Islamiq.sg

AQD014: Menyanggah Aqidah Batil

Bismillah wal-hamdulillah wa-salatu wa-salam 'ala Rasulillah, amma ba'd.

Sebagai suatu kesinambungan kepada artikel sebelum ini mengenai ajaran sesat, berikutnya adalah teks khutbah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengenai isu yang sama.

Perhatikanlah, ciri-ciri dan sumber-sumber ajaran sesat yang telah disebutkan dan nilaikanlah serta bandingkanlah sendiri dengan ajaran-ajaran yang berleluasa di Singapura sekarang.

Sebagai contoh, khalifah tariqat Ahmadiah-Idrisiah di dalam lelamannya memuatkan sebuah artikel yang mengajak masyarakat beriman terhadap konsep "yaqazah", yakni berjumpa dengan Nabi shalallahu 'alayhi wasallam secara nyata (bukan mimpi).





Sedangkan JAKIM telah pun mengenalpasti konsep "yaqazah" ini sebagai salah satu ciri ajaran sesat.

----------------------------------

Menyanggah Aqidah Batil

Penyebaran ajaran sesat yang berkembang begitu mudah mendapat tempat di kalangan sekelompok masyarakat dan ia merupakan satu ancaman besar kepada Islam dan umat Islam. Ajaran ini datang dalam pelbagai bentuk dan gaya, ada yang berselindung di atas nama-nama tertentu yang melambangkan keislaman, ada pula berselindung disebalik nama tariqat, ada dalam amalan-amalan keagamaan membersihkan dosa yang mana ianya boleh memikat segelintir orang Islam yang dahaga dan yang ingin mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Aktiviti ini dijalankan secara terang-terangan seolah-olah mencabar kewibawaan pihak berkuasa, dan tidak kurang juga yang menjalankan aktiviti tersebut secara sembunyi-sembunyi. Pemimpin ajaran sesat yang hidup selesa kerana memperalatkan ahli-ahli yang ta'asub tidak pernah merasa serik dengan tindakan-tindakan tegas yang telah diambil oleh pihak kerajaan ataupun pihak berkuasa. Bahkan mereka sentiasa berusaha mengembangkan ajaran mereka dengan pelbagai helah dan tektik pula.

SAUDARA KAUM MUSLIMIM YANG DIRAHMATI ALLAH,
Pemimpin dan pengikut ajaran sesat ini tanpa merasa segan silu mendakwa bahawa ajaran merekalah sebagai ajaran yang benar. Golongan ini dan mereka yang terpengaruh dengannya begitu ta'asub dengan apa yang dibawa oleh guru mereka yang didakwa sebagai guru mursyid yang di agong-agongkan. Hal inilah yang menimbulkan kekeliruan dan kecelaruan yang amat sangat di kalangan masyarakat yang cetek fahaman aqidah mereka dan sukar sekali untuk dipulihkan kembali pangkal jalan.

Hakikatnya fahaman atau ajaran yang dibawa oleh golongan ini jelas sekali amat bertentangan dengan akidah dan syariat Islamiah serta nyata terpesong dari Al-Quran dan as-Sunnah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. sesungguhnya kebanyakan pemimpin ajaran sesat adalah terdiri daripada mereka yang jahil tentang Islam dan tidak memahami Al-Quran serta as-Sunnah, bahkan ada di kalangan mereka yang tidak mempunyai asas-asas agama langsung. Maka bagaimanakah pengikut-pengikut dan masyarakat umum boleh menerima dan terpedaya dengan dakwaan dan tipu daya guru-guru mereka yang mereka agung-agungkan sebagai mursyid, maksum dan sebagainya.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,
Di antara beberapa ciri ajaran sesat atau menyeleweng yang mudah untuk dikenal pasti adalah seperti berikut :

1. Mendakwa Allah menjelma dalam diri guru atau seseorang.

2. Mendakwa bahawa guru mereka sebagai nabi atau malaikat.

3. Mendakwa dan mengamalkan nikah batin.

4. Mendakwa guru mereka memegang kunci pintu syurga.

5. Mendakwa bahawa guru mereka boleh menebus dosa dengan wang atau harta.

6. Mempercayai bahawa guru mereka menerima wahyu.

7. Syeikh atau guru mendakwa mempunyai mukjizat.

8. Mengaku mengetahui perkara-perkara ghaib.

9. Pengikut-pengikut mereka sahaja yang dijamin masuk syurga.

10. Meninggalkan sembahyang Jumaat kerana mengamalkan suluk (bertapa atau mengasingkan diri ditempat tertentu seperti didalam goa atau diatas bukit).

11. Mendakwa ajaran yang dibawa oleh mereka diambil terus dari Rasulullah SAW secara jaga ( يَقَظَةْ ).

12. Mendakwa mampu berbicara dengan Rasulullah bagi menyelesaikan masalah-masalah semasa.

Manakala amalan-amalan yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam amat mudah untuk dikenali oleh masyarakat. Berasaskan kepada ciri-ciri yang disebutkan tadi, umat Islam hendaklah dengan tegas menolak amalan-amalan tersebut. Amalan berzikir beramai-ramai didalam gelap yang bercampur bebas lelaki dan wanita, ditambah pula dengan alunan muzik-muzik tertentu dengan jelas mempersendakan Islam. Begitu juga amalan berzikir dengan menyebut lafaz-lafaz atau kalimah-kalimah tertentu yang meragukan, sembahyang hanya berpada dengan niat sahaja, menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah atau sebaliknya, penyerahan diri kepada guru melalui nikah batin dan berbagai-bagai lagi amalan-amalan yang bertentangan sama sekali dengan syara'.

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab kita semua untuk membasmi penularan dan perkembangan ajaran-ajaran sesat ini. Tidak ada jalan lain, kita perlu sentiasa berwaspada, cermat dan berhati-hati dengan dakwaan sesetengah pemimpin ajaran yang menyeleweng ini. Mereka ini wujud sepanjang zaman sejak di zaman nabi lagi. Sebab itulah Allah mengingatkan kepada hamba-Nya agar sentiasa berpegang teguh dengan agamanya iaitu Islam melalui firman-nya dalam Al-Quran surah an-An'am ayat 153 :

Maksudnya : "Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanku ( Agama Islam ) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya. dan janganlah kamu menurut jalan-jalan ( yang lain dari Islam ) yang mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah dengan demikian itulah Allah perintahkan kamu supaya bertakwa" .

SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA,
Antara faktor utama yang menyebabkan sesetengah golongan terperangkap dan terpengaruh dengan aqidah batil ini ialah :

1. Lemah aqidah.
2. Tergoda dengan hasutan syaitan
3. Tertipu dengan mereka yang berkepentingan iaitu kepentingan material, seks dan kedudukan .

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Mengikut statistik terkini yang disenaraikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysiaا ( JAKIM ) terdapat 21 kumpulan ajaran sesat yang aktif daripada 34 kumpulan yang dikenal pasti.

Justeru, mimbar Jumaat hari ini menyarankan beberapa langkah penyelesaian yang perlu dilaksanakan antaranya :

1. Islam hendaklah kembali kepada ajaran Al-Quran dan as-Sunnah.

2. Melipatgandakan usaha dakwah Islamiah dengan menekankan persoalan pengukuhan akidah.

3. Mengukuh sahsiah diri dengan mengamalkan nilai-nilai mulia.

4. Menjauhkan diri dari mendapat rawatan dari bomoh, sebaliknya merujuk masalah kesihatan kepada doctor atau pakar perubatan yang diiktiraf.

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Akhirnya khutbah sekali lagi ini ingin menegaskan bahawa orang yang mempunyai aqidah yang betul, tidak akan terpesong dan mudah diperdayakan oleh syaitan. Ini adalah berdasarkan janji Allah s.w.t. di dalam Al-Quran surah al-Hijr ayat 42 :

Maksudnya : "Sesungguhnya hamba-hambu tidaklah ada bagimu sebarang kuasa untuk menyesatkan mereka kecuali sesiapa yang menurutmu dari orang-orang yang sesat ( dengan pilihannya sendiri )."
1 comments:

Ketika Rasulullah Saw. menantang berbagai akidah bathil dan pemikiran rusak kaum musyrikin Mekkah dengan Islam, Beliau dan para Sahabat ra. menghadapi kesukaran dari tangan-tangan kuffar. Tapi Beliau menjalani berbagai kesulitan itu dengan keteguhan dan meneruskan pekerjaannya.


Search IslamIQ.sg

Visitors:

Facebook

YouTube

Subscribe By Email


Facebook

YouTube

Subscribe By Email

www.fawaaid.sg