Islamiq.sg

Persoalan Puasa Wanita Hamil dan Menyusukan

Labels: , , ,

Wanita hamil dan yang menyusukan, jika khuatir terhadap diri mereka sendiri ataupun anak mereka, harus bagi mereka untuk tidak berpuasa dan sebagai gantinya, memberi makan untuk setiap hari satu orang miskin.

Perkara ini dijelaskan di dalam Kitab Allah سبحانه وتعالى‎ :
“Dan wajib ke atas mereka yang merasa berat untuk berpuasa membayar fidyah (iaitu) memberi makan seorang miskin.” [Al-Baqarah : 184]

Hujjahnya dari ayat ini ialah, bahawa ayat ini khusus bagi orang tua, wanita lanjut usia yang tidak larat berpuasa, orang sakit yang tiada harapan sembuh dan wanita hamil serta wanita yang menyusukan bayinya yang merasa khuatir terhadap diri mereka atau khuatir terhadap janin/bayi mereka. Akan dijelaskan penerangannya daripada Ibn ‘Abbaas dan Ibn ‘Umar رضي الله عنهم.

Ayat al-Quran ini telah dimansukhkan (dihapuskan) menurut keterangan hadits ‘Abdullah bin ‘Umar dan Salamah bin Al-Akwa’ رضي الله عنهم.

Diriwayatkan oleh Imam Muslim رحمه الله daripada Salamah bin Al-Akwa’ رضي الله عنه‎ yang berkata :
“Kami dahulu pada zaman Rasulullah صلى الله عليه وسلم‎ , ketika bulan Ramadhan, sesiapa yang ingin puasa ia berpuasa dan sesiapa yang tidak mahu berpuasa ia membayar fidyah dengan memberi makanan untuk seorang miskin sehinggalah turun ayat ini (ertinya) : {Maka barangsiapa yang menyaksikan (hadir muqim pada) bulan (Ramadhan) tersebut maka wajiblah ia berpuasa}.” [Al-Baqarah : 185]

Namun, tsabit daripada Ibn ‘Abbaas رضي الله عنهم, bahawa hukumnya tidak dimansukhkan (yakni kekal) bagi orang tua baik lelaki mahupun wanita yang tidak larat untuk berpuasa, maka kedua golongan ini memberi makan seorang miskin setiap hari [1].

Ayat tersebut telah dimansukhkan hukumnya untuk mereka yang mampu berpuasa dan tidak mansukh hukumnya bagi mereka yang tidak larat. Hukum yang pertama (mansukh bagi yang mampu) ditentukan oleh Al-Quran [2], manakala hukum yang kedua (keringanan untuk tidak berpuasa masih tetap diberikan kepada golongan tua dan yang seumpamanya) ditetapkan oleh As-Sunnah dan tetap berjalan, tidak mansukh sehingga Hari Kiamat.

Pemahaman ini dikuatkan lagi dengan apa yang disebutkan oleh Ibn ‘Abbaas رضي الله عنهم di dalam riwayat yang menerangkan dengan jelas mengenai mansukhnya hukum keringanan di dalam ayat tersebut :
“dan tetap tsabit hukumnya bagi orang lelaki tua dan wanita lanjut usia, jika tidak larat berpuasa dan begitu juga wanita hamil dan yang menyusukan sekiranya khuatir, keduanya boleh untuk tidak berpuasa dan memberi makan seorang miskin setiap hari.”

Selain itu, ia bertambah jelas lagi dengan hadits Mu’aadz bin Jabal رضي الله عنه‎ kata beliau :
“Adapun mengenai perihal puasa, maka sesungguhnya Rasulullah صلى الله عليه وسلم‎ apabila sampai Al-Madinah (selepas hijrah), baginda berpuasa 3 hari setiap bulan, puasa ‘Aasyuraa, kemudian Allah mewajibkan puasa ke atas baginda, maka Allah menurunkan ayat : (ertinya) {Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu...}. Setelah itu Allah turunkan ayat lain : (ertinya) {Bulan ramadhan yang telah diturunkan padanya (permulaan) Al-Quran...} Maka Allah menetapkan (wajib) berpuasa ke atas mereka yang muqim dan sihat, memberi keringanan kepada orang sakit dan musafir serta menetapkan memberi makan (fidyah wajib) ke atas orang tua yang tidak mampu berpuasa....” [3]

Kemungkinan juga, anda, wahai saudara Islam ku, menyangka bahawa ini adalah semata-mata pendapat atau ijtihad peribadi Ibn ‘Abbaas dan Mu’aadz رضي الله عنهم dan tidak mencapai derajat hadits yang marfu’ (bersambung sanadnya kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم‎) yang boleh dijadikan hujjah untuk mengkhususkan lafaz-lafaz Al-Quran yang berbentuk umum atau membatas yang menyeluruh, memperincikan apa yang disebut secara dasar atau umum.

Jawapannya adalah seperti berikut :

a) Sesungguhnya kedua-dua hadits tersebut hukumnya marfu’ menurut kesepakatan ahli hadits. Maka tidak layak bagi seorang mukmin yang mencintai Allah dan RasulNya untuk mencanggahi Allah dan RasulNya, padahal telah jelas baginya keterangan yang berupa tafsiran dan penerangan mengenai sebab turunnya ayat. Kedua-dua Sahabat ini, menyaksikan turunnya wahyu dan penurunannya, lantas menceritakan tentang satu ayat dari Al-Quran, bahawa ia diturunkan kerana sekian keadaan, sekian golongan maka jelas ini adalah riwayat yang musnad ..

b) Ibn ‘Abbaas رضي الله عنهم telah menetapkan hukum ini ke atas wanita yang menyusukan dan yang hamil, maka dari manakah beliau mendapatkannya lalu memberikan hukum ini ke atas mereka berdua? Tidak syak lagi, tentunya dari As-Sunnah, apatah lagi beliau tidak sendirian kerana ‘Abdullah bin ‘Umar رضي الله عنهم akur dengan beliau, bilamana beliau juga meriwayatkan bahawa ayat tersebut telah dimansukhkan hukumnya.

Daripada Maalik daripada Naafi’ bahawasanya Ibn ‘Umar رضي الله عنهم telah ditanya mengenai wanita yang hamil yang khuatir akan janinnya, maka beliau pun menjawab :
“Ia berbuka (tidak berpuasa) dan memberi makan seorang miskin, sebagai ganti setiap harinya, kadar satu mud (543g) gandum.” [4]

Imam Ad-Daaruquthniy رحمه الله pula telah meriwayatkan (1/207) daripada Ibn ‘Umar رضي الله عنهم dengan periwayatan yang beliau hukumkan shohih bahawa Ibn ‘Umar رضي الله عنهم telah berkata :
“Wanita hamil dan yang menyusukan harus untuk tidak berpuasa dan tidak mengqadhanya.”

Beliau juga meriwayatkannya dengan jalan periwayatan yang lain :
“Bahawasanya isterinya yang hamil telah bertanya, jawab Ibn ‘Umar رضي الله عنهم: Berbukalah (usah puasa) dan berilah makan kepada seorang miskin sebagai gantinya setiap hari dan tidak perlu mengqadhanya.” [Sanadnya hasan]

Dari jalan periwayatan yang ketiga daripada Ibn ‘Umar رضي الله عنهم juga :
“Bahawasanya anaknya yang bersuamikan seorang berketurunan Quraisy, sedang hamil (ia berpuasa) dan kehausan pada bulan Ramadhan. Ibn ‘Umar رضي الله عنهم pun menyuruhnya agar berbuka (usah puasa) dan memberi makan kepada seorang miskin sebagai ganti setiap harinya.”

Ini adalah penerangan yang menjelaskan maksud “menggugurkan kewajipan puasa bagi wanita hamil dan yang menyusukan”, yang disebutkan di dalam hadits Anas bin Maalik Al-Ka’biy رضي الله عنه‎ yang telah dikemukakan sebelum ini. Ia dikaitkan dengan sikap khuatir terhadap diri sendiri dan anaknya. Kewajipannya pula adalah memberi makan dan bukannya qadha.

Imam Ad-Daaruquthniy رحمه الله telah meriwayatkan dengan sanadnya yang beliau hukumkan shohih (1/207) daripada Ibn ‘Abbaas رضي الله عنهم bahawasanya beliau telah melihat seorang Ummu Walad miliknya hamil atau menyusukan lalu berkata :
“Anda dari golongan yang tidak mampu (berpuasa), atas dirimu membayar fidyah dan tiada kewajipan qadha bagimu.”

Sesiapa yang mendakwa bahawa gugurnya kewajipan (diberikan keringanan) puasa bagi wanita hamil dan yang menyusukan sama seperti gugurnya kewajipan puasa ke atas musafir dan menetapkan dengan kesimpulan tersebut bahawa wanita-wanita tersebut berkewajipan menunaikan qadha, maka ini tertolak, sebab Al-Quran menjelaskan maksud gugurnya kewajipan puasa bagi musafir :
{Maka barangsiapa di antara kamu yang sakit atau di dalam pelayaran maka (wajib ia mengqadha) bilangan (hari yang ditinggalkannya) pada hari-hari yang lain}

Dan menjelaskan pula maksud penggugurannya bagi mereka yang tidak larat untuk berpuasa :
{dan wajib atas mereka yang merasa berat untuk berpuasa agar membayar fidyah (iaitu) memberi makan seorang miskin}

Dan telah jelas kepada anda bahawa wanita hamil dan yang menyusukan adalah dari kalangan mereka yang dirangkumkan di dalam ayat ini, bahkan ia khusus untuk mereka.

--------------------------------------------------------------
[1] Riwayat Imam Al-Bukhaariy (8/135)
[2] Al-Baqarah : 185 yang telah dipaparkan tadi
[3] Riwayat Imam Abu Daud (As-Sunan : no : 508), Imam Al-Baihaqiy (As-Sunan : 4/200), Imam Ahmad (Al-Musnad : 5/246-247). Sanadnya shohih.
[4] Riwayat Imam Al-Baihaqiy (As-Sunan : 4/230) daripada jalan periwayatan Imam Asy-Syaafi’ee dan sanadnya shohih.

Rujukan utama: Sifat Shaum Nabi oleh Sheikh Saliem 'Eid al-Hilaaly dan Sheikh 'Aliy Hasan al-Halabi

Sumber: http://www.al-jamaah.sg/2014/07/persoalan-puasa-wanita-hamil-dan.html

0 comments:

Search IslamIQ.sg

Visitors:

Facebook

YouTube

Subscribe By Email


Facebook

YouTube

Subscribe By Email

www.fawaaid.sg