Islamiq.sg

Pandangan Ahli Sunnah Terhadap Terorisme

Labels:
Pandangan Ahli Sunnah Terhadap Terorisme
- Nukilan dari kertas kerja "Ahli Sunnah vs Teroris" oleh Dr. Azwira Abdul Aziz, pensyarah di Jabatan Pengajian Al-Quran &As-Sunnah, Universiti Kebangsaan Malaysia

Perkataan terrorism diguna dalam bahasa Arab dengan maksud irhab. Perkataan irhab adalah kata terbitan bagi kata kerja arhaba - yurhibu - irhab, yang bermaksud: menakutkan[1]. Ia berasal dari kata kerja rahaba/rahiba - yarhabu - rahban, yang bermaksud: takut[2].

Dalam konteks pengabdian kepada Allah S.W.T., perasaan takut adalah sejenis ibadat hati yang sangat dituntut, sebagaimana firmanNya (maksudnya):
".....Maka hendaklah kepada-Ku saja kamu takut". (al-Baqarah, 2:51)

Perkataan irhab menurut istilah syara' terbahagi kepada dua pengertian. Pertama, irhab terpuji (baik) dan kedua, irhab keji (jahat).

Irhab terpuji ialah usaha mempersiap dan melengkapkan kekuatan ketenteraan untuk menggerunkan musuh. Persiapan itu bukan bertujuan untuk menyerang sesuka hati, tetapi untuk mempertahankan diri jika diserang atau dikhianati. Irhab jenis ini adalah satu kewajipan.

Allah S.W.T. berfirman (maksudnya):
"Dan persiapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu mampu dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggerunkan musuh Allah dan musuhmu dan orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya..." (al-Anfal, 8:60)

Menjelaskan maksud ayat ini, Ibn Jarir at-Tabari(310H) berkata (maksudnya):
"Wahai orang beriman! Buatlah persediaan setakat kemampuan kamu untuk menghadapi mereka yang tidak beriman, yang ada perjanjian dengan kamu, jika kamu bimbang kemungkinan mereka khianat dan mungkir janji"[3]

Ayat ini menunjukkan kewajipan ke atas umat Islam membuat persediaan dari segi kekuatan ketenteraan supaya mereka digeruni oleh musuh yang cuba menggugat keamanan. Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya):
"Aku dimenangkan (oleh Allah S.W.T.) dengan kegerunan dari jarak sejauh sebulan perjalanan." (al-Bukhari, No:328)


Manakala irhab keji pula ialah menggugat keamanan awam, melalui tindakan yang menyalahi syariat Islam, oleh individu, kumpulan maupun kerajaan. Irhab jenis ini adalah haram dan termasuk dalam jenis dosa besar. Sebarang tindakan yang menyalahi syariat Islam secara nisbinya adalah sejenis keganasan.

Pembunuhan Khalifah Umar r.a. oleh Abu Lu'lu'ah al-Majusi adalah antara gambaran irhab keji terawal dalam sejarah Islam. Demikian juga pembunuhan Khalifah Uthman r.a. oleh Kinanah at-Tujibi dan pembunuhan Khalifah Ali r.a. oleh Ibn Muljim juga adalah jenis irhab yang terkeji.

Tindakan ganas tercetus akibat pemikiran ganas. Keganasan para pembunuh Khalifah berpunca dari bid'ah pemikiran mereka yang ganas. Sebahagian ulama menamakan bid'ah pemikiran itu irhab fikri (keganasan pemikiran)[4]. Irhab fikri dilihat sebagai lebih merbahaya daripada irhab hissi (keganasan fizikal), kerana irhab hissi itu didorong oleh irhab fikri.

Semua jenis pemikiran bid'ah yang mendorong kepada amalan bid'ah adalah jenis irhab fikri. Justeru, langkah untuk membenteras keganasan harus bermula dengan usaha membenteras bid'ah pemikiran terlebih dahulu.


Siapakah Teroris Sebenar?

Pada hari ini, istilah teroris telah dikaitkan dengan kumpulan-kumpulan tertentu dari kalangan umat Islam[5]. Jabatan Negara A.Syarikat telah menyenaraikan sebanyak 24 kumpulan dalam senarai pengganas luar Negara mereka[6]. Kumpulan-kumpulan itu ialah seperti Al-Qaeda, Palestinian Islamic Jihad (Palestin), Moro Islamic Liberation Front (Filipina), Jemaah Islamiyah Indonesia, Egyptian Islamic Jihad dan Jamaat Ansar al-Sunna (Iraq).

Apa pun nama kumpulan-kumpulan itu, ia tiada kaitan dengan Ahli Sunnah jika tindakan mereka menyalahi garis panduan sunnah. Demikian pula sebaliknya, jika tindakan mereka menepati sunnah, maka mereka bukan pengganas, kerana Nabi Muhammad s.a.w. juga bukan pengganas. Orang yang betul-betul ikut sunnah tidak akan sekali-kali menjadi pengganas, kerana keganasan itu menyalahi sunnah.

Justeru, mengaitkan Ahli Sunnah dengan keganasan adalah suatu bentuk fitnah yang zalim. Kerana yang betul-betul berbakat untuk menjadi pengganas bukan Ahli Sunnah,tetapi ahli bid'ah yang tidak mahu ikut sunnah. Wallahua'lam.

____________________

[1] Al-Fairuzabadi, Muhammad Ibn Ya'kub, Al-Qamus Al-Muhit, Muassasah Ar-Risalah, Beirut, Lubnan, 1987, hal:118.
[2] Ibid.
[3] Muhd Ibn Jarir at-Tabari, Jami' al-Bayan 'an Ta'wil Ayi al-Quran, Dar al-Fikr, Beirut, 1984, 6:29
[4] Zaid Ibn Muhammad Ibn Hadi al-Madkhali, Al-Irhab Wa Atharuhu 'Ala Al-Afrad Wa Al-Umam, Maktabah al-Malik Fahd al-Wataniyyah, Jeddah, Arab Saudi, 1418H(2004), hal:26.
[5] Lihat artikel: Islamic Terrorism, atas talian: http://en.wikipedia.org/wiki/Islamic_terrorism.
[6] Ibid.
0 comments:

Search IslamIQ.sg

Visitors:

Facebook

YouTube

Subscribe By Email


Facebook

YouTube

Subscribe By Email

www.fawaaid.sg