Islamiq.sg

Fiqh al-I'tikaf

Labels: , ,

A. I‘tikaf adalah disyari’atkan

I‘tikaf adalah sunnat dilaksanakan pada bulan Ramadan dan hari-hari lainnya sepanjang tahun. Sandaran hukum I‘tikaf ialah Firman Allah di dalam Surah Al-Baqarah ayat 187, maksudnya:
“Dan kamu di dalam keadaan beri’tikaf di masjid-masjid.”

Begitu juga, terdapat banyak hadis-hadis yang sahih, yang menunjukkan bahawa I‘tikaf adalah amalan yang disyari‘atkan, demikian juga yang didapati daripada kata-kata as-Salaf, sebagaimana termaktub di dalam al-Musannaf karangan Ibn Abi Syaibah dan ‘Abdur Razzaq رحمه الله.

Akan tetapi, Rasulullah صلى الله عليه وسلم‎ telah menekankan keutamaannya di dalam bulan Ramadan berdasarkan kepada hadis Abi Hurairah yang bermaksud:
“Lumrahnya, Rasulullah beri‘tikaf pada setiap Ramadan selama 10 hari. Adapun pada tahun baginda wafat, baginda telah beri‘tikaf selama 20 hari.”
(Diriwayatkan oleh Imam-imam al-Bukhariy, Muslim dan Ibnu Khuzaimah رحمه الله)

Walau bagaimanapun, yang paling utama atau afdal ialah beri‘tikaf pada penghujung bulan Ramadan kerana Nabi telah beri‘tikaf pada setiap 10 malam terakhir daripada bulan Ramadan sehinggalah baginda wafat. (Diriwayatkan oleh Imam-imam Al-Bukhaariy, Muslim dan Ibnu Khuzaimah رحمه الله)



B. Syarat-syarat bagi orang yang beri’tikaf


1. I‘tikaf tidak boleh dilakukan kecuali di masjid.

Ia tidak disyari’atkan di tempat lain. Firman Allah, maksudnya:
“Dan janganlah kamu (melakukan perkara yang) bersyahwat dengan isteri-isteri kamu sedang kamu di dalam keadaan beri’tikaf di masjid-masjid.” (al-Baqarah: 187)
‘A-isyah pula telah meriwayatkan:
“Sunnahnya bagi seorang yang beri‘tikaf, ialah ia tidak keluar (dari masjid) kecuali jika berhajat kepada sesuatu yang merupakan dari suatu kemestian. Tidak pula ia menziarahi yang sakit, tidak ‘menyentuh’ isterinya, tidak melakukan perkara bersyahwat dengannya dan tiada i’tikaf kecuali di masjid yang didirikan di dalamnya sholat jemaah (5 waktu dan Jumu‘at). Demikian pula Sunnahnya, orang yang beri’tikaf mestilah berpuasa.”
(Diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqiy dengan sanad yang sahih dan Imam Abu Dawud رحمه الله dengan sanad yang hasan).


2. Hendaklah beri‘tikaf di masjid ‘jamek’

Masjid 'jamek' ialah masjid yang ada Sholat Juma‘at, agar ia tidak perlu untuk keluar daripada masjid tersebut untuk menunaikan fardu Juma‘at, sebagaimana yang telah dijelaskan oleh ‘A-isyah رضي الله عنها di dalam hadis tadi. Demikian pula yang diterima daripada Ibnu ‘Abbas yang diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqiy رحمه الله :
“Sesungguhnya perkara yang paling dibenci oleh Allah adalah perkara-perkara bid‘ah dan sesungguhnya, daripada perkara bid‘ah ialah beri‘tikaf di masjid-masjid yang berada di dalam rumah-rumah (surau).”

3. Sunnahnya orang yang beri‘tikaf itu mestilah berpuasa.

Sehinggakan ada ‘ulama’ mensyaratkan puasa untuk beri‘tikaf yang dengan itu bererti tiada I‘tikaf tanpa berpuasa berdasarkan kepada hadis ‘A-isyah رضي الله عنها tadi. Wallahu a’lam.


C. Perkara-perkara yang mubah dalam beri‘tikaf

1. Harus baginya untuk keluar jika berkepentingan

Misalnya, qada’ hajat (ke tandas untuk buang air), mendapatkan makanan dan yang seperti itu. Demikian juga diperbolehkan baginya untuk menghulur kepalanya keluar daripada masjid untuk disisir dan dicuci rambutnya sebagaimana yang diberitakan oleh ‘A-isyah رضي الله عنها:
“Rasulullah adakalanya menghulurkan kepala baginda (yang mulia) ke kamar ku sedang baginda beri‘tikaf di masjid (kerana rumah ‘A-isyah رضي الله عنها bersambung dengan Masjid Nabawi), maka aku akan menyisirkan rambut baginda (di dalam riwayat lain: mencuci) dan tiadalah baginda memasuki rumah kecuali untuk kepentingan kebiasaan insani (seperti qada’ hajat) ketika baginda beri‘tikaf.”
(Diriwayatkan oleh Imam-imam al-Bukhariy, Muslim, Ibn Abi Syaibah dan Imam Ahmad bin Hambal رحمه الله)


2. Mubah juga untuk berwudu’ di dalam masjid.

Mubah bagi orang yang beri‘tikaf dan selainnya (orang yang tidak beri‘tikaf) untuk berwudu’ di dalam masjid (selama tidak mengotorkan dan mengganggu jemaah lain) sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh salah seorang khadam yang berkhidmat kepada Nabi :
“Nabi telah berwudu’ di dalam masjid dengan cara yang ringkas.”
(Diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqiy رحمه الله, dengan sanad yang baik dan Imam Ahmad رحمه الله dengan sanad yang sahih)


3. Mubah untuk mendirikan sebuah khemah

Mubah juga baginya untuk mendirikan sebuah khemah kecil di bahagian belakang masjid sebagai tempat i‘tikafnya, kerana ‘A-isyah رضي الله عنها biasanya akan mendirikan sebuah khemah kecil untuk Nabi صلى الله عليه وسلم‎ dan ia adalah atas perintah baginda juga.

(Diriwayatkan oleh asy-Syeikhan daripada hadis ‘A-isyah رضي الله عنها, adapun riwayat tentang perbuatan beliau adalah di dalam riwayat al-Bukhariy رحمه الله, perintah baginda pula ada di dalam riwayat Muslim رحمه الله)

Daripada hadis ini, jelaslah kepada kita, bahawa kita boleh mengadakan tempat kita yang khas di dalam masjid, dengan mengadakan petanda seperti sejadah atau selimut atau tikar sewaktu beri‘tikaf, selagi tidak mengganggu jemaah lainnya iaitu dengan mencari tempat yang sesuai. WalLahu a‘lam.

4. Seseorang wanita boleh menziarahi suaminya

Seseorang wanita boleh menziarahi suaminya yang sedang beri‘tikaf dan mubah pula bagi suaminya untuk mengiringinya hingga ke pintu masjid sepertimana yang diriwayatkan oleh Safiyyah رضي الله عنها:
“Nabi pada satu ketika sedang beri‘tikaf di masjid pada 10 malam terakhir Ramadan, maka saya datang untuk menziarahi baginda pada suatu malam [dan saya dapati isteri-isteri baginda lainnya ada bersama baginda , lalu mereka pun pergi] lantas saya pun berbicara dengan baginda [buat seketika], kemudian saya bingkas untuk pulang, [maka berkatalah baginda :
Sebentar, biarlah aku mengiringimu], lantas baginda bangun bersamaku untuk menghantarku, (sedang beliau -Safiyyah- menetap di rumah Usamah bin Zaid ), [sehinggalah sampai ke pintu masjid yang berada bersebelahan dengan rumah Ummu Salamah ], ketika itu ada 2 orang lelaki Ansar berjalan, lalu mereka jadi tergesa-gesa, maka berkatalah Nabi kepada mereka berdua:
“Bertenanglah kalian! Sesungguhnya ini adalah isteri ku Safiyyah binti Huyaiy, mereka pun menjawab: “Maha suci Allah (SubhanalLah)! Wahai Rasulullah!”
Sabda baginda:
“Sesungguhnya, syaitan berkeliaran di dalam manusia seperti peraliran darah mereka dan sesungguhnya, aku khuatir syaitan telah melontarkan sesuatu ke dalam hati kalian (sehingga kalian mungkin jadi berprasangka – penterjemah).”
(Diriwayatkan oleh asy-Syeikhan dan Abu Dawud رحمه الله, adapun penambahan lafaz di dalam [ ] yang terakhir adalah di sisi Abi Dawud رحمه الله).

5. Mubah untuk beri‘tikaf suami isteri secara berdampingan

Dibolehkan juga untuk beri‘tikaf bersama-sama (berdampingan) bagi pasangan suami isteri ataupun isterinya bersendirian (tidak di samping suaminya di dalam masjid yang sama) sepertimana yang diceritakan oleh Ummu al-Mukminien ‘A-isyah رضي الله عنها:
“Saya telah beri‘tikaf bersama Rasulullah disertai wanita yang Mustahadah [di dalam riwayat lain: Ummu Salamah رضي الله عنها (seorang isteri baginda lainnya)], dari kalangan isteri-isterinya, sedang beliau (Ummu Salamah) kadangkala mendapati darah merah dan kuning (darah sakit), sehingga adakalanya kami meletakkan alas di kakinya ketika beliau solat.”
(Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhariy رحمه الله manakala riwayat yang lain itu di sisi Imam Muhaddits Sa‘ied bin Mansur, tetapi ad-Darimiy pula menamakan beliau yakni isteri Mustahadah tersebut (Ummu Salamah) Zainab رضي الله عنها. WalLahu a‘lam.)

Demikian juga ‘A-isyah رضي الله عنها telah meriwayatkan bahawa Nabi beri‘tikaf pada 10 malam terakhir Ramadan sehinggalah baginda wafat. Kemudian isteri-isteri baginda tetap meneruskan I‘tikaf selepas kewafatan baginda . (Diriwayatkan oleh asy-Syeikhan)

Hadis-hadis tersebut adalah dalil yang menunjukkan bahawa kaum wanita juga boleh beri‘tikaf, namun demikian, mereka perlu mendapatkan izin wali-wali (bapa, suami dan sebagainya – penterjemah) mereka, sedang keadaan mereka juga mestilah terselamat dan terpelihara daripada fitnah dan percampuran dengan kaum lelaki, kerana terdapatnya banyak dalil yang menjelaskan demikian. Qa‘idah Fiqhiyah pula menetapkan bahawa mengelakkan keburukan adalah lebih utama daripada mendapatkan kebaikan.


D. Yang membatalkan i’tikaf.

Perkara yang membatalkan I‘tikaf seseorang ialah Jima‘ yakni persetubuhan dengan isteri sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah, maksudnya:
“Dan janganlah kamu bersyahwat dengan isteri-isteri kamu sedang kamu di dalam keadaan beri’tikaf di masjid-masjid.” (Surah Al-Baqarah: 187).
‘Ibnu Abbas رضي الله عنهم telah berkata:
“Apabila seorang yang beri’tikaf bersatu (bersetubuh) dengan isterinya maka batal-lah I’tikafnya dan ia perlu memulakannya semula.”

(Diriwayatkan oleh Ibnu Abi Syaibah dan ‘Abdur Razzaq رحمه الله dengan sanad yang sahih).

Yang jelas, ia tidak dikenakan kaffarah atau tebusan terhadap I‘tikafnya yang batal itu, kerana tiada suatu nas pun yang ditemui daripada Nabi mahupun para Sahabat yang menjelaskan bahawa ia perlu menebus kesalahannya dengan denda tertentu yang dikenakan ke atasnya. WalLahu a‘lam.


0 comments:

Search IslamIQ.sg

Visitors:

Facebook

YouTube

Subscribe By Email


Facebook

YouTube

Subscribe By Email

www.fawaaid.sg