Islamiq.sg

Doa Awal Tahun

Sumber Doa Awal dan Akhir Tahun

Diantara amalan yang sangat masyhur di kalangan masyarakat kita setiap tahun, adalah bacaan doa beramai-ramai pada setiap awal dan akhir tahun Hijrah.

Diriwayatkan bahawa diantara fadhilat membaca doa tersebut adalah hadith yang bermaksud:
"Barangsiapa membacanya syaitan akan berkata: Kami telah penat letih bersamanya sepanjang tahun, tetapi dia (pembaca doa berkenaan) merosakkan amalan kami dalam masa sesaat (dengan membaca doa tersebut).”

Mengenai kata-kata tersebut, Jamaluddin al-Qasimy telah menerangkan bahawa ianya ini tidak diriwayatkan di dalam sebarang kitab-kitab hadith yang bersanad, dan tidak juga di dalam kitab-kitab hadith maudhu’aat (palsu). (Islahul Masajid: 108). Maka ia bukankan daripada kata-kata Rasulullah صلى الله عليه وسلم‎ .

Sebaliknya, apa yang nyata adalah Rasulullah صلى الله عليه وسلم‎ , para sahabat dan para tabiin tidak pernah mengamalkan doa tersebut.

Ini telah diakui sendiri oleh beberapa para ulama seperti Abu Syamah (seorang ulama Syafie wafat pada tahun 665H), Mohd Jamaluddin al-Qhasimy (Islahul Masajid-129), Muhammad Abdus Salam as-Shuqairy (As-Sunan wal Mubtadaa’at-167), dan Dr Bakr Abu Zaid (Tashihud Doa-108), yang menegaskan bahawa “Doa awal dan akhir tahun” tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم‎ , para sahabat, tabiin, atau tabi’e tabiin.

Di dalam perkara ini, kita haruslah berhati-hati, kerana sekiranya seseorang yang telah mengetahui bahawa sesuatu hadith itu palsu tetapi tetap meriwayatkannya sebagai hadith, maka dikhuatiri akan tergolong di dalam ancaman Rasulullah صلى الله عليه وسلم‎ :
“Barangsiapa yang melakukan penipuan (pemalsuan hadith) keatas diriku dengan sengaja, maka bersedialah suatu tempat untuknya di dalam neraka.”

Dalam hadith yang lain pula, Rasulullah صلى الله عليه وسلم‎ bersabda:
“Barangsiapa yang meriwayatkan dariku sepotong hadith sedangkan dia tahu ianya palsu maka dia adalah salah seorang pembohong.” (Riwayat Muslim di dalam Muqaddimah Sahihnya: 1/62).

Kemudian, ada sebahagian golongan pula yang berdalih bahawa doa tersebut sebenarnya adalah sebahagian daripada amalan para solafussoleh kerana fadhilat doa tersebut ada di terangkan di dalam kitab “Majmuk as-Syarif”, tetapi bukan di dalam bentuk hadith.

Perkara ini sangatlah mengelirukan dan membahayakan kerana diantara fadhilat doa tersebut diriwayatkan bahawa akan diampunkan dosa-dosanya setahun yang lalu dan kononnya syaitan akan berkata:
"Kami telah penat letih bersamanya sepanjang tahun, tetapi dia merosakkan amalan kami dalam masa sesaat (dengan membaca doa tersebut)."

Ini semua adalah perkara-perkara ghaib yang tidak boleh di-imani kecuali daripada sumber wahyu iaitu Al-Quran atau sunnah. Oleh kerana, Al-Quran dan sunnah tidak menyebutkan fadhilat-fadhilat tersebut, maka bagaimanakah boleh seseorang mengetahui bahawa syaitan berkata demikian dan sebagainya dan beriman dengannya?


Unsur-Unsur Syirik Doa Awal Tahun




“Tusrafu bi wajaahatihi jamieul mashaa-ib”
Ertinya: dan dengan kedudukannya (baginda Nabi Muhammad) tertolak segala musibah.

“Wa bi haqqi sayyidinaa Muhammad wa bihaqqi man lahu wajaahatun ‘indak min jamie’i kholqika an taghfira adz-dzunuuba kullahaa..”
Ertinya: dan dengan hak penghulu kami Muhammad dan dengan hak setiap yang punya kedudukan tinggi di sisi Mu dari sekelian makhlukMu agar Engkau ampunkan segala dosa…

Ini dinamakan “Tawassul bid’ah” bahkan yang boleh menjatuhkan pelakunya ke kancah syirik.

“Wasilah yang diperintahkan di dalam Al-Quran ialah apa yang mendekatkan seseorang kepada Allah iaitu berupa amal ketaatan yang disyariatkan. Tawassul pula ialah mendekatkan diri kepada Allah dengan cara-cara tertentu. Adapun Tawassul ada tiga macam: 
a. Masyru’ iaitu tawassul kepada Allah dengan Asma’ dan SifatNya, dengan amal salih yang dikerjakannya atau melalui doa orang salihin yang masih hidup. 
b. Bid’ah iaitu mendekatkan diri kepada Allah dengan cara yang tidak disebutkan dalam syariat, seperti tawassul dengan peribadi para nabi dan orang-orang salih, dengan kedudukan mereka, kehormatan mereka dan sebagainya. 
c. Syirik iaitu bila menjadikan orang-orang yang sudah meninggal sebagai perantara dalam beribadah, termasuk berdoa kepada mereka, meminta hajat dan memohon pertolongan daripada mereka.”

(“Noktah Hitam: Ajaran Sesat di Singapura”, halaman: 25 perkara ke-78, terbitan Majlis Ugama Islam Singapura)

Sila rujuk beberapa kitab Tauhied karangan para Imam Ahlis Sunnah wal Jama’ah yang ada menyebutkan nash para Imam Ahlis Sunnah wal Jama’ah seperti Imam Asy-Syaafi’ee, Imam Maalik, Imam Abu Haniefah, Imam Ahmad dan lain lagi.

Kata Imam Abu Haniefah رحمه الله (ertinya):
“Adalah dibenci jika seseorang berdoa dengan mengatakan: Aku memohon kepada Mu dengan hak si fulan atau hak Nabi-nabi Mu dan hak Rasul-rasulMu atau hak Al-Bait Al-Haraam dan Al-Masy’aril Haraam” (Sila rujuk: “Syarh Al-‘Aqiedah Ath-Thohaawiyah hal 234, Ittihaafus Sa’aadaat Al-Muttaqien jilid II, hal 285, Syarh Al-Fiqh Al-Akbar: hal 198. )


Kesimpulan

1) Daripada penjelasan ringkas diatas, kita akan sedari bahawa Rasulullah صلى الله عليه وسلم‎ , para sahabat serta para tabi’in tidak pernah membaca doa-doa awal atau akhir tahun.

2) Fadhilat doa-doa tersebut bukanlah daripada kata-kata Rasulullah صلى الله عليه وسلم‎ dan bukan juga daripada kata-kata para sahabat. Yang lebih memberatkan lagi, ianya mempunyai ilmu-ilmu ghaib dimana umat Islam tidak boleh beriman dengan perkara-perkara ghaib kecuali ianya mempunyai nas daripada sumber-sumber syar’ie.

3) Berdoa adalah sesuatu ibadah yang sangat dituntut oleh syarak, namun doa awal dan akhir tahun yang diamalkan oleh sebahagian anggota masyarakat telah didapati tidak bersumberkan daripada apa-apa sumber Islam yang muktabar iaitu nas-nas al-Quran atau as-Sunnah. Malah, dilarang mereka-reka dalam agama dengan mengkhususkan sebab, masa dan tatacara sesuatu ibadah.

4) Sebahagian kandungan doa ini bercanggah dengan prinsip-prinsip aqidah Islam kerana memberikan unsur-unsur ketuhanan kepada baginda ar-Rasul صلى الله عليه وسلم‎ .

5) Kami menyeru agar masyarakat Islam yang ikhlas dan berakal berlepas diri daripada adat membaca doa awal dan akhir tahun yang telah nyata tidak pernah dilakukan oleh Rasulullah صلى الله عليه وسلم‎ mahupun para sahabat, walaupun ia dilakukan oleh sebahagian tokoh-tokoh agama.

6) Kami juga menyeru agar para agamawan yang berkedudukan, imam-imam serta aktivis-aktivis masjid dan pertubuhan Islam agar sentiasa bersikap prihatin dan peka sekiranya ingin mengadakan sesuatu majlis. Ini adalah agar amalan-amalan tersebut tidak bertentangan dengan AlQuran atau ajaran Nabi صلى الله عليه وسلم‎ dan semoga ianya diterima oleh Allah sebagai sesuatu yang diredhoiNya di dunia dan di akhirat.

Lakukanlah yang benar, bukan sekadar menyokong secara jahil sesuatu yang masyhur hanya ingin mengekalkan pangkat dan kedudukan supaya diterima oleh masyarakat dan pemerintah sebagai agamawan arus perdana.



Doa Awal Bulan Dari as-Sunnah
Hadith #67: "Doa Melihat Bulan Tanggal Satu"
(Sumber: Hisnul Muslim oleh Sheikh Sa'eed Ibn Wahf al-Qathani)



اللهُ أَكْبَرُ، اَللَّهُمَّ أَهِلَّهُ عَلَيْنَا بِاْلأَمْنِ وَاْلإِيْمَانِ، وَالسَّلاَمَةِ وَاْلإِسْلاَمِ، وَالتَّوْفِيْقِ لِمَا تُحِبُّ رَبَّنَا وَتَرْضَى، رَبُّنَا وَرَبُّكَ اللهُ

“Allah Maha Besar. Ya Allah! Nampakkan bulan tanggal satu itu kepada kami dengan membawa keamanan dan keimanan, keselamatan dan Islam serta mendapat taufiq untuk menjalankan apa yang Engkau senang dan rela. Tuhan kami dan Tuhanmu (wahai bulan sabit) adalah Allah.” [ Hadith Riwayat At-Tirmidzi 5/504, Ad-Darimi dengan lafazh hadits yang sama 1/336 dan lihat Shahih at-Tirmidzi 3/157.]

Doa ini bukan khusus untuk bulan Muharram semata-mata, ianya boleh dibacakan setiap awal bulan dalam kalendar Hijrah, sesuai dengan petunjuk Rasulullah صلى الله عليه وسلم‎ .

Maka, benarlah kata-kata Ibnu Abbas رضي الله عنه‎:
"Tidaklah datang kepada manusia satu tahun kecuali mereka mengada-adakan satu bid'ah dan mematikan satu sunnah. Demikianlah hingga berkembanglah bid'ah dan matilah sunnah." (al-Bida’ wa nahyu ‘anha,hal. 38-39; lihat Dharuratul Ihtimam, hal. 85)


لا تعرف الحق بالرجال, أعرف الحق تعرف أهله
"Jangan Dikenali Kebenaran Itu Melalui Orangnya, Tetapi Kenalilah Kebenaran Itu Terlebih Dahulu, Maka Engkau Akan Kenal Ahlinya"


Setiap yang benar itu adalah daripada Allah dan yang silap adalah daripada kelemahan diri kami sendiri ini.

Wallahu a'lam


Kajian dan Susunan oleh Ustadz Abu Mazaaya
4 comments:

alhamdulillah..jazakAllah khair for addressing the matters of our faith in the perspective of Asians, particularly local Singaporeans..once again thanks for the great reminder

BarakAllahhu Feeq


Ma sha Allaah, jazak Allaah khayr di atas penjelasan.


assalamualaikum...

satu lagi pembohongan daripada mereka yg merasakan bahawa mereka lebih alim daripada Rasulullah dan para sahabat serta tabiin dan tabiut tabiin sehingga sewenang-wenangnya mengatakan bahawa doa awal tahun dan akhir tahun ini merupakan sunnah..

malah jika di tanya di mana dalil nya..mereka akan mengatakan bahawa, yg dilakukan ini adalah sesuatu yg baik dan tidak menyalahi agama..sebagai contoh, berdoa memang di tuntut di dalam agama...

hairan dan merungsingkan..kerana agama islam adalah agama yg sempurna..maka setiap perkara telah dinyatakan secara terperinci dengan bersandarkan al-quran dan hadis yg sahih..tetapi masih ramai yg hanya mengambil sikap sambil lewa dan menganggap bahawa yg penting niat baik..tetapi lupakah mereka bahawa..jika sesuatu perkara tersebut tidak di ajar oleh Rasulullah dan tidak diamalkan..maka mengapa perlu kita mencipta sesuatu yg baru..adakah kita lebih alim dan faham mengenai agama daripada Rasulullah saw dan para sahabat serta tabiin dan tabiut tabiin.??

aku confuse lagi pening..tp syukur yang benar tetap lah apa yg terkandung di dalam al-quran dan hadis yg sahih seperti yg difahami oleh para salafusoleh..

wallahualam...


Assalamualaikum

Tq atas penjelasan. Jazakallah khairan kathiran


Search IslamIQ.sg

Visitors:

Facebook

YouTube

Subscribe By Email


Facebook

YouTube

Subscribe By Email

www.fawaaid.sg