Islamiq.sg

FIQ001: Puasa Sunnat Ketika Masih Ada Hutang Puasa

Labels: ,
Al-Imam Ibn Qudamah رحمه الله menjelaskan permasalahan melaksanakan puasa sunnat sedang seseorang itu masih ada hutang puasa wajib yang belum dilunaskannya. Menurut beliau ada 2 pendapat daripada al-Imam Ahmad رحمه الله.

  1. Salah satu riwayat pendapat beliau: Tidak boleh puasa sunnat,
  2. dan satu pendapat lagi menyatakan: Boleh


Alasan dikatakan tidak boleh adalah berdasarkan kepada hadis:

"من صام تطوعا ، و عليه من رمضان شيء لم يقضه فإنه لا يتقبل منه حتى يصومه" 
“Barangsiapa yang berpuasa sunnat, sedang ia ada hutang puasa Ramadan yang belum dilunaskan Qada’nya, maka tidak akan diterima daripadanya (puasa sunnat itu) sehingga ia melunaskan hutang (puasa Ramadan) nya itu”

Di dalam riwayat lain, al-Imam Ahmad رحمه الله menyatakan:
Boleh (berpuasa sunnat meskipun ada hutang puasa Ramadan), sebab ia (Qada’ puasa) merupakan suatu ibadah yang kewajipannya diberikan tempoh masa yang luas

Walaubagaimanapun, akhirnya al-Imam Ibn Qudamah رحمه الله mentarjihkan (menilai dan menyimpulkan sebagai lebih tepat) riwayat pendapat al-Imam Ahmad رحمه الله yang mengharuskan kerana:

  • Dalil pihak yang melarang (puasa sunnat dilakukan ketika masih ada hutang puasa Ramadan) adalah sebuah hadis yang lemah dan riwayat yang seiras dengannya juga daripada rumpun hadis matruk (hadis lemah yang tidak layak dijadikan sandaran hukum). [Al-Mughnie: 4/401-402]


Kata asy-Syeikh al-Albaniy رحمه الله di dalam Silsilat al-Ahadiets ad-Do‘iefah no: 838:
“Barangsiapa yang menyambut tibanya Ramadan (tahun baru) sedang ia masih ada hutang puasa Ramadan yang lalu yang belum dilunaskannya, puasa (Ramadan tahun baru) nya tidak akan diterima. Barangsiapa yang berpuasa sunnat, sedang ia ada hutang puasa Ramadan yang belum dilunaskan Qada’nya, maka tidak akan diterima daripadanya (puasa sunnat itu) sehingga ia melunaskan hutang (puasa Ramadan)nya itu” 
Hadis ini sebuah hadis Do‘ief (lemah; yang disangsikan ketulenannya daripada Nabi). Diriwayatkan oleh Imam Ahmad (2/352)…dan at-Tabarani رحمه الله meriwayatkan bahagian awal hadis ini di dalam al-Ausat: 2/99 …Kedudukan hadis ini yang lemah, disokong dengan riwayat yang mencanggahinya yang diterima daripada Abu Hurairah yang diriwayatkan oleh al-Bayhaqiy رحمه الله:  
“Ia berpuasa Ramadan tahun yang baru itu, kemudian melunaskan Qada’nya dan memberi makan kepada 1 orang miskin untuk setiap hari hutangnya” dan Isnadnya Sahih.

Kesimpulannya:
1. Tiada dalil selain hadis lemah yang dijadikan sandaran “tidak boleh melakukan puasa sunnat selama ada hutang puasa”. 
2. Para Imam Muhaqqiq telah menjelaskan bahawa sebenarnya, diperbolehkan bahkan sunnat juga untuk mereka yang masih berhutang puasa, melaksanakan Puasa Sunnat umumnya dan khususnya Puasa 6, meskipun benar, orang yang berhutang puasa hendaknya bersegera menunaikan hutangnya. 

WalLahu a‘lam.


Kajian dan Susunan: Ustadz Abu Mazaaya
0 comments:

Search IslamIQ.sg

Visitors:

Facebook

YouTube

Subscribe By Email


Facebook

YouTube

Subscribe By Email

www.fawaaid.sg