Islamiq.sg

FIQ013: Penjelasan Majlis Zikir 1

Sesungguhnya segala pujian adalah untuk Allah, kita memujiNya, meminta pertolonganNya dan memohon ampunanNya dan kita berlindung kepada Allah daripada keburukan diri kita dan kejelekan amalan-amalan kita. Barangsiapa yang dikurnia petunjuk oleh Allah, maka tiada sesiapa yang dapat menyesatkannya dan sesiapa yang disesatkanNya maka tiada yang mampu memberi petunjuk kepadanya.

Aku bersaksi bahawasanya tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah, tiada sekutu bagiNya dan aku juga bersaksi bahawasanya Muhammad adalah hambaNya dan utusanNya.

Adapun selanjutnya:
Pembaca yang budiman, semoga Allah mengurniakan PetunjukNya kepada kami semua, berikut adalah kajian yang sederhana untuk sama-sama kita ketahui dan fahami dengan baik, maksud Majlis Zikir di dalam beberapa hadis Nabi sallallahu 'alayhi wasallam. Kajian ini disiapkan disebabkan beberapa perkara:

i. Kita sering mendengar berbagai kenyataan yang berbeza-beza daripada guru-guru agama di sini berkenaan Majlis Zikir. Maka tentunya ada titik pertemuan di antara pendapat-pendapat yang bernas dan pastinya juga ada pendapat yang dilontarkan tanpa kajian dan sekadar mengikut perasaan atau kebiasaan orang awam. Justeru itu, kajian ini akan mendapatkan jawapannya daripada ulasan beberapa orang ‘ulama terkemuka.

ii. Dewasa ini, semakin giat sebahagian pihak mengadakan Majlis Zikir, namun secara naluri, dirasakan bahawa ada yang tidak kena pada Majlis-majlis tersebut, yang akan dijelaskan kelak sudut-sudutnya, berdasarkan pandangan para Sahabat dan ‘ulama, semoga Allah merahmati mereka sentiasa. Dengan itu, timbul rasa tanggungjawab untuk sama-sama kita perbetulkan, sekiranya ada pada amalan-amalan kita, suatu percanggahan terhadap asal ajaran Nabi sallallahu 'alayhi wasallam. Lebih-lebih lagi yang sekarang ini dapat disaksikan dan ditonton di Internet, Majlis Zikir beberapa orang Tok Syeikh di berbagai tempat merata dunia, sehingga ada yang rela dicium kakinya oleh anak murid/pengikutnya dan ada pula yang membiarkan sahaja mereka sujud menghadapnya. Padahal Rasulullah sallallahu 'alayhi wasallam telah bersabda (terjemahan):

"Kalau aku boleh menyuruh seseorang untuk sujud kepada seorang yang lain (dalam riwayat lain: kepada selain Allah), tentunya aku telah menyuruh seorang isteri sujud kepada suaminya."








Jika Nabi sallallahu 'alayhi wasallam tidak boleh, mengapa mereka membolehkan dan mengapa pula mereka biarkan sahaja orang buat sesuatu yang terlarang???

iii. Ada juga pihak yang ingin dapatkan penjelasan permasalahan ini, terutamanya “maksud” hadis berikut ini. Hadis ini juga yang sentiasa dijadikan pokok perbincangan dan hujjah dalam permasalahan ini. Maknanya, pemahaman dan kesimpulan yang tepat terhadap hadis ini adalah amat perlu dan kesilapan dalam memahaminya dan menyimpulkannya boleh membawa kepada penyelewengan. Hadisnya sebagaimana di bawah.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Al-Imam al-Bukhariy rahimahullah dan Imam Muslim rahimahullah kedua-duanya mencatatkan dengan sanad yang berlainan daripada Abu Hurairah radhiyallahu'anhu (dengan lafaz yang seiras maknanya) kata beliau:

Nabi sallallahu 'alayhi wasallam bersabda:

Sesungguhnya Allah subhanahu wa ta'ala memiliki para Malaikat yang selalu mengelilingi bumi. Para Malaikat itu sentiasa mencari-cari majlis-majlis zikir. Apabila mereka dapati ada segolongan manusia berzikir kepada Allah, mereka turut mengajak sesama mereka ke majlis tersebut di mana mereka akan menaunginya dengan sayap-sayap mereka sehinggalah memenuhi ruangan antara orang yang menghadiri majlis zikir tersebut dan langit dunia. Apabila orang ramai yang hadir dalam majlis tersebut beredar, para malikat naik ke langit.

Baginda bersabda: Allah subhanahu wa ta'ala bertanya kepada para malaikat itu, sedangkan Allah lebih mengetahui, firmanNya: Apakah yang sedang diucapkan oleh hamba-hambaKu?

Jawab para Malaikat: Mereka bertasbih, bertakbir, bertahlil, bertahmid serta mengagungkanMu.

Allah berfirman: Apakah yang mereka pernah melihatKu?

Jawab mereka: Tidak, demi Allah, mereka tidak pernah melihat Mu.

Bagaimana jika mereka pernah melihat Ku?

Para Malaikat menjawab: Seandainya mereka pernah melihat Mu, nescaya mereka lebih kuat beribadat kepada Mu dan lebih banyak bertasbih, bertakbir, bertahlil, bertahmid serta mengagungkanMu.

Apakah yang mereka pinta daripada Ku?

Para Malaikat menjawab: Mereka memohon Syurga dari Mu.

Allah berfirman: Apakah mereka pernah melihat Syurga?

Para Malaikat menjawab: Belum pernah, demi Allah wahai Tuhan.

Allah berfirman: Bagaimanakah akan terjadi seandainya mereka pernah melihat Syurga?

Para Malaikat berkata lagi: Tentunya mereka lebih kuat berusaha mendapatkannya, lebih kuat permohonannya dan lebih bersungguh-sungguh mahukannya.

Allah berfirman: Mereka pohon perlindunganKu dari apa?

Para Malaikat menjawab: Dari NerakaMu, wahai tuhan.

Allah berfirman: Apakah mereka pernah melihat NerakaKu?

Para malaikat menjawab: Belum, demi Allah wahai Tuhan.

Allah berfirman: Bagaimanakah akan terjadi seandainya mereka pernah melihat NerakaKu.

Para Malaikat terus berkata lagi: Pastinya mereka lebih giat menjauhinya, lebih takut akannya.

Allah berfirman: Saksikanlah wahai kamu sekalian, Aku sudah mengampuni mereka.

Di antara para Malaikat itu ada yang berkata: Di antara mereka terdapat seorang hambaMu. Dia sebenarnya tidak berniat untuk menghadiri majlis tersebut.

Baginda bersabda: Allah berfirman: Aku juga telah mengampuninya. Mereka adalah kaum yang tidak mencelakakan sesiapa yang duduk dalam majlis mereka itu.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Di dalam sambungan kajian ini akan dinukil ulasan ‘ulama terhadap hadis ini dengan panduan Sahabat radhiyallahu 'anhum.

Kajian dan susunan: Ustadz Abu Mazaaya
1 comments:

Bismillah
Nabi Sallallahu 'Alaihi Wasallam warned the sahabat against standing up as a sign of respect to him when he entered any majlis, but this so-called SyeikhGuru allowed his disciple to kiss his feet ? Or even allowed their disciples to prostrate to him ? Such typical idiocy from guru and disciple from a typical Sufism under the camouflage of Islam merely confirmed the great foresight of Imam Asy-Syafi'i Rahimahullah who warned, "Anyone who enters tasawuf in the morning will before noon become an obstinate idiot." - please refer pg.442 book BELITAN IBLIS by the late Syed Ahmad Semait, published by Pustaka Islamiyah Pte Ltd.
Allahul Musta'an.


Search IslamIQ.sg

Visitors:

Facebook

YouTube

Subscribe By Email


Facebook

YouTube

Subscribe By Email

www.fawaaid.sg