Islamiq.sg

Allah Mewajibkan Puasa Untuk Kita Bertaqwa

Labels: , ,

ALLAH سبحانه وتعالى‎ MEWAJIBKAN PUASA UNTUK KITA BERTAQWA

Allah mensyari’atkan puasa, di antara matlamat utamanya ialah untuk meningkatkan jiwa dan membersihkan hati kita. Justeru itu, Allah telah berfirman, ketikamana mewajibkan puasa ke atas umat ini :
“Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan puasa ke atas kamu sebagaimana ia telah diwajibkan ke atas mereka yang sebelum kamu mudah-mudahan kamu bertaqwa.” (Al-Baqarah : 183)

Di dalam ayat ini, Allah menyeru hamba-hambaNya yang beriman, yang menyediakan hati dan pendengaran mereka untuk menyahut seruan Allah. Bermakna hanya hamba Allah yang benar-benar beriman kepada Tuhannya sahaja yang akan melaksanakan perintah berpuasa tanpa uzur. Demikian juga, walaupun puasa terkandung di dalamnya hikmah-hikmah yang banyak, namun Allah hanya menyebutkan tentang taqwa sebagai matlamat ibadah puasa. Oleh itu, sebagai hamba yang beriman, kita mestilah memerhatikan taqwa kita selama kita berpuasa dan setelah kita sempurnakan sebulan Ramadhan, samada iman dan taqwa kita semakin bertambah atau berkurangan.

Telah beberapa tahun kita berpuasa, apatah lagi mereka yang diberikan taufiq dan hidayahNya baru-baru ini, untuk menyedari kewajipan berpuasa, tetapi bagaimanakah keadaan taqwa kita? Mudah-mudahan Ramadhan kali ini, lebih berkesan terhadap hati dan jiwa kita, yang mana hati merupakan wadah yang diisikan padanya taqwa.

Di samping itu, Allah telah menyediakan bagi kita, di dalam bulan yang penuh keberkahan dan mulia ini, amalan-amalan yang dapat membantu kita di dalam usaha untuk menjadi hamba yang lebih bertaqwa kepadaNya. Amalan-amalan tersebut telah ditunjukkan oleh Nabi Muhammad صلى الله عليه وسلم‎ semasa baginda hidup.

Tentunya petunjuk Nabi صلى الله عليه وسلم‎ adalah sebaik-baik petunjuk dan kita tentunya tidaklah lebih mengetahui daripada Nabi صلى الله عليه وسلم‎ apa yang lebih baik untuk dilakukan demi mempertingkatkan taqwa kita. Kita khuatir, jika kita seolah-olah mengatakan bahawa kita dapat mengadakan sesuatu yang lebih baik dari panduan yang telah dicontohkan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم‎. Maka, hendaknya kita ambil apa yang jelas berasal dari Rasulullah صلى الله عليه وسلم‎ dan mengamalkannya daripada kita mengamalkan sesuatu yang bukan berasal dari Nabi صلى الله عليه وسلم‎.

Alangkah buruknya sikap kita yang masih banyak lagi perkara dan amalan yang jelas diajarkan oleh Nabi صلى الله عليه وسلم‎ melalui Sunnahnya kita belum mengamalkan, tetapi kita telah mencari-cari bahkan mengamalkan apa yang tidak pernah diajarkan oleh baginda صلى الله عليه وسلم‎. Siapakah kita, sehingga tega dan mampu untuk mengadakan sesuatu di dalam urusan agama Allah, apa yang tidak pernah disyari’atkan Allah dan dengan itu, telah merampas hak Allah di dalam mensyari’atkan sesuatu?

Adakalanya kita tidak mensyari’atkan sesuatu yang baru, tetapi malangnya, kita menyokong dan mengikuti, bukan atas dasar ilmu dan warak, orang-orang yang mensyari’atkan perkara-perkara yang baru itu, biarpun mereka memang bermaksud baik. Wallahul Musta’an.

Sumber: http://www.al-jamaah.sg/2012/08/solat-tahajjud-qiyam-nabi-pada-ramadhan_1.html
0 comments:

Search IslamIQ.sg

Visitors:

Facebook

YouTube

Subscribe By Email


Facebook

YouTube

Subscribe By Email

www.fawaaid.sg