Islamiq.sg

Persoalan Fidyah Puasa Ramadan

Labels: , , ,

1) Kata al-Ustadz Sayyid Sabiq رحمه الله di dalam “Fiqh as-Sunnah 

Perihal Qada’ Ramadan:
“Sekiranya seseorang itu menangguhkan Qada’ Ramadan sehingga masuk bulan Ramadan tahun yang baru, hendaknya ia melaksanakan puasa Ramadan tahun yang baru itu, kemudian ia melunaskan hutang puasanya setelah itu dan ia tidak dikenakan apa-apa Fidyah, tidak kira samada perbuatannya menangguhkan Qada’ puasanya itu kerana keuzuran tertentu atau tanpa keuzuran sekalipun.
Inilah Madzhab (pendapat) al-Ahnaf (Hanafi) dan al-Hasan al-Basriy رحمه الله. 
Manakala (Imam-imam) Malik, asy-Syafi‘ie, Ahmad, Is-haq (bin Rahaweih) رحمه الله menyetujui pendapat al-Ahnaf, bahawa ia tidak dikenakan Fidyah, jika penangguhannya itu bersebabkan keuzuran tertentu. Namun… jika tanpa apa-apa keuzuran…hendaklah ia mengeluarkan Fidyah bagi puasanya yang tertunggak itu, 1 mudd [1] makanan untuk setiap hari hutangnya. Akan tetapi, tiada dalil yang layak dijadikan hujjah untuk menyokong pendapat mereka ini (yang mewajibkan Fidyah). 
Yang nyata lebih benar adalah pendapat al-Ahnaf, sebab tiada penentuan Syara‘ kecuali dengan adanya nas yang sahih.” [2]


2) Kata al-Imam Ibn Qudamah [3] رحمه الله di dalam “al-Mughnie
Sekiranya ia menangguhkan Qada’nya sehingga masuk Ramadan tahun yang baru…jika disebabkan suatu keuzuran, maka kewajipannya hanyalah Qada’ puasanya itu sahaja. 
Namun jika tanpa keuzuran, maka di samping Qada’ puasanya itu, ia berkewajipan memberi (Fidyah) makan kepada seorang miskin untuk setiap hari hutangnya yang tertunggak. Ini adalah pendapat (daripada kalangan para Sahabat) Ibn ‘Abbas, Ibn ‘Umar, Abu Hurairah رضي الله عنهم, (kalangan at-Tabi‘ien:) Mujahid, Sa ‘ied bin Jubayr رحمه الله, (dan daripada Atba‘ at-Tabi‘ien) Malik, ats-Tsauri, al-Auza‘ie, asy-Syafi‘ie dan Is-haq رحمه الله. 
Manakala al-Hasan (al-Basriy), an-Nakha‘ie dan Abu Haniefah رحمه الله (berpendapat): Tiada Fidyah…. 
Fasal: Jika ia menangguhkan (Qada’) nya tanpa keuzuran (yang dii‘tiraf Syara‘) sehingga berlalunya 2 Ramadan (2 tahun berturut-turut) atau lebih, maka tidak dikenakan ke atasnya kecuali 1 Fidyah (tidak bertambah/tidak berganda) di samping kewajipan melunaskan Qada’ puasanya.” [4]

3) Penjelasan al-Imam an-Nawawi رحمه الله di dalam al-Majmu’:

Kata beliau:
“Adapun al-Atsar (riwayat-riwayat daripada para Sahabat) yang disebutkan oleh pengarang kitab[5] daripada Ibn ‘Abbas, Ibn ‘Umar dan Abu Hurairah رضي الله عنهم mengenai memberi makan (Fidyah), maka ia telah diriwayatkan oleh ad-Daraqutniy رحمه الله dan beliau katakan mengenai Isnad (rangkaian perawi yang meriwayatkannya) daripada Abu Hurairah رضي الله عنه‎ tersebut: “Isnad ini Sahih.” Beliau juga meriwayatkannya daripada Abu Hurairah رضي الله عنه‎ secara Marfu‘ (disandarkan sebagai daripada kata-kata Nabi) dan Isnadnya teramat lemah (ضعيف جدا). Isnad Ibn ‘Abbas رضي الله عنهم juga Sahih.  
Lafaz riwayat-riwayat daripada Abu Hurairah رضي الله عنه‎: 
“Barangsiapa yang sakit (pada bulan Ramadan dan tidak berpuasa kerananya) kemudian ia sembuh (selepas berlalunya Ramadan) tetapi ia masih tidak berpuasa (melunaskan Qada’nya) sehingga masuk Ramadan lainnya, ujarnya (Abu Hurairah رضي الله عنه‎): Ia berpuasa Ramadan yang baru masuk (secara tunai walaupun masih berhutang), kemudian ia lunaskan qada’ puasa bulan Ramadan yang lalu dan ia juga memberi makan 1 orang miskin untuk setiap hari hutangnya (yang tertunggak itu).”

Dengan penjelasan beliau itu tadi, dapat difahami bahawa tiada riwayat yang benar daripada Nabi صلى الله عليه وسلم‎ untuk dijadikan sandaran hujjah menghukumkan orang yang ada puasa tertunggak sehingga masuk Ramadan tahun yang baru, untuk dikenakan denda Fidyah dan hukum tersebut diterima daripada penjelasan pendapat Abu Hurairah dan Ibn ‘Abbas رضي الله عنهم semata-mata. Demikian kesimpulan yang dapat difahami daripada penjelasan al-Imam an-Nawawi.

Kata beliau lagi:
“Seandainya seseorang itu ada hutang puasa Qada’ Ramadan … sekiranya ia ada keuzuran,…harus baginya untuk menangguhkan Qada’nya selama ada keuzurannya itu walaupun berlarutan beberapa tahun dan ia tidak dikenakan apa-apa Fidyah…ia hanya perlu lunaskan Qada’ puasa sahaja,… 
Tetapi seandainya ia tiada keuzuran, maka tidak diharuskan untuk melewatkannya sehingga masuk Ramadan tahun yang baru, tanpa ada perselisihan pendapat...
Kata Ashab (pendokong-pendokong Madzhab) kami (asy-Syafi‘iyah):
“Penangguhan Qada’ puasa Ramadan sehingga masuk Ramadan lain merupakan suatu penangguhan ke suatu masa yang mana menjadikan perlaksanaan Qada’nya tidak diterima dan tidak sah lagi… [6] 
…Jika ia menangguhkan Qada’ sehingga masuk Ramadan tahun yang baru tanpa keuzuran…ia mesti melaksanakan puasa Ramadan tahun yang baru itu dan ia berkewajipan melunaskan hutang puasa Qada’ Ramadan yang lalu setelah itu serta ia mesti memberi makan 1 orang miskin sebanyak sukatan 1 mudd untuk setiap hari hutangnya sebaik sahaja masuknya Ramadan tahun yang baru itu di samping perlaksanaan Qada’nya, menurut apa yang dijelaskan oleh pengarang kitab (al-Imam asy-Syierazi رحمه الله ) sebagai suatu yang diterima secara nas (penegasan nyata) daripada al-Imam asy-Syafi‘ie رحمه الله sendiri dan ia adalah hukum yang disepakati oleh al-Ashab[7] kecuali al-Muzaniy رحمه الله ; yang berpendapat: Tidak wajib untuk mengeluarkan Fidyah (beri makan orang miskin).”

Di antara keuzuran yang disebutkan oleh al-Imam an-Nawawi رحمه الله sendiri adalah:
Sekiranya penangguhan Qada’ puasanya yang tertangguh disebabkan keuzuran seperti Haid, Nifas, sakit, pengsan/koma, perjalanan bermusafir, atau orang yang terlupa niat, ataupun yang makan dengan sengaja dengan anggapannya waktu malam padahal ketika itu siang hari Ramadan, atau ibu yang menyusukan dan yang hamil, maka ia diharuskan untuk melewatkan atau menangguhkan perlaksanaan Qada’nya (ada keluasan waktu) tanpa ada perselisihan pendapat (di kalangan Madzhab asy-Syafi‘iyah), selama belum masuk bulan Ramadan tahun yang baru, namun amat digalakkan agar bersegera di dalam melunaskan Qada’nya.[8]


Kesimpulannya:

1. Tiada dalil kukuh yang menghukumkan bahawa orang yang ada puasa tertunggak sehingga masuk Ramadan tahun baru wajib dikenakan Fidyah (berupa denda), selama ia ada keuzuran (seperti sakit, bermusafir, hamil, menyusukan bayi, nifas dsbgnya). Kembali kepada hukum asal, ia hanya perlu Qada’.

*Namun perlu diketahui bahawa mengenai wanita hamil dan menyusukan, ada riwayat benar dari sebilangan sahabat, antaranya Ibn 'Abbaas dan Ibn 'Umar رضي الله عنهم yang menghukumkan mereka (yakni wanita hamil dan menyusukan) cukup dengan membayar fidyah sahaja (tanpa berganda-ganda) dengan tanpa berpuasa dan tanpa perlu mengqada' (daripada asal hukum, tanpa mengambil kira kekhuatiran terhadap diri sendiri ataupun bayi mereka). Sila rujuk artikel sepenuhnya - "Persoalan Puasa Wanita Hamil dan Menyusukan".


2. Adapun jika ia tiada keuzuran dalam penangguhannya sekalipun, maka ia juga tidak dikenakan (denda) Fidyah dan hanya melaksanakan Qada’nya menurut hukum asal, kecuali bagi pihak yang mengambil kira fatwa segolongan Sahabat dan sebahagian para Imam yang mengenakan denda Fidyah tersebut berupa 1 mudd yang diberikan kepada satu-satu orang miskin.

3. Waris yang melunaskan hutang puasa si mati dengan membayar fidyah[9], hanya perlu kira bilangan hari hutang puasanya si mati, tanpa perlu dikira dengan mengganda-gandakannya mengikut bilangan tahun yang berlalu, tidak kira samada si mati meninggalkan puasanya/berhutang puasa kerana keuzuran ataupun tanpa keuzuran

4. Yang demikian berdasarkan hukum asal keterangan al-Quran dan as-Sunnah serta pendapat ramai ‘ulama[10]

--------------------------------------------------------------

[1] 1 mudd: 543 gram gandum/beras dsbgnya di sisi al-Jumhur (majoriti ulama). Di sisi Madzhab Hanafi: 815.39 gram.

[2] Fiqh as-Sunnah: 1/536-537

[3] Al-Imam Muwaffaq ad-Dien, Abu Muhammad ‘AbdulLah bin Ahmad bin Qudamah al-Maqdisiy ad-Dimasyqiy al-Hambali (541-620H).

[4] Al-Mughnie: 4/400-401

[5] Maksudnya: pengarang kitab al-Muhadzdzab iaitu al-Imam asy-Syierazi (393-476H), Abu Is-haq Ibrahiem bin ‘Aliy bin Yusuf al-Fairuz Abadi asy-Syierazi. Kitab al-Muhadzdzab ini disyarah oleh al-Imam an-Nawawi dan beliau namakan kitab syarahnya “al-Majmu‘”.

[6] Yang demikian menurut pendapat sebahagian ‘ulama antaranya para pendokong Madzhab asy-Syafi‘iyah – kebanyakan mereka menggunakan Qiyas dan bersandarkan kepada sebuah hadis yang lemah (mengenai tidak diterima puasa sunnat selama ada hutang puasa wajib) yang akan dijelaskan kelak –penulis.

[7] murid-murid pendokong Madzhab yang berguru secara langsung dan menjadi teman setia al-Imam asy-Syafi‘ie – penulis.

[8] Al-Majmu‘ syarh al-Muhadzdzab: 6/387.

[9] Menurut pendapat yang kuat, hanya puasa nadzar sahaja yang boleh warisnya gantikan dengan berpuasa. Adapun puasa Ramadan, maka hutang puasa si mati tidak digantikan dengan puasa tetapi dengan fidyah sahaja.

[10] seperti Imam-imam at-Tabi‘ien (yang mewarisi ilmu secara langsung daripada para Sahabat Rasulullah) al-Hasan, Tawus dan an-Nakha‘ie begitu juga para imam terkemuka seperti Imam-imam al-Muzaniy yang dii’tiraf al-Imam asy-Syafi‘ie sendiri sebagai pembela Madzhab beliau dan juga al-Imam al-Mawardee serta hampir kesemua Imam-imam Madzhab Hanafi.




Source: http://www.al-jamaah.sg/2014/07/persoalan-fidyah-puasa-ramadan.html

0 comments:

Search IslamIQ.sg

Visitors:

Facebook

YouTube

Subscribe By Email


Facebook

YouTube

Subscribe By Email

www.fawaaid.sg