Islamiq.sg

Qiyam Ramadan

Labels: , , ,

KEUTAMAAN MENGHIDUPKAN MALAM-MALAM RAMADHAN DENGAN SHOLAT QIYAM

Terdapat 2 hadits yang menjelaskan mengenai keutamaannya :

Hadits #1

Dari Abi Hurairah رضي الله عنه‎ (semoga Allah سبحانه وتعالى‎ meredhai beliau) yang telah meriwayatkan :

“Rasulullah صلى الله عليه وسلم‎ sentiasa menggalakkan sholat malam Ramadhan tanpa memberatkan mereka (para Sahabat) maka baginda bersabda :
"Barangsiapa yang menghidupkan malam Ramadhan dengan penuh keimanan dan menghitung diri (yang sedikit amalan lalu mengharapkan ganjaran baik) akan diampunkan dosanya yang telah lalu."

Demikianlah keadaannya sehingga Rasulullah صلى الله عليه وسلم‎ wafat, begitu pula semasa khilafah Abi Bakar رضي الله عنه‎ dan bahagian awal dari masa pemerintahan Umar رضي الله عنه‎.

[Diriwayatkan oleh Imam-imam Muslim, Al-Bukhariy, Abu Dawud dan lain-lain رحمه الله - hadits shohih].


Hadits #2

Dari ‘Amru bin Murrah Al-Juhaniy رضي الله عنه‎:

“Rasulullah صلى الله عليه وسلم‎ telah didatangi seorang lelaki dari Qudho’ah lalu berkata :
Wahai Rasulallah, apakah pendapat tuan sekiranya aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang berhak disembah selain Allah dan bahawasanya anda adalah utusanNya dan aku mendirikan sholat 5 waktu ku, aku berpuasa pada bulan tersebut serta aku hidupkan malam-malam Ramadhan dan aku menunaikan zakat?"
Jawab Nabi صلى الله عليه وسلم‎ : 
“Barangsiapa yang mati di dalam keadaan demikian, akan digolongkan dari kalangan Ash-Shiddiiqin dan Asy-Syuhadaa (yakni orang tulus keimanannya dan yang mati syahid demi mengagungkan agama Allah).”
[Diriwayatkan oleh Imam-imam Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibbaan رحمه الله di dalam Kitab Shohih mereka dan Imam-imam lainnya dengan jalan periwayatan yang (shohih) sah, tulen, berasal dari Nabi صلى الله عليه وسلم‎].

ASAL-USUL PERKATAAN “TERAWIH”.

Para pembaca yang dikurniakan taufiq Allah untuk melakukan yang baik, seandainya diteliti, perkataan Terawih tidak disebut di dalam hadits-hadits tadi. Maka ketahuilah bahawa Terawih, Qiyam Ramadhan dan Tahajjud serta Witir, menurut segolongan ulama, adalah sholat yang satu, yang diberi nama yang berbeza kerana sebab-sebab tertentu. Sebagaimana ada orang dikenali dengan berbagai nama dan gelaran padahal semuanya itu dimaksudkan buat mengenal satu orang sahaja.

Sebagaimana junjungan kita Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم‎ yang dikenali sebagai Ahmad, Al-Amiin, Abul Qaasim, Rasulullah, Khaatamun Nabiyiin, Sayid bani Adam, Khalilullah dan lain-lain lagi.

Fahamilah para pembaca yang dirahmati Allah, sebahagian gelaran sholat-sholat itu diberikan oleh para ulama untuk memudahkan kefahaman kita. Maka asalnya dikenali sebagai Qiyam Ramadhan, kerana Nabi صلى الله عليه وسلم‎ sebutkan perkataan "قام" . Nabi صلى الله عليه وسلم‎ juga pernah sebutkan perkataan Witir dan adapun lafaz “Tahajjud”, maka ia terdapat di dalam Surah Al-Israa : 79.

Bagaimanakah pula dengan perkataan Terawih?

Ulama telah menggunakan perkataan ini untuk mengenalkan atau menggelarkan sholat yang dikerjakan secara berjemaah, khasnya pada bulan Ramadhan sahaja. Asalnya ia adalah Qiyam yang kita bicarakan tadi kerana itulah “Terawih” yang Nabi صلى الله عليه وسلم‎ laksanakan.

Perkataan Terawih mula diperkenalkan oleh Ulama رحمهم الله kerana perbuatan umat Islam semenjak zaman khalifah Umar bin Abdul Aziz. Diriwayatkan bahawa mereka mendirikan sholat qiyam ini sepanjang malam, sebanyak 36 rakaat dengan 3 rakaat witir [1]. Maka untuk menguatkan mereka agar berterusan sepanjang malam, di antara sholat-sholat itu (setiap selesai 4 rakaat) [2], mereka berehat sejenak, menyegarkan diri mereka, kemudian meneruskan lagi ibadat mereka. Demikianlah yang diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah [3] رحمه الله.

Oleh kerana perbuatan mereka yang duduk berehat-rehat sejenak "تَرْوِيْحَة" di dalam bahasa Arabnya inilah, maka ia digelar Terawih [4]. Padahal ia adalah sholat Qiyam juga. Sehingga hari ini, setahu saya, sebahagian masjid di Timur Tengah, masih mengamalkan tradisi ini, yakni berehat-rehat.

Namun demikian ulama kita tidak sembarangan, sewenang-wenangnya menggelarkan itu dan ini kecuali mereka pasti kembali kepada lafaz-lafaz Syara’ (Al-Quran dan As-Sunnah) dan kata-kata Sahabat di dalam menamakan bab-bab atau sholat tertentu, yang mereka gelarkan semata-mata untuk memudahkan kefahaman kita dan lantas mengamalkannya, sedang ada di antara jenis-jenis sholat ini tidak dinamakan sendiri oleh Nabi صلى الله عليه وسلم‎.

Apabila mereka tidak menemukannya barulah mereka berijtihad. Demikianlah sikap para ulama yang mengagungkan Syari’at Allah, terutamanya mereka yang hidup pada 3 kurun pertama Islam. Wallahu Ta’aala a’lam.


BEBERAPA KEKELIRUAN "ADAT" MALAM RAMADAN

1) Anggapan bahawa Solat Terawih adalah Solat yang khas pada bulan Ramadan, berbeza dengan Solat Tahajjud, Solat Qiyamullail, Solat Witir adalah anggapan yang keliru. Al-Imam asy-Syafi‘ie رحمهم الله, sebagaimana yang dinyatakan oleh al-Imam an-Nawawi رحمهم الله di dalam al-Majmu‘ 4:51, adalah di antara ulama yang menghimpunkan kesemua solat ini sebagai solat yang sama cuma diberikan gelaran yang berbeza.

2) Menetapkan sebagai suatu kemestian daripada sudut Cara, Bilangan Raka‘at, Bacaan (kecuali yang ada di dalam as-Sunnah) di dalam perlaksanaan Solat Terawih. Misalnya 20 rakaat secara tetap dengan 3 witir yang dilakukan juga secara tetap dengan memisahkan 2 raka‘at kemudian 1 raka‘at. Malah ada pihak yang menghukumkan golongan yang solat 11 raka‘at sebagai “tidak betul” padahal itulah amalan baginda .

3) Menjadikan bacaan “Nazham” atau “Selawat” yang dialunkan oleh “Pak Bilal” sebagai suatu kemestian, seolah-olah tidak sah tanpanya atau kurang sempurna, padahal perkara tersebut tiada petunjuknya daripada Rasulullah صلى الله عليه وسلم‎, malah tidak pula diajarkan oleh para Imam seperti al-Imam asy-Syafi‘ee dan al-Imam Malik رحمهم الله dan lainnya.

4) Perbuatan Imam membaca Al-Fatihah “senafas” serta segala rukun dengan dikhuatiri tanpa tuma’nienah yang sempurna demi mengejar masa dan bilangan raka‘at.

5) Bacaan-bacaan selesai Terawih yang diamalkan secara tetap sehingga jika ada seseorang Pak Bilal tidak menghafaznya atau tidak melakukannya dianggap “tidak professional”, “not up to standard” padahal tiada asalnya daripada ajaran Nabi صلى الله عليه وسلم‎ dan para Imam besar.

6) Menjatuhkan niat secara beramai-ramai dan bersama – padahal ‘ulama’ bersepakat niat itu tempatnya di hati, tidak wajib dilafazkan. Para Imam yang mengharuskannya dan mengajarkan demikian semata-mata agar umat Islam tidak leka dan supaya dipisahkan “perbuatan Syari‘at-Ibadat” daripada “perlakuan Adat”. Namun mereka tidak mengajarkan caranya demikian, yang mana kini “amalan niat berjemaah” ini sebaliknya telah menjadi suatu Adat yang tidak dapat dipisahkan daripada Syari‘at. Sebenarnya, dengan seseorang itu bersungguh-sungguh dan bertekad akan bangun sahur sebelum masuk waktu Subuh, maka ia telah “tidur dengan niat” akan berpuasa keesokan harinya, tanpa perlu melafazkannya, sebagaimana yang dijelaskan para Imam ahli tahqieq.

7) Menganggap salah orang-orang yang tidak berterawih di masjid padahal mereka melaksanakannya di rumah dan mungkin ada yang mencari waktu afdal; 1/3 malam terakhir. Tentunya kurang baik dan dikhuatiri kerugian orang-orang yang tidak menghidupkan malam Ramadannya dengan amalan baik sebaliknya menyibukkan diri dengan “Bazar”, “Shopping” apatah lagi “Pesta” ataupun “segala persiapan menyambut Syawwal”, walaupun benar Solat Terawih hanyalah sunnat muakkadah hukumnya.

Wallahu Ta’aala a’lam.

------------------------------------------------------------------------------
[1] Bidayat al-Mujtahid: 1/210 - Musannaf Ibn Abie Syaibah: 2/393].
[2] Mu’jam Lughatul Fuqahaa : 127
[3] Bidayaatul Mujtahid : 1/210.
[4] Mu’jam Lughatul Fuqahaa : 127


Sumber: 
http://www.al-jamaah.sg/2012/08/solat-tahajjud-qiyam-nabi-pada-ramadhan_15.html
http://www.al-jamaah.sg/2012/08/solat-tahajjud-qiyam-nabi-pada-ramadhan_6460.html

0 comments:

Search IslamIQ.sg

Visitors:

Facebook

YouTube

Subscribe By Email


Facebook

YouTube

Subscribe By Email

www.fawaaid.sg