Islamiq.sg

FIQ005: Hukum Ziarah Kubur

Labels: , , ,
Hukum Ziarah Kubur

Ziarah kubur adalah disyari’atkan untuk menjadi suatu pengajaran dan mengingati Akhirat, dengan syarat tidak diucapkan sesuatu yang dimurkai Allah Subhaanahu wa Ta’aalaa ketika menziarahinya, seperti doa meminta kepada si mati, mengharap dan memohon bantuannya agar diselamatkan dari bencana atau azab akhirat, padahal itu hanya layak dipinta kepada Allah Ta’aalaa, atau perbuatan memuja si mati serta i’tikad yang pasti bahawa ia dimasukkan ke syurga dan yang sepertinya. Mengenainya terdapat bayak hadits yang sedia diketahui, tidak perlu disebutkan di sini, maka sesiapa yang ingin mengetahuinya, sila rujuk ke kitab asal. [1]

Dari kitab asal untuk faedah pembaca :

Pertama: Daripada Buraidah bin Al-Hushoib رضي الله عنه katanya meriwayatkan:

Rasulullah صلى الله عليه و سلم telah bersabda, yang bermaksud:
“Sesungguhnya aku sebelum ini melarang kamu dari menziarahi kubur, maka kini ziarahilah ia [sebab ia mengingatkan kamu akan Akhirat], [dan hendaknya penziarahannya menambahkan kebaikan kamu], [maka barangsiapa yang ingin menziarahinya, maka pergilah ia ziarahinya dan jangan kamu mengatakan sesuatu (hujran) yang buruk dan bathil.” [2]

Kata Al-Imam An-Nawawi رحمه الله di dalam Al-Majmuu’ (5/310):
“Al-Hujru: Kata-kata yang bathil, adapun larangan asal Nabi (dari ziarah kubur) adalah kerana hampirnya mereka dengan zaman Jahiliyah mereka, dikhuatiri mereka akan berkata dengan ucapan adat Jahiliyah yang bathil. Maka apabila dasar-dasar Islam telah kukuh pada diri mereka, telah terlaksana hukum-hukumnya, telah diketahui umum akan petunjuk-petunjuknya, diizinkan mereka untuk menziarahinya dan baginda masih bersikap waspada dengan pesanan baginda: {Jangan kamu katakan sesuatu yang buruk dan bathil}”

Kesimpulan: Jelas bahawasanya apa yang dilakukan orang kebanyakan dan lainnya ketika menziarahi kubur dari perbuatan berdoa kepada si mati, memohon pertolongan dan kesejahteraan darinya, meminta kepada Allah dengan kedudukannya (Tawassul – sebagai perantaraan), adalah dari perkara-perkara yang terbesar kebathilannya dan keburukannya, maka menjadi tugas ulama [3] untuk menjelaskan hukum Allah di dalam perkara-perkara tersebut, memahamkan mereka cara dan tatatertib ziarah kubur sebagaimana yang disyari’atkan dan matlamat atau tujuan di sebalik ziarah kubur.

Al-Imam Ash-Shon’aaniy telah menyatakan di dalam Subulus Salaam (2/162):
“Segala (dalil-dalil) tersebut menunjukkan kepada perkara disyari’atkannya ziarah kubur serta penerangan mengenai hikmah/tujuannya di sebaliknya dan ia adalah untuk I’tibar/pengajaran maka jika tidak terdapat padanya sesuatu dari perkara-perkara ini maka ia (ziarah kubur) tidak dikehendaki/dimaksudkan di sisi Syara’.”

Kedua: Dari Abi Sa’ied Al-Khudriy katanya meriwayatkan: Rasulullah صلى الله عليه و سلم telah bersabda, yang bermaksud:

“Sesungguhnya aku sebelum ini melarang kamu dari menziarahi kubur, maka kini ziarahilah ia sebab padanya terkandung pengajaran dan janganlah kamu mengatakan sesuatu yang menyebabkan kemurkaan Allah.” [4]


Hukum Ziarah Kubur Untuk Wanita

Kaum wanita sama hukumnya seperti kaum lelaki, di dalam hal digalakkan menziarahi kubur kerana beberapa sudut:

Maksud sabda baginda صلى الله عليه و سلم yang berbentuk umum:

“… maka kini ziarahilah ia.”

Maka ia merangkumi kaum wanita dan penjelasannya: Bahawasanya apabila Nabi صلى الله عليه و سلم melarang dari ziarah kubur pada awalnya, maka sesuatu yang tiada keraguan lagi padanya bahawa larangan itu menyeluruh baik atas kaum lelaki mahupun wanita, maka apabila baginda katakan: “Aku dahulunya/sebelum ini melarang kamu dari ziarah kubur” difahami bahawa semestinya baginda maksudkan kedua jenis jantina dan baginda memberitahu akan keadaan sebelumnya yang dilarang adalah kedua-dua pihak. Maka jika duduk perkaranya demikian, maka secara semestinya izin baginda selepas itu “maka kini ziarahilah ia,” di dalam hadits tersebut dimaksudkan kepada kedua pihak juga.

Akan tetapi tidak boleh bagi kaum wanita untuk kerap pergi ziarah kubur atau berulang-alik ke kubur, sebab itu akan menyebabkan beliau melakukan perkara yang bercanggah dengan Syari’ah, dengan teriakan dan bertabarruj (berhias diri yang diharamkan), menjadikan kuburan seperti tempat diadakan perkelahan, membuang masa dengan bual kosong, sebagaimana yang dapat disaksikan berlaku di beberapa negeri Islam dan inilah sebenarnya yang dimaksudkan di dalam hadits yang masyhur, yang bermaksud:

“Rasulullah telah melaknat (di dalam riwayat lain: Allah melaknati) wanita-wanita yang menziarahi kubur.”

Kata Imam Al-Qurthubiy:
“Laknat yang disebutkan di dalam hadits ini sebenarnya dimaksudkan adalah bagi wanita yang banyak dan kerap menziarahi kubur, dengan apa yang ditunujukkan dengan lafaz mubaalaghah (melampau/banyak “zauwaaraat”). Mungkin sebabnya ialah ia akan menjadi punca perbuatan mengabaikan hak suami, bertabarruj, teriakan dan yang sepertinya. Boleh disimpulkan juga:Jika terpelihara segala perkara tersebut, maka tiada halangan bagi mengizinkan wanita menziarahi kubur, sebab peringatan akan Hari Akhirat diperlukan oleh orang lelaki dan wanita.

Kata Imam Asy-Syaukaaniy:di dalam Nailul Authar (4/95)
“Kata-kata ini adalah yang sepatutnya dipegang di dalam memadankan maksud hadits-hadits di dalam bab (masalah) ini, yang jika dilihat secara zahirnya bercanggahan.”

WalLahu a‘lam.

~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~~

Notakaki:

[1] Yakni kitab Ahkam al-Janaa'iz karangan Sheikh Naasiruddeen al-Albaanee

[2] Dikeluarkan oleh Imam-imam Muslim (3/65 dan 6/82), Abu Dawud (2/72 dan 131) dan dari jalan periwatan beliau (dikeluarkan juga) oleh Al-Baihaqiy (4/77), An-Nasaa-i (1/285,286 dan 2/329, 330) Ahmad (5/350, 355, 356 dan 361). Lafaz tambahan yang pertama dan kedua adalah dari periwayatan beliau (Imam Ahmad) dan dari Abi Dawud seiras dengan tambahan yang pertama manakala tambahan yang kedua dan ketiga dari An-Nasaa-i.

[3] Yang layak digelarkan ulama bukan asatizah yang setakat B.A. atau M.A. Cukup baiklah mereka yang melaksanakan tugas sebagai penyampai apa yang telah diajarkan oleh ulama (para Imam dari zaman dahulu sehingga zaman terdekat yang hebat yang tidak mengatakan menurut hawa nafsu tetapi sentiasa berpandukan nash Al-Quran dan As-Sunnah serta pemahaman dan amalan Sahabat terhadap keduanya).

[4] Dikeluarkan oleh Imam-imam Ahmad (3/38, 63, 66), Al-Haakim (1/374-375) dan dari jalan periwatan beliau (dikeluarkan juga) oleh Al-Baihaqiy (4/77) dan beliau mengatakan: “Shohih menurut syarat Imam Muslim” dan ia dipersetujui oleh Imam Adz-Dzahabi dan demikianlah (hukum Asy-Syeikh terhadap riwayat ini) sebagaimana yang dikatakan mereka. Diriwayatkan juga oleh Al-Bazzaar (861) dan kata Al-Haitsami di dalam Al-Mujamma’ (3/58) kata beliau: Isnad para perawinya adalah para perawi riwayat yang shohih.



Kajian dan Susunan: Ustadz Abu Mazaaya (dgn sedikit ringkasan)
2 comments:

Barakallahu feek.

Sesunggohnya, 4 khalifah Abu Bakar, Umar, Uthman dan 'Ali Radhiallahu 'Anhum Jami'ian tidak pernah ziarah kubor Nabi yang mulia Sallallahu 'Alayhi Wasallam untok bertawassul,
para sahabat tidak pernah ziarah kubor 4 khalifah atau kubor Nabi untok bertawassul,
para tabi'in dan tabi'ut tabi'in, Imam Hanafi, Maliki,Syafi'i, Hanbali rahimahumullah tidak pernah bertawassul kepada mereka yang dah mati dalam kubor,-
kerana mereka sangat mengerti syiriknya bertawassul kepada orang yang dah mati.

Tetapi, pada zaman fitnah ini, kesian umat Islam yang sangat ingin beribadah, yang ingin taubat ingat mati, tapi jahil tak tahu minta direct kepada Allah 'Azza Wajalla, dan taqlid buta dan di exploitasi oleh 'ahli' agama pergi wisata melawat kubor wali2 untok tawassul, ada juga yang tawaf keliling kubor, ada pula yang bertawassul untuk ilmu batin, ada yang sakit tenat minta wali yang dah mati dalam kubor sembuhkan dia, tak sembuh juga, dan mati dalam syirik, na'uzubillah.

Ada pula yang percaya Benjamin Sheares bridge terpaksa melencung untuk elak makam Habib Noh yang kebal tak boleh roboh oleh bulldozer - kalau begitu, jalanraya yang terpaksa bercabang untuk elak pokok heritage itu pon kebal karana 'ada' yang pelihara?

Subhanallah, semoga umat Islam dapat terbuka minda mereka dari khurafat dan tahyul melalui infomasi sahih.

Jazakallahu Khairan.


Semoga Allah melindungi kami daripada dosa yang tiada pengampunan dariNya, yakni dosa syirik.

Barakallahu feek.


Search IslamIQ.sg

Loading...
Subscribe to us:


Unique Visitors:
Join Our Mailing List

Name:
Email: