Islamiq.sg

FIQ030: Faraid (Bhg 1)

Labels: ,
Bismillah wal-hamdulillah wa-salatu wa-salam 'ala Rasulillah, amma ba'd.

Sebagai suatu usaha menyokong kata-kata Timbalan Mufti Singapura - "Fatwa CPF tidak bermaksud memperkecil peranan hukum faraid" (BH, 24/9/10), maka berikutnya akan kami sajikan siri artikel yang memperjelaskan hukum faraid dalam Islam.

Semoga dengan penjelasan-penjelasan yang mudah dan ringas ini dapat memperkukuhkan kefahaman masyarakat terhadap hukum faraid dan "meluaskan peranan faraid" di Singapura melebihi hukum-hukum yang bercanggahan dengannya.

"Pelajarilah ilmu faraid serta ajarkanlah, sesungguhnya ia adalah setengah daripada ilmu dan ia akan dilupakan dan sesungguhnya ia adalah ilmu yang pertama yang akan dicabut dari umatku." [Ibnu Majah dan ad-Daruquthni]

Ingatlah bahawa syariat Islam ditetapkan untuk mewujudkan kemaslahatan hamba (mashalih al-'ibad) di dunia dan akhirat, bukan untuk memudharatkannya. Penetapan sesuatu sebagai maslahat itu wajib berpandu kepada syariat, bukan kepada akal manusia semata-mata.

"..sesungguhnya (agama) 'lurus yg penuh kelapangan' itu hanyalah timbul kelapangan padanya dalam keadaan terkait dengan kaedah-kaedah pokok yang telah berlaku dalam agama, bukan mencari-cari kemudahan dan bukan pula memilih pendapat-pendapat dengan sesukanya". [Al-Muwafaqat 4/145, Imam asy-Syatibi]

وَعَسَى أَنْ تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَكُمْ وَعَسَى أَنْ تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَكُمْ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Boleh jadi kalian membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagi kalian. Boleh jadi pula kalian menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagi kalian. Allah mengetahui, sedangkan kalian tidak mengetahui. [al-Baqarah, 2: 216]


~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~


Muqaddimah

Islam adalah sebuah agama sempurna yang mengatur cara hidup manusia dalam segenap perkara demi menjamin kesejahteraan hidup manusia sejagat di dunia ini. Malah, dengan rahmatNya yang Maha Luas, Allah menyediakan pula balasan baik dan ni‘mat abadi di Akhirat kelak kepada para hambaNya yang taat kepadaNya.

Di antara perkara yang diatur oleh Islam untuk kesejahteraan manusia adalah urusan harta peninggalan seseorang sebaik sahaja seseorang itu meninggal dunia. Daripada segi akal, manusia mengetahui bahawa apabila ia meninggal dunia dan ia ada meninggalkan harta, segala miliknya itu akan ditinggalkannya. Ada manusia yang tidak dapat menerima hakikat tersebut, membawa bersamanya harta kekayaannya ke dalam tempat persemadiannya atau kuburnya, padahal itu adalah suatu pembaziran yang nyata, yang merugikan umat manusia yang masih hidup dan tiada manfaatnya bagi pihak si mati. Islam menentang segala bentuk pembaziran yang dapat dimanfaatkan orang lain, meluruskan kesalahfahaman seperti ini dengan menegaskan:

Firman Allah subhaanahu wa ta'ala:

مَا عِنْدَكُمْ يَنفَدُ وَمَا عِنْدَ اللَّهِ بَاقٍ وَلَنَجْزِيَنَّ الَّذِينَ صَبَرُوا أَجْرَهُمْ بِأَحْسَنِ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ

Maksudnya: (Sebenarnya) apa yang ada pada kamu akan habis dan hilang lenyap, dan apa yang ada di sisi Allah tetap kekal; dan sesungguhnya Kami membalas orang-orang sabar dengan memberikan pahala yang lebih baik dari apa yang mereka telah kerjakan. [Surah an-Nahl, 16:96]

Sabda Nabi shallallaahu 'alayhi wasallam:

يتبع الميت ثلاثة فيرجع اثنان ويبقى معه واحد يتبعه أهله وماله وعمله فيرجع أهله وماله
ويبقى عمله

Maksudnya: Setiap jenazah diiringi 3 perkara, 2 daripadanya akan kembali pulang dan hanya satu yang akan tinggal bersamanya. Iaitu ia diiringi ahli keluarganya, hartanya dan amalannya, maka ahli keluarga dan hartanya akan kembali dan yang tinggal hanyalah amalannya.

[Sahih Al-Bukhāriy (6149), Sahih Muslim (2960), Sunan al-Tirmidhi (2379), Sunan al-Nasā-i (1937), Musnad Imam Ahmad (3/110), Sahih Ibn Hibbān (3107), Mustadrak al-Hākim (249), al-Bayhaqi dalam Sunan al-Kubra (2064) dan Musnad al-Humaidi (1186) Semuanya daripada Sahabat Anas bin Mālik.]

Begitu pula telah nyata di dalam sejarah manusia, betapa masalah perwarisan menjadi di antara punca utama kepada pertelingkahan, persengketaan bahkan peperangan di antara sesama manusia. Malah adakalanya menjadikan adik-beradik dan kaum kerabat saling bermusuhan. Demikianlah yang berlaku kerana merebut kuasa pemerintahan sejurus selepas kematian seseorang raja, sehingga ada kerajaan yang menetapkan sistem monarki, untuk mengelakkan perebutan kuasa dan peperangan. Bukan sahaja pada peringkat diraja, bahkan peringkat manusia kebanyakan juga sering berlaku persengketaan dan permusuhan sesama ahli keluarga kerana perebutan dan tuntutan terhadap harta peninggalan.

Demi mengelakkan persengketaan dan permusuhan sesama manusia yang amat disukai oleh Syaitan dan demi melenyapkan rasa tidak puashati di antara para pewaris, maka Islam telah menetapkan panduan di dalam pembahagian harta warisan. Islam juga meluruskan sistem politik dengan perlantikan Khalifah yang menjamin kestabilan pada peringkat pemerintahan.

Namun suatu ciri yang utama yang ada pada Islam dan tiada pada cara perwarisan yang lain, adalah penentuan segalanya itu dikembalikan secara mutlak kepada ketentuan Allah, Tuhan yang Maha Bijaksana lagi Maha Adil serta Maha Pengasih dan Penyayang. Segalanya dilandaskan kepada keimanan kepada Allah, Tuhan yang memiliki segala Sifat Kesempurnaan. Maka dapatlah difahami, bahawa manusia yang akan menuruti ketetapan Allah di dalam hal perwarisan, tidak berdolak-dalih dan menerima segala ketetapanNya dengan redha, tidak mencari-cari jalan selok-belok adalah sifat manusia yang benar-benar beriman dengan Allah dengan sebaik-baik keimanan.

Berbeza halnya dengan mereka yang suka berdolak-dalih, mencari-cari berbagai “selok-belok” untuk mempertikaikan ketetapan Allah apatah lagi yang membantah ketetapan Allah, yang segalanya itu adalah tanda-tanda sifat-sifat munafiq dan sikap ingkar terhadap ketetapan Allah. Semoga Allah menyelamatkan kita daripada bersifat dan bersikap demikian.

Golongan yang bersikap ingkar seperti itu, yang tidak rela menerima ketetapan Allah, akan menggunakan berbagai cara, antaranya hukum akal , sistem kehakiman buatan manusia[1], adat-istiadat nenek moyang serta fitnah, paksaan, ugutan dan sebagainya.

Mudah-mudahan dengan pembelajaran Ilmu Perwarisan di dalam Islam ini, dengan daripada awal lagi kita mempunyai kefahaman umum yang lurus dan melandaskan segalanya atas dasar iman dan khuatirkan perhitungan kita di Akhirat kelak, kita akan lebih memahami ruh Keadilan Islam, lebih menghayati Sifat-sifat Allah yang Maha Adil, Maha Bijaksana, Maha Pengasih dan Maha Penyayang serta menjadi hamba-hamba Allah yang mendambakan Cinta Allah dan Syafa‘at RasulNya dengan menuruti dengan sebaik-baiknya segala ajaran baginda shallallaahu 'alayhi wasallam dan ikutan para Sahabat baginda.

Bersamalah kita menghayati peringatan Allah di dalam perkara sikap kita terhadap harta dan anak-anak; Firman Allah:

إِنَّمَا أَمْوَالُكُمْ وَأَوْلَادُكُمْ فِتْنَةٌ وَاللَّهُ عِنْدَهُ أَجْرٌ عَظِيمٌ

Maksudnya: Sesungguhnya harta benda kamu dan anak-anak kamu itu hanyalah menjadi ujian, dan di sisi Allah jualah pahala yang besar.[Surah al-Taghābun, 64:15]

Maka kita hendaknya mengerti bahawa harta peninggalan, samada yang kita tinggalkan ataupun yang kita warisinya adalah suatu ujian yang menguji ketaatan kita kepada Allah dan kesabaran kita di dalam menuruti ketetapan-ketetapan Allah.

Wallahu a‘lam.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Sumber: [فقه المواريث [٢٠٠٤
Disediakan oleh: Ustadz Abu Mazaaya


[1] Merujuk kepada lawyer/peguam atau Perundangan semasa yang dikatakan “lebih adil” ataupun berwasiat dengan cara wasiat yang ganjil yang hanya diterimapakai segelintir umat Islam yang kononnya masih dii‘tiraf agama Islam, padahal ia amat jauh dari ruh Islam dan keadilannya yang menjadi antara matlamat utama pensyari‘atan Hukum-hukum Perwarisan Islam, menimbulkan keraguan dan tengkarah bukan untuk menghidupkan ajaran asal baginda tetapi kerana desakan keduniaan.
0 comments:

Search IslamIQ.sg

Loading...

Ramadan Articles

Subscribe to us:


Unique Visitors:

Ustaz Murad Said