yang membuktikan hak pemiutang.
ii.                   Haram ke atas orang yang ada pewaris mewasiatkan lebih dpd 1/3 harta peninggalannya ataupun mewasiatkan kpd seseorang pewaris dengan apa yang tidak diizinkan para pewaris dan ketetapan perwarisan.
iii.                  Disunnatkan bagi orang yang meninggalkan banyak harta peninggalan untuk mewasiatkan 1/3 atau kurang dpdnya.
iv.                 Makruh ke atas orang miskin yang mempunyai pewaris yang kesempitan.
v.                   Dibolehkan bagi seorang miskin seandainya para pewarisnya mewah dan senang.  

Setelah ditunaikan segalanya itu tadi barulah harta dibahagikan kepada para pewaris. Antara dalil yang menjelaskan tertib ini adalah:

Firman Allah subhaanahu wa ta'aala:
 مِنْ بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ-

Maksudnya: Allah perintahkan kamu mengenai (pembahagian harta pusaka untuk) anak-anak kamu, iaitu bahagian seorang anak lelaki menyamai bahagian dua orang anak perempuan…Dan bagi ibu bapa (si mati), tiap-tiap seorang dari keduanya: satu perenam dari harta yang ditinggalkan oleh si mati, jika si mati itu mempunyai anak…Kalau pula si mati itu mempunyai beberapa orang saudara (adik-beradik), maka bahagian ibunya ialah satu perenam. (Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya. lbu-bapa kamu dan anak-anak kamu, kamu tidak mengetahui siapa di antaranya yang lebih dekat serta banyak manfaatnya kepada kamu (Pembahagian harta pusaka dan penentuan bahagian masing-masing seperti yang diterangkan itu ialah) ketetapan dari Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana..[3]

Daripada Sa’ad bin Al-Aִt-wal radhiyallaahu'anhu: Bahawasanya saudara lelakinya meninggal dunia meninggalkan 300 dirham, di samping beliau meninggalkan keluarganya yang bergantung padanya, katanya: “Maka aku pun berhasrat untuk menafqahkan harta itu kepada keluarganya tersebut, maka Rasulullah shallallaahu 'alayhi wasallam menjelaskan kepadaku:

 إن أخاك محبوس بدينه [فاذهب] فاقْضِ عنه -

Maksudnya: {Sesungguhnya saudaramu terperangkap (terikat amalannya) dengan hutangnya. Pergilah dan lunaskanlah untuknya}.” [4]

Daripada ‘Ali radhiyallaahu'anhu katanya: Sesungguhnya kamu membaca ayat ini (maksudnya: sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya) maka ketahuilah, sesungguhnya Rasulullah shallallaahu 'alayhi wasallam melunaskan hutang-hutang (si mati) dahulu sebelum melaksanakan wasiat (si mati). [5]

----------------------------------------------------------
[1]               Di sisi Imam Asy-Syāfi‘ee hak Allah diqiyaskan kepada hak sesama manusia dan dikeluarkan daripada keseluruhan hartanya dan bukan daripada 1/3. Bermakna kalau ia berhutang Zakat, maka dilunaskan biarpun sehingga habis kesemua harta peninggalannya, meskipun para warisnya tidak mendapat sesuatu. – al-Bidāyah oleh Ibn Rusyd: 2/338.

[2]               Tukilan dpd Kitab: Taudiehul Ahkām min Buluūghil Marām: 4/321.

[3]               Al-Qur’an: Surah an-Nisā’; 4:11

[4]               Riwayat Ibnu Mājah (2/82), Ahmad (4/136, 5/7), Al-Baihaqiy (10/142) dan salah satu isnadnya sahih menurut Al-‘Allāmah Al-Albāniy.

[5]               Riwayat Ahmad, al-Tirmidhi, Ibn Mājah, Ad-Dārimi, Al-Baihaqiy, Al-Hākim, Abu Ya‘la, al-Humaidi dll. Syeikh Al-Albāni menghukumkannya Hasan. Imam Al-Bukhāri juga menjadikannya tafsiran kepada ayat tersebut dan menyambung: Maka memenuhi amanah adalah lebih berhak didahulukan daripada wasiat yang sunnat dan Nabi mengajarkan tiada sedeqah kecuali bagi yang berkemampuan dan kata Ibn ‘Abbās pula “Seseorang itu tidak membuat wasiat (sedeqah sunnah) kecuali dengan izin ahli keluarganya” dan Nabi juga berpesan bahawa seorang hamba itu adalah semata-mata pengembala/pengurus harta tuannya – (Sahih Al-Bukhāri).

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~
Sumber: [فقه المواريث [٢٠٠٤
Disediakan oleh: Ustadz Abu Mazaaya



0 comments:

Search IslamIQ.sg

Visitors:

Facebook

YouTube

Subscribe By Email


Facebook

YouTube

Subscribe By Email

www.fawaaid.sg